JAKARTA – Seorang penghuni rumah sewa terkejut apabila melihat keadaan bilik rakan serumahnya yang ditimbuni dengan sampah sarap setelah melarikan diri kerana tidak membayar sewa selama dua bulan, lapor laman berita Detik.com hari ini.
Menerusi satu klip video yang dikongsikan di aplikasi Tik Tok, wanita tersebut mendedahkan bahawa penghuni bilik itu mempunyai tabiat mengumpul sampah sarap termasuk sisa makanan, botol terpakai, kotak makanan dan plastik.
Timbunan sampah turut dilihat hampir memenuhi lantai bilik itu.
“Ya Allah, ini keadaan bilik kakak yang menyewa dengan saya. Sudah dua bulan dia tidak membayar (sewa).
“Pintu bilik ini tidak pernah dibuka. Akhirnya ia dibuka bersama tuan rumah. Kami terkejut melihat keadaan bilik ini,” katanya dalam keterangan video tersebut.
Sehingga kini, video tersebut menerima lebih 3.5 juta tontonan dengan 157,000 suka dan 7,699 komen.
“Bagaimana seseorang boleh hidup dengan keadaan bilik seperti itu? Saya teringin sangat mahu melihat wajah orangnya, sama ada kelihatan rapi atau tidak kerana keadaan biliknya seperti ini,” kata seorang netizen. – Agensi
















