fbpx

Dua suspek ditahan sembunyi 43 kotak mercun untuk Deepavali

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEBANYAK 43 kotak mercun dan bunga api pelbagai jenis dianggarkan bernilai RM30,000 dirampas di sekitar daerah ini semalam.

PORT DICKSON – Tindakan dua lelaki menyembunyikan 43 kotak mercun pelbagai jenis dianggarkan bernilai RM30,000 dipercayai untuk dijual sempena perayaan Hari Deepavali terbongkar apabila mereka ditahan dalam tiga serbuan berasingan di sekitar daerah ini semalam.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superitendan Aidi Sham Mohamed berkata, bertindak atas risikan dan maklumat, pihak polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson telah melakukan serbuan pada pukul 6.50 petang hingga 9.50 malam di dua buah rumah di Kuala Lukut, Lukut dan sebuah rumah di Kampung Paya di sini.

“Dalam serbuan pertama, pihak polis telah menahan suspek lelaki berusia 23 tahun dan merampas sejumlah 13 kotak besar yang mengandungi pelbagai jenis mercun dan bunga api yang disorokkan di dalam bilik bahagian belakang sebuah rumah papan.

“Kemudian, serbuan kedua telah dibuat di sebuah rumah teres dan berjaya menahan suspek lelaki berusia 29 tahun dan hasil pemeriksaan telah menjumpai sejumlah 11 kotak mercun dan bunga api yang diletakkan di dalam bilik rumah tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Jelas Aidi Sham, serbuan ketiga pula telah dibuat di sebuah rumah kampung yang tidak berpenghuni dan berjaya merampas 19 kotak besar mercun dan bunga api pelbagai jenis.

“Jumlah keseluruhan rampasan adalah sebanyak 43 kotak mercun dengan anggaran nilai RM30, 000.

“Hasil siasatan awal pihak polis mendapati mercun dan bunga api itu diperoleh dari negeri luar lebih kurang dua minggu lalu dan telah disimpan untuk dijual sempena perayaan musim perayaan Deepavali,” katanya.

Menurut Aidi Sham, suspek juga didapati gagal untuk mengemukakan sebarang permit yang sah untuk penyimpanan bunga api dan mercun semasa pemeriksaan dibuat.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 yang membawa hukuman jika disabitkan boleh dipenjara selama 7 tahun atau dengan denda sebanyak RM10,000 atau kedua-duanya,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, orang ramai dinasihatkan agar tidak menyimpan bahan-bahan letupan seperti mercun dan bunga api tanpa lesen yang sah.

“Orang ramai juga boleh menyalurkan sebarang maklumat jika terkesan sebarang aktiviti penjualan atau pembakaran mercun dan bunga api secara terbuka,” katanya.- K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI