fbpx
ADELE

Adele temui jiwa yang hilang dalam album baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TIADA secebis penafian apabila wanita itu melancarkan karya muzik, pasti akan mendapat sambutan hebat daripada orang ramai di seluruh dunia.

Dia, wanita bernama Adele atau nama lengkapnya, Adele Laurie Blue Adkins. Easy On Me yang dipetik daripada album terbaharunya, 30, kini merupakan lagu paling tinggi jumlah penstriman menerusi Spotify dalam tempoh sehari.

Easy On Me yang merupakan trek pertama album 30 berjaya mengumpul jumlah strim tertinggi iaitu 24 juta dalam tempoh sehari. Kejayaan tersebut sekali gus memadam rekod yang sebelum ini dipegang kumpulan K-pop popular, BTS menerusi lagu Butter (20.9 juta).

Adele merupakan seorang pemuzik yang tahu keinginan dirinya. Dia yang berusia 33 tahun tidak perlu meluncurkan album setiap tahun untuk membuktikan dirinya masih wujud dalam gelanggang dunia seni. Pun begitu, apabila tiba masa untuk dirinya ‘keluar gua’, keraian luar biasa datang daripada peminatnya.

Kekusutan

“Saya memang tidak tahu di mana saya berharap akan berada apabila saya mula menulis album ini lebih kurang tiga tahun lalu. Agak bertentangan sebenarnya. Saya bergantung kepada rutin dan konsistensi untuk berasa selamat. Saya memang begitu.

“Dan waktu itu, saya dalam keadaan sedar dan penuh kesudian melontarkan diri dalam labirin yang penuh dengan kekusutan dan kekeliruan,” kata Adele menerusi satu muat naik penulisan dalam Instagram ketika mengumumkan tarikh peluncuran album studio keempatnya.

ADELE menyifatkan dalam tempoh lima tahun berlalu, dia semakin mengetahui kebenaran tentang banyak perkara.

Sangat dikenali sebagai pemuzik yang sangat puitis, Adele menerusi penulisan sama mengatakan, dia belajar banyak kebenaran tentang dirinya ketika proses menyiapkan album tersebut.

“Saya belajar banyak tentang kebenaran yang tidak menyenangkan tentang diri sewaktu proses yang disebutkan. Saya kupas banyak lapisan. Pada masa sama, membalut yang baharu.

“Saya berjaya menjumpai mentaliti bermanfaat dan menyihatkan untuk berdepan hari mendatang. Saya rasa macam saya menjumpai semula jiwa yang tertinggal. Saya boleh cakap saya tak pernah rasa sebegini aman dalam hidup saya,” coret pelantun lagu Someone Like You itu.

Kehancuran rumah tangga

Perkahwinan Adele dengan usahawan, Simon Konecki hanya bertahan tiga tahun dan menerusi album 30, wanita itu mendokumenkan muziknya dengan tema kehancuran rumah tangga. Seperti biasa, lagu patah hati memang tidak boleh ‘lari’ sejak Adele mula aktif dalam industri muzik global.

Adele memaklumkan kepada majalah Vogue, album baharunya dirakam dengan hasrat membantu anaknya, Angelo Adkins yang berusia sembilan tahun memahami mengapa dia dan Simon memutuskan untuk bercerai.

ADELE kini berpacaran dengan ejen sukan, Rich Paul. Perkara itu didedahkannya menerusi muat naik status Instagram baru-baru ini.

“Saya ingin menjelaskan kepadanya, apabila dia berusia 20 atau 30 tahun nanti, siapa saya dan mengapa saya perlu mengejar kebahagiaan saya sendiri.

“Saya tahu dia tidak selesa dan itulah yang melukakan saya. Saya tidak tahu adakah luka itu akan sembuh,” katanya.

30 membawa simbol usianya ketika mengahwini Simon Konecki, sebelum bercerai tiga tahun kemudian.

“Seluruh hidup saya hancur dan (kehancuran) datang tanpa amaran,” kata Adele ketika ditanya mengapa dia memutuskan menamatkan perkahwinannya, dia menolak untuk mendedahkannya dan menyifatkan perkara itu sesuatu yang ‘memalukan’.

“Saya tahu, saya kelihatan tersangatlah berbeza daripada kali terakhir kalian melihat saya. Tapi sebenarnya, disebabkan permasalahan Covid-19, saya terpaksa kurangkan melancong dan saya hanya boleh bawa separuh dari diri dan inilah separuh yang saya pilih.”

Demikian kata Adele secara berseloroh ketika membuat penampilan pertama setelah lama menyepi dalam program Saturday Night Live, Oktober tahun lalu. Berperanan mengacara program terbabit, ramai yang terkejut dan terpegun dengan penampilannya.

‘Senam, tak diet’

Kata Adele kepada Vogue, rejim senamannya termasuklah angkat berat dan latihan ‘circuit’. Dia mula berlatih sejak tiga tahun lalu.

“Saya buat latihan angkat berat pada waktu pagi. Kemudian saya pergi mendaki atau bertinju pada waktu petang. Sebelah malam, saya buat senanam kardio,” katanya yang menjalani latihan senaman di Heart & Hustle gym di Los Angeles, California, Amerika Syarikat.

PERUBAHAN fizikal Adele mengejutkan ramai pihak, namun akuinya, dia tidak melakukan sebarang diet tetapi lebih kerap bersenam.

Adele menafikan perubahan fizikalnya adalah disebabkan diet yang melampau seperti dakwaan sesetengah pihak. Katanya: “Tiada puasa intermittent fasting (diet puasa). Tiada langsung. Saya boleh makan banyak seperti biasa disebabkan saya bersenam,” katanya kepada British Vogue.

Tambahnya yang berjaya menurunkan berat badan lebih 45 kilogram (kg), tujuan menjalani gaya hidup sihat bukan disebabkan ingin turun berat badan semata-mata.

“Saya berdepan masalah keresahan (anxiety). Bersenam buat saya rasa lebih baik. Tak pernah terfikir pasal turun berat badan tetapi nak jadi lagi kuat dan meluangkan lebih banyak masa tanpa telefon. Saya jadi ketagih dengannya,” katanya lagi.

Luahnya lagi, dia sedar bahawa banyak komen negatif yang tidak berpuas hati dengan penampilan baharunya.

DISKOGRAFI keempat Adele berjudul 30 akan dilancarkan pada 19 November depan.

“Sepanjang karier, saiz badan saya selalu dijadikan objek perbualan. Saya faham ramai dalam kalangan peminat terutama wanita rasa disakiti. Secara visualnya, saya mewakili ramai kaum wanita. Bagaimanapun, saya tetap orang yang sama.

“Kalian tak perlu bertubuh gempal untuk menyokong kempen ‘body positive’. Kalian boleh bertubuh apa saiz sekalipun,” katanya.

Itu coretan seperenggan dua tentang Adele yang ‘baharu’. Selain sudah kurus, beralih daripada cinta lama, anak yang semakin membesar, dia juga sudah bertemu cinta baharu. Pertengahan September lalu, dia mengesahkan hubungan cintanya dengan ejen sukan, Rich Paul.

Paul merupakan pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif, Klutch Sports dan ketua UTA Sports di mana dia merupakan ejen yang mewakili ramai atlet profesional termasuk bintang bola keranjang, LeBron James.

Tanda kalendar kalian. 30 akan berada di pasaran pada 19 November. Bersiap siagalah dengan berkotak-kotak tisu berdepan rasa hati Adele yang sememangnya terkenal sebagai seorang pemuzik yang cemerlang melahirkan karya-karya patah hatinya.

POPULAR