PUTRAJAYA – Perkhidmatan veterinar seperti rawatan serta pembedahan ke atas haiwan termasuk pemandulan mesti dilakukan oleh pengamal atau doktor veterinar yang mendapat tauliah daripada Majlis Veterinar Malaysia.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar, Datuk Dr. Norlizan Mohd. Noor berkata, perkara itu adalah sebagaimana yang diperuntukan di bawah Akta Doktor Veterinar 1974 (Akta 147).
“Adalah menjadi kesalahan mana-mana pihak atau individu yang tiada kelayakan atau tidak bertauliah mengamalkan perkhidmatan veterinar sebagaimana peruntukan sub-Seksyen 33(1) Akta 147,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Mana-mana individu yang melanggar peruntukan itu boleh dikenakan denda maksimum RM1,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Sehubungan itu, Norlizan menggesa orang ramai membuat aduan kepada pihak berkuasa sekiranya mereka mengesan kegiatan tersebut dilakukan oleh doktor-doktor haiwan palsu.
“Jika ada pihak yang mendapati berlakunya kegiatan tersebut atau mengesyaki terdapat mana-mana pihak atau individu menyediakan perkhidmatan veterinar tanpa kelayakan atau tidak bertauliah, majukan aduan kepada pihak berkuasa.
“Aduan boleh dibuat kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar atau Majlis Veterinar Malaysia serta balai polis berhampiran untuk siasatan serta tindakan perundangan terhadap pihak terbabit,” ujarnya.















