fbpx

‘Orang lain dibantu, kami tidak’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Amirul FAIZAL menunjukkan keadaan rumah ibunya selepas dilanda ribut di Lorong Atap, Jalan Bakek, Pontian semalam.

PONTIAN – Seorang ibu tunggal bersama anak perempuan yang menetap di Lorong Atap, Jalan Bakek di sini terpaksa tinggal dalam keadaan serba kekurangan di dalam sebuah rumah ­usang peninggalan arwah bapanya yang dibina sejak 30 tahun lalu.

Malah, dalam kejadian ribut yang melanda kawasan itu pada Jumaat lalu menyebabkan sebahagian atap rumah yang didiami Jamaliah Abdullah, 54, dan anaknya, Emelia Shahirah, 19, tercabut.

Setelah seminggu, keluarga itu masih mampu membaiki kerosakan tersebut dan terpaksa tinggal dalam kesejukan apabila air membasahi ruang di dalam rumah ketika hujan.

“Sudah seminggu atap rumah saya tercabut, tetapi bantuan untuk membaik pulih masih belum diterima, jika ada pun setakat mengambil gambar serta mencatat butiran peribadi,” katanya ketika ditemui semalam.

Menurutnya, walaupun rumahnya dibina di atas tanah rizab Jabatan Pengairan Saliran (JPS) di tepi Sungai Pontian Kecil, namun dia membayar lesen pendudukan sementara (Tol) pada setiap tahun.

Katanya, dia tidak mempunyai tanah untuk membina rumah baharu dan kediaman yang diduduki sekarang adalah peninggalan arwah bapanya.

“Saya terkilan apabila ada pihak yang mempertikaikan status tanah yang kami duduki seolah-olah menghalang kami daripada menerima sebarang bentuk bantuan termasuk bencana alam.

“Bantuan lain ketika musim Covid-19 seperti bakul makanan yang dianjurkan oleh wakil-wakil rakyat pun tidak pernah sampai kecuali daripada Majlis Perbandaran Pontian,” ujarnya.

Menurut ibu kepada tiga cahaya mata itu, dia kini menjual kuih-muih sebagai sumber pendapatan di Taman Sri Aman di sini dengan pulangan RM50 sehari.

Sementara itu, anak Jamaliah, Amirul Faizal Jumaat, 32, mendakwa, dia mendapat tahu banyak bantuan disalurkan kepada mangsa-mangsa ribut di Pontian baru-baru ini, namun tiada pihak yang tampil membantu ibunya.

“Saya hanya bekerja sebagai pembantu di gerai menjual ikan di Pasar Kecil dan pendapatan pun tidak seberapa, hanya cukup menampung kehidupan saya, isteri dan dua orang anak,” ujarnya.

Orang ramai yang ingin meng­hulurkan bantuan boleh menghubungi Jamaliah di talian 016-6453593 atau melalui akaun Bank Islam miliknya 01108020165870.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI