fbpx

Bomba guna helikopter bawa turun pendaki wanita cedera

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PENDAKI wanita yang cedera ketika pendakian di Gunung Tahan dibawa turun menggunakan helikopter bomba di Jerantut hari ini.

JERANTUT – Seorang pendaki wanita terpaksa mendapatkan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk turun daripada Gunung Tahan selepas mengalami kecederaan akibat tergelincir ketika menuruni gunung berkenaan semalam.

Mangsa, Nur Kharatul Syafini ,40, yang ‘terkandas’ di Kem Botak, Gunung Tahan, berjaya dibawa turun menggunakan helikopter jenis MI-16-IV yang diterbangkan ke Padang Sivik, Gua Musang, Kelantan, kira-kira pukul 2.45 petang, hari ini.

Penolong Pengarah Operasi JBPM Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 10.29 malam, semalam.

“Difahamkan, mangsa mula mendaki gunung terbabit bersama sembilan pendaki lain dan seorang pemandu arah pada 8 November lalu.

“Kumpulan pendaki berkenaan menuruni gunung terbabit semalam namun mangsa tergelincir sehingga mengalami keceederaan dipergelangan kaki dan lutut sebelah kanan,”katanya di sini, hari ini.

Menurutnya, susulan itu, seramai enam anggota bomba bersama lima anggota Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) serta seorang orang awam ke lokasi kejadian pada pukul 8 pagi tadi bagi membantu mengeluarkan mangsa.

Katanya, bagaimanapun unit udara bomba terpaksa dipanggil untuk mengeluarkan mangsa melalui laluan udara berikutan usaha mengeluarkan mangsa melalui jalan darat menghadapi kesulitan.

“Helikopter bomba berlepas dari Padang Sivik, Gua Musang pada pukul 2.09 petang dan berjaya mengesan kedudukan mangsa kira-kira 20 minit kemudian.

“Sejurus berjaya dibawa turun, mangsa diserahkan kepada unit Perkhidmatan Bantuan Kecemasan dan Perubatan (MERS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gua Musang sebelum dibawa ke Hospital Gua Musang, Kelantan,”ujarnya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN