KUALA LUMPUR – Consortium Zenith Beijing Urban Construction Group Sdn. Bhd. (CZBUCG) tidak sepatutnya dilantik melaksanakan projek terowong dasar laut dan jalan utama di Pulau Pinang kerana syarikat itu terlebih dahulu terlibat dalam rangka penyediaan permohonan kertas cadangan (RFP) yang dikeluarkan.
Bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Datuk Seri Farizan Darus memberitahu Mahkamah Sesyen di sini hari ini, syarikat kontraktor itu telah diarah mengambil beberapa langkah termasuk meminda dokumen dan mengembalikannya dalam tempoh seminggu, sekali gus mencerminkan penglibatannya secara langsung dalam draf RFP.
Beliau yang kini Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Penang Infrastructure Corporation Sdn. Bhd. berkata, perkara tersebut tidak pernah dimaklumkan kepada Lembaga Perolehan Negeri Pulau Pinang yang dipengerusikannya.
Menurut Farizan, 62, pihak luar boleh terlibat dalam penyediaan RFP dengan syarat ia tidak terlibat dalam perolehan tender supaya berlaku adil kepada pembida-pembida lain yang juga berkelayakan.
Menurut saksi pendakwaan kesembilan itu, berdasarkan kepada memorandum persefahaman (MoU) dan minit-minit mesyuarat terdahulu seolah-olah menunjukkan syarikat berkenaan diberi keutamaan walhal dasar kerajaan negeri adalah perolehan diberikan secara tender terbuka.
Farizan selanjutnya memberitahu, jika perkara itu dimaklumkan kepada Lembaga Perolehan negeri, beliau perlu melaksanakan arahan Perbendaharaan bahawa lembaga boleh memutuskan projek itu ditender semula dan mengesyorkan cara perolehan lain jika didapati tata cara yang dilakukan tidak mengikut peraturan atau mengesyaki perkara luar aturan berlaku.
Beliau menjelaskan, jika lembaga perolehan dimaklumkan, pihaknya tidak akan membuat keputusan seperti yang telah diambil, sebaliknya menawarkan projek itu secara terus kepada CZBUCG kerana penglibatannya lebih daripada yang terkandung dalam MoU yang dimeterai.
Menurut Farizan, penglibatan CZBUCG dalan penyediaan draf RFP telah menimbulan konflik kepentingan dengan empat pembida lain kerana pastinya kelebihan akan memihak kepada syarikat itu menjadikan lebih kehadapan dalam penyediaan dokumen.
Ketika prosiding berlangsung, peguam Gobind Singh Deo yang mengetuai pasukan pembelaan mengkritik cara Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin mengendalikan pendakwaan dengan merujuk istilah `pendakwaan oleh pihak media’ yang didakwanya bertujuan memburukkan imej Guan Eng.
Bagaimanapun, Wan Shaharuddin menafikan beliau mensensasikan perbicaraan itu kerana mahkamah yang mendengar keterangan saksi-saksi dan membuat keputusan terhadap tertuduh.
Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung esok. -K!ONLINE














