fbpx

‘Ibu rindu abang, di mana kamu sekarang’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR Muhammad Iman (kiri) bersama ibu dan adiknya di kediaman mereka di Taman Air Biru, Pasir Gudang, Johor.

JOHOR BAHRU – Seorang ibu dari Taman Air Biru di sini masih kebingungan dengan nasib yang menimpa anak lelakinya yang dilaporkan hilang sejak 29 Oktober lalu ketika dalam perjalanan pulang ke tempat kerja di Kemaman, Terengganu.

Azmawati Ab. Kadir, 54, berkata, Muhammad Iman Aqmar Dzulkarnain, 24, sebelum itu sempat balik ke kampung di Pasir Gudang untuk menjenguk keluarga selain ingin menukar kenderaan.

Menurutnya, anak sulung dari­pada dua beradik itu pulang ke kampung menggunakan Proton Iriz sebelum menukarnya kepada kereta Nissan Grand Livina.

“13 November ini, hari terakhir dia kerja di Kemaman dan dia merancang untuk membawa kami sekeluarga bercuti-cuti di Kelantan.

“Sebab itu dia ingin menukar kereta yang lebih besar supaya memudahkan pergerakan apabila kami ke sana,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Azmawati berkata, anaknya keluar rumah dengan memandu kenderaan pelbagai guna (MPV) Nissan Grand Livina bernombor pendaftaran WWF 3187 pada pukul 1.30 pagi Jumaat lalu untuk pulang ke Kemaman seorang diri.

Jelas kerani di sebuah pihak berkuasa tempatan (PBT) itu, pada kebiasaannya dia akan menghubungi anaknya setiap sejam untuk bertanya keadaannya, namun pada hari kejadian dia kepenatan sebelum tertidur.

“Pada keesokkan hari, saya tengok telefon dan dia tidak hantar mesej atau menghubungi saya. Saya pelik dan cuba menghubunginya semula tetapi gagal.

“Kami sekeluarga ikhtiar cari dia dengan hubungi tempat kerjanya, kawan-kawan serta tunang dan jawapan juga sama iaitu tidak dapat dihubungi. Laporan polis juga sudah dibuat di Balai Polis Kemaman, Terengganu pada 29 Oktober,” katanya.

Azmawati berkata, firasat hati seorang ibu kuat mengatakan anaknya masih hidup dan akan kembali ke pangkuan keluarga dalam keadaan selamat selain memohon orang ramai untuk membantu mencarinya.

“Abang, di mana kamu nak, ibu rindu, pulanglah,” rayu Azmawati dalam keadaan sebak.

Orang ramai yang melihat kenderaan atau Muhammad Iman boleh menghubungi Azmawati di talian 011-186446801 atau salurkan maklumat kepada balai polis berdekatan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI