fbpx

Lesen penerbitan produksi patut disekat, ditarik semula – Zed Zaidi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Zed Zaidi menjawab dakwaan sesetengah netizen persatuan dikepalainya iaitu Seniman bersikap seksis.

PETALING JAYA – Turut terpalit kontroversi ‘gurauan rogol’ apabila dikatakan hanya menyediakan platform buat pelakunya iaitu Fauzi Nawawi memberikan penjelasan, Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) menuntut pihak produksi yang menyiarkan program berkenaan turut bertanggungjawab.

Presiden Seniman, Zed Zaidi atau nama lengkapnya, Rozaidi Abdul Jamil berkata, kesalahan tidak sepatutnya diletakkan seratus peratus di atas bahu Fauzi. Pun begitu, pihak seniman turut tidak bersetuju atas apa yang berlaku sehingga telah menconteng arang terhadap dunia seni tanah air.

“Ada garis panduan yang perlu dipatuhi sebelum menerbitkan sesebuah rancangan bual bicara. Kalau pihak produksi sendiri tidak cakna tentang perkara tersebut (garis panduan), lesen penerbitan mereka patut ditarik semula atau disekat.

“Mereka patut sedar, matlamat tidak menghalalkan cara. Sensitiviti dan aib semua orang harus dilindungi. Ya benar, Fauzi salah kerana keterlanjuran katanya namun bukan dia seorang sahaja yang salah tetapi semua yang terlibat.

“Saya percaya sebelum memulakan rakaman, produksi sudah diterangkan tentang etika dan ‘pantang larang’ yang perlu dipatuhi. Program tersebut bukan program siaran langsung (live). Kalau nak hukum, hukum pihak produksi atau penerbit sekali kerana merekalah kepalanya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online sebentar tadi.

Ditanya tentang sama ada pihak Seniman akan turut bersedia menyediakan platform buat Raja Farah untuk memberi penjelasan, Zed berkata, memang tiada masalah untuk perkara itu dilakukan.

“Seniman boleh buat sesi live dengan Raja Farah namun saya difahamkan, dia sendiri sudah tidak mahu memanjangkan isu ini. Saya sendiri sudah mendengar kenyataan suaminya dan saya sangat menghormati keterbukaannya tentang apa yang berlaku.

“Fauzi sendiri dah mohon maaf dan saya fikir, isu ini sudah selesai. Apa yang berlaku sepatutnya memberi pengajaran kepada semua orang agar isu ini tidak lagi berulang pada masa hadapan.

“Dan, cadangan saya, kementerian yang terlibat iaitu Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPKWM) atau agensi-agensi di bawahnya mungkin boleh melakukan sesuatu. Mungkin boleh jemput Raja Farah untuk berkata sesuatu dalam mana-mana sesi live mereka?.

“Seniman tak seksis tapi ini semua adalah tanggungjawab bersama. Kita taknak ‘kanser’ ini terus merebak dengan hanya peluru-peluru kata keluar daripada mulut tapi tiada tindakan untuk memberi pengajaran agar perkara sama tidak berulang,” ujar Zed lagi.

 

Poster sesi siaran langsung Seniman yang dikecam netizen.

Terdahulu, Seniman dikritik hebat netizen dalam ruangan media sosial terutama menerusi ruangan Twitter apabila dikatakan hanya memberi platform kepada golongan lelaki untuk memberi penjelasan berkenaan isu gurauan rogol yang menjadi tular semalam.

Malam tadi, Zed dan Fauzi bersiaran langsung menerusi TikTok bagi memberi penjelasan berkenaan kontroversi yang melanda pelakon filem Munafik itu disebabkan keterlanjuran gurauannya dalam sebuah program bual bicara, Rumah 107. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI