fbpx

Kedah jumpa JDT suku akhir Piala Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
OTT (tengah) menjaringkan gol buat Melaka ketika menewaskan Kedah 1-0 di Stadium Hang Jebat sebentar tadi. /FOTO MELAKA UNITED FC

KUALA LUMPUR – Naib juara Liga Super, Kedah Darul Aman FC memilih laluan sukar apabila bakal membuat perhitungan dengan juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) di suku akhir Piala Malaysia pada 14 November ini.

Ia selepas Kedah tewas 0-2 kepada Melaka United pada aksi terakhir Kumpulan C di Stadium Hang Jebat sebentar tadi.

Keputusan itu menyaksikan Helang Merah terpaksa akur mara ke suku akhir sebagai naib juara dengan 12 mata, ketinggalan empat mata di belakang Melaka yang langsung tidak tewas dalam enam perlawanan Kumpulan C.

Dalam aksi sebentar tadi, Melaka yang dikendalikan Zainal Abidin Hassan berjaya membuka tirai jaringan menerusi pemain berdarah campuran Jerman-Filipina, Manuel Ott pada minit ke-24.

Ia berpunca daripada larian solo penyerang import Melaka, Sony Norde dan melakukan rembatan yang ditepis keluar penjaga gol Kedah, Ifwat Akmal sebelum Ott membuat percubaan susulan.

Kapten Kedah, Baddrol Bakhtiar mempunyai peluang terbaik untuk mengikat kedudukan, namun percubaan jarak jauhnya hanya singgah di palang gol pada awal babak kedua.

Aksi selepas itu lebih banyak dikuasi Kedah apabila kali ini giliran Kpah Sherman pula melakukan percubaan menerusi sepakan gunting tetapi masih gagal menewaskan penjaga gol Melaka, Khairul Fahmi Che Mat.

Kedah bernasib baik gawang mereka tidak dibolosi buat kali kedua dalam aksi itu disebabkan kesilapan Ifwat ketika menumbuk keluar sepakan percuma pemain sayap Melaka, S. Kumaahran pada minit ke-78.

Walaupun Kedah banyak melancarkan serangan tetapi kredit harus diberikan kepada Melaka yang bermain lebih tersusun dengan beberapa serangan balas pantas berbahaya melalui kelincahan larian Norde.

Hasrat Kedah untuk bangkit dalam perlawanan itu tidak kesampaian apabila Giovane Gomes memanfaatkan hantaran lambung daripada Adriano Narcizo untuk menanduk masuk gol kedua Melaka pada minit ke-88.

Kemenangan itu menyaksikan hasrat Melaka mahu mengelak bertemu JDT di suku akhir tercapai dan bakal menentang pasukan tempat kedua Kumpulan D, Sabah yang menyambar slot terakhir selepas menang 1-0 ke atas Petaling Jaya City. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI