fbpx
Antara karya yang dilelong. - Sotheby's/MGM Resorts

11 karya Picasso dilelong pada harga RM457 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LAS VEGAS, NEVADA – Sebanyak 11 koleksi seni hasil karya Pablo Picasso telah dilelong pada harga keseluruhan melebihi AS$110 juta (RM457 juta) selepas dipamerkan selama bertahun-tahun di sebuah restoran di Las Vegas, lapor stesen penyiaran CNN semalam.

Kesemua hasil seni tersebut adalah sebahagian daripada Koleksi MGM Resorts dan dipamerkan di restoran berprestij di Bellagio Hotel yang dinamakan Picasso. Restoran itu diinspirasikan daripada kehidupan dan hasil karya artis terkemuka dari Sepanyol tersebut.

Acara lelongan yang berlangsung pada Sabtu lepas itu dianjurkan oleh firma lelongan dari New York, Sotheby’s.

Diadakan bersempena dengan ulang tahun kelahiran Picasso yang ke-140, MGM Resorts berkata, acara lelongan tersebut adalah yang terbesar dan paling signifikan pernah diadakan di Las Vegas.

“Lelongan ini dapat membantu menambah kepelbagaian dalam koleksi seni tersebut,” kata MGM Resorts dalam satu kenyataan akhbar pada Ogos lepas.

Karya yang paling mendapat sambutan pada acara tersebut adalah Woman in a Reddish-Orange Hat, sebuah lukisan potret kekasih dan sumber inspirasi Picasso, Marie-Therese Walter yang dihasilkan pada tahun 1983.

Potret wanita itu dihasilkan menggunakan warna-warna terang serta elemen keintiman bagi menzahirkan kehangatan hubungan cinta mereka yang berlangsung dari lewat tahun 1920-an hingga 1930-an.

Lukisan tersebut dilelong pada harga melebihi AS$40 juta (RM166 juta) meskipun pada asalnya ia dijangka dijual pada harga antara AS$20 juta (RM83 juta) dan AS$30 juta (RM125 juta).

Sementara itu, menurut jurucakap MGM Resorts, kumpulan tersebut buat masa ini masih memiliki 12 lagi hasil karya Picasso yang akan menggantikan kesemua koleksi yang telah dilelong di restoran Picasso. – AGENSI 

POPULAR