fbpx

Tunggu lebih sejam beli kuih bakar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOHD. ZAIDI membakar kuih bakar tradisional di kedai Kuih Bakar MakWe di Kampung Simen, Lubuk China, Rembau kelmarin.

REMBAU – Siapa sangka, tekad sepasang suami isteri untuk pulang ke kampung halaman dan membuka kedai Kuih Bakar MakWe berbaloi apabila kuih bakar tradisional itu berjaya dijual sehingga mencecah 100 keping sehari.

Jumlah itu meningkat lebih sekali ganda pada cuti hujung minggu apabila kedai yang terletak di Kampung Simen, Jalan Panchang-Lubok China di sini men­jadi tum­puan pengguna jalan raya.

Malah, ada yang sanggup me­nunggu lebih sejam lamanya bagi menikmati kuih bakar dengan aroma sabut kelapa.

Kuih yang dijual pada harga RM6 sekeping itu dihasilkan secara tradisional yang mengambil masa di antara 45 minit hingga sejam.

Menurut Mohd. Zaidi Abdul Latib, 53, dia nekad untuk menceburi bidang perniagaan sejak lebih dua tahun lalu setelah menamatkan khidmat sebagai juru­terapi urut pasukan bola sepak kebangsaan pada 2015 dan juga pasukan bola sepak Negeri Sembilan pada 2018.

“Ketika itu, saya nak berniaga kedai makan berasaskan produk salai dan juga kuih. Saya mulakan pada 2019, namun saya lihat kuih bakar resipi tradisional ibu, Seriah Bujal, 76, ini lebih banyak mendapat permintaan.

“Jadi, saya mula merancang dengan isteri, Nurasha Lexpy Rinyos, 47, untuk fokus dalam jualan kuih bakar dan kami mela­bur hampir RM20,000 menggunakan duit Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi membeli peralatan penyediaan kuih bakar ini,” katanya ketika ditemui kelmarin.

Mohd. Zaidi berkata, dia tidak menyangka, kuih bakar air ta­ngannya dan isteri yang berasal dari Sarawak itu begitu laris sehingga ada kalanya mereka tidak menang tangan untuk bertarung dengan asap kayu api dan juga sabut kelapa untuk menyiapkan kuih tersebut.

Menurutnya, dalam satu-satu masa, kedainya itu mampu menyediakan sebanyak 70 keping kuih bakar yang dibakar hampir sejam sekiranya pembeli sudah mula beratur.

“Kalau 100 keping tu biasanya kami dah siap-siapkan bancuhan kuih bakar antaranya seperti 120 biji telur, santan 10 kilogram (kg), gula 10kg dan juga tepung.

“Kami juga akan pastikan hampir setiap hari bekalan 10 guni sabut dan tempurung kelapa diperoleh dari kedai santan untuk digunakan sebagai penyedap aroma kuih ini,” katanya.

Menurutnya, pemilihan kayu bakar juga penting iaitu hanya kayu pokok rambutan dan manggis sahaja yang digunakan.

“Saya kini berhasrat untuk mengeksport kuih bakar ini ke luar negara,” ujarnya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI