fbpx
SYARIKAT-SYARIKAT pengendali pakej umrah termasuk Andalusia Travel & Tours kini sibuk menguruskan pemergian umrah para pelanggan.

Kembali rancak urus umrah setelah terhenti 18 bulan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KETIKA meninjau ibu pejabat pengendali pakej ibadah haji dan umrah popular negara, Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd. yang terletak di Jalan Kampung Pandan, Kuala Lumpur baru-baru ini, beberapa orang pekerja dilihat begitu sibuk melayani individu-individu yang mengunjungi kaunter di aras bawah bangunan.

Hampir 18 bulan tidak beroperasi dek pandemik Covid-19, ruang tersebut mula rancak dikunjungi individu-individu yang teruja untuk mengerjakan ibadah umrah selepas kerajaan Arab Saudi membenarkan rakyat Malaysia kembali menunaikan ibadah itu di negara tersebut bermula pertengahan Oktober lalu.

Sebaik kerajaan Arab Saudi memberi ‘lampu hijau’ kepada jemaah mengerjakan umrah, syarikat tersebut merupakan antara ‘syarikat umrah’ yang kembali sibuk menerima tempahan daripada individu-individu yang rindukan Tanah Suci Mekah dan Madinah.

“Kami sungguh teruja walaupun hanya mempunyai masa tujuh hari untuk membuat persiapan menerbangkan kumpulan pertama jemaah sebaik kebenaran diberikan.

“Memang ada yang bimbang dengan keadaan semasa tetapi saya dapati kebanyakan mereka menjadikan Tanah Suci sebagai lokasi pertama yang ingin dituju selepas kerajaan memberi kebenaran untuk merentas negara,” kata Pengarah dan Penasihat Undang-Undang syarikat tersebut, Ida Riswana Idris kepada K2.

IDA RISWANA (dua dari kiri) melihat para pekerjanya yang sibuk melayani kunjungan orang ramai yang berminat untuk menunaikan umrah di pejabatnya di Kuala Lumpur.

Selamat menerbangkan kumpulan pertama pada 20 Oktober lalu dengan jumlah yang minima iaitu seramai 28 jemaah, syarikat ini kemudian menerbangkan pula kumpulan jemaah umrah terbesar pada 30 Oktober lalu melibatkan 100 individu sebelum disusuli penerbangan-penerbangan lain.

“Individu-individu ini merupakan antara jemaah yang mahu segera ke Tanah Suci apabila dibuka.

“Walaupun ramai yang agak skeptikal dan kami sendiri tidak pasti bagaimana keadaan di sana selepas Covid-19, tetapi sebaik kumpulan pertama menjejakkan kaki di tanah haram itu, kami dapati pelbagai kelonggaran diberikan dan tidaklah sesukar yang dibayangkan umum sebelum ini.

“Sebenarnya agak bertuah bagi individu yang menerima slot mengerjakan ibadah umrah ketika ini memandangkan banyak negara luar yang masih lagi tidak ‘masuk’ seperti Indonesia, India, Pakistan dan Mesir.

“Jadi keadaan di sana tidaklah padat dan ia memberi peluang untuk mereka mengerjakan ibadah dengan lebih selesa,” ujarnya.

Biarpun pandemik Covid-19 menyebabkan ibadah umrah ditunaikan dalam norma baharu dengan pelbagai prosedur operasi standard yang perlu dipatuhi, namun menurut Ida Riswana, banyak kelebihan berbanding kekurangan yang diperolehi jemaah selain dilihat meningkatkan nilai tambah prosedur sedia ada.

“Saya selalu membuat perkongsian langsung bahawa norma baharu ini sebenarnya bagus. Sesiapa yang pernah ke Tanah Suci pasti tahu situasi di sana yang begitu padat sehingga mahu menunaikan solat pun saling berlanggaran antara satu sama lain.

“Norma baharu semuanya mempunyai had kapasiti masing-masing dan mengambil contoh di kawasan Mataf, sesiapa yang masuk ke situ perlu ada permit dan hanya diberi masa tiga jam seorang. Berbeza dengan sebelum pandemik yang mana sesiapa sahaja boleh masuk tanpa mengira waktu sehingga kawasan sesak dan ada yang lemas kerana dirempuh.

“Pastinya situasi terkini ini membolehkan mereka guna dengan sebaik-baiknya serta menunaikah ibadah dengan tenang dan selesa,” ujarnya.

Terangnya lanjut, keseluruhan prosedur menunaikan umrah sama sahaja seperti sebelum pandemik.

Bagaimanapun sekarang ini ia ditambah dengan saringan Covid-19 sebelum dan selepas pulang dari Tanah Suci, vaksinasi lengkap dan juga permit selain individu diperlukan untuk memuat naik aplikasi Tawakkalna sama seperti MySejahtera untuk memantau dan mengemas kini keberadaan jemaah di satu-satu lokasi.

IDA RISWANA (kiri) dan Ibrahim memegang salah satu sejadah Raudhah yang turut ditawarkan syarikat tersebut. – MuHAMAD IQBAL ROSLI

Melihatkan semangat ibu kepada empat orang cahaya mata ini menguruskan agensi tersebut membuatkan kru K2 rasa terpegun. Mana tidaknya dia yang merupakan seorang pengamal undang-undang dan mempunyai firma sendiri pada awalnya tidak mempunyai pengalaman mengendalikan perniagaan.

Ida Riswana sanggup mendalami ilmu pelancongan dengan mengikuti program diploma secara online dalam bidang pelancongan berkaitan penerbangan pada tahun 2007, siapa sangka ‘tulang belakang’ Andalusia Travel & Tours ini berjaya mengekalkan pengoperasian syarikatnya sehingga hari ini biarpun ketika pandemik melanda negara, syarikatnya tidak dapat beroperasi kira-kira 18 bulan.

Akur bukan hanya syarikatnya yang terkesan dari segi pengoperasian dan kewangan, Ida Riswana mengambil pendekatan untuk memasarkan produk kurma yang diimport secara langsung dari Madinah di bawah Andalusia Food Industries Sdn. Bhd. pada awal Februari lalu.

Lebih membanggakan, tiga bulan pertama menerokai perniagaan kurma, mereka berjaya mendapat jualan lebih RM3 juta.

Berdedikasi dan komited menguruskan syarikat tatkala terkesan dengan pandemik, tidak hairanlah jika mereka masih mampu mengekalkan 43 cawangan di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak selain lima orang ejen dan 250 orang mutawif sehingga ke hari ini.

“Misi saya ialah mahu membuat transformasi terhadap masyarakat Islam di negara ini ke arah masyarakat yang lebih baik dan positif.

“Saya mahu bantu dan berikan masyarakat keselesaan, seterusnya dapat menjalani ibadah dengan baik,” tambahnya.

SEWAKTU pandemik melanda, syarikat Andalusia Travel & Tours telah meneroka perniagaan kurma bagi meneruskan survival bisnes syarikat.

Kongsinya lanjut, setiap tahun iaitu sebelum pandemik melanda negara, Andalusia Travel & Tours membawa kira-kira 47,000 orang jemaah ke Tanah Suci. Bagaimanapun katanya, jumlah tersebut masih lagi kecil jika dibandingkan jumlah keseluruhan masyarakat Islam di negara ini.

“Setiap tahun bilangan jemaah di negara ini yang pergi ke Tanah Suci adalah antara 250,000 hingga 270,000. Bilangan tersebut tidaklah ramai jika dibandingkan dengan jumlah keseluruhan masyarakat beragama Islam di negara ini iaitu seramai 16 juta.

“Saya sedar ramai yang masih belum berpeluang untuk mengerjakan umrah dan haji memandangkan kebanyakan individu yang menunaikan ibadah di sana adalah dalam kalangan orang yang sama ke sana setiap tahun.

“Ketika syarikat ini saya ambil alih pada tahun 2002, saya lihat, harga yang ditawarkan untuk tunaikan umrah pula sukar untuk dikawal dan dari situ saya lihat ada beberapa perkhidmatan yang perlu ditambah baik.

“Disebabkan itu saya nekad mahu mengawal harga dan mahu mendapatkan harga murah buat masyarakat yang ingin menunaikan ibadah umrah.

“Itulah perkara pertama yang saya lakukan ketika membeli syarikat ini dahulu,” ceritanya.

Tidak hanya tertumpu kepada pengendali ibadah umrah dan haji, Andalusia Travel & Tours boleh dikatakan sebagai pusat sehenti bagi para jemaah memandangkan mereka turut menawarkan perkhidmatan menyeluruh kepada jemaah-jemaah yang mana mereka juga mempunyai farmasi, klinik selain menawarkan khidmat pertukaran wang asing bagi memudahkan lagi urusan individu.

“Ini merupakan antara kepelbagaian perkhidmatan yang ditawarkan kepada jemaah yang mana kita mempunyai farmasi sendiri untuk membekalkan ubat-ubatan kepada mereka.

“Kita juga ada klinik untuk para jemaah mendapatkan vaksin yang terletak di Shah Alam, Selangor selain khidmat pertukaran wang buat mereka,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN