fbpx

Kelayakan akademik Senoi Praaq bakal dinaiktaraf

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Taraf akademik bagi pengambilan anggota polis pasukan khas Senoi Praaq yang melibatkan Orang Asli bakal dikaji semula dan dinaiktaraf tidak lama lagi.

Timbalan Menteri Dalam Negeri I, Datuk Seri Ismail Mohamed Said berkata, kenaikan taraf akademik itu dilakukan agar skim gaji asas bagi anggota konstabel polis Orang Asli setaraf dengan penjawat sama dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Ketika ini Orang Asli diambil mengisi jawatan itu melalui skim pendidikan PT3 dan PDRM telah membuat kajian supaya pengambilan anggota Senoi Praaq ini bakal dinaikkan kepada Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) supaya sama taraf dengan anggota lain.

“Bagaimanapun, bagi anggota Senoi Praaq ini, kerajaan ada memberikan elaun khas sebanyak RM400 kerana penyertaan mereka dalam Pasukan Gerak Am (PGA) sebagai anggota barisan hadapan bagi mengekang pandemik Covid-19,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Ramli Mohd. Nor (Cameron Highland-BN) ketika sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Parlimen.

Tambah Ismail lagi, PDRM masih memerlukan khidmat anggota Senoi Praaq yang mempunyai kepakaran eksklusif di hutan belantara.

Katanya, khidmat mereka digunakan bagi tugas lain yang melibatkan operasi di hutan seperti mencari dan menyelamat serta memburu penjenayah dalam hutan.

Menurutnya, kepentingan pasukan Senoi Praaq pada masa sekarang berdasarkan keperluan kepakaran mereka sebagai penjejak di hutan, selain sebagai pasukan simpanan bagi persediaan sekiranya berlaku lagi ancaman melibatkan kawasan hutan.

“Sifat semula jadi pasukan ini yang taat kepada ketua dan tugas diamanahkan amat berguna kepada pasukan PDRM, selain mereka mempunyai kemahiran di hutan.

“Pasukan ini mampu menggalas tugas dengan cemerlang dalam membanteras jenayah rentas sempadan di sempadan negara terutamanya sempadan Malaysia-Thailand bagi kawasan Kedah dan Perlis,” katanya. – K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI