fbpx

Pekerja pijak belacan semasa proses menjemur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pekerja didapati memijak ketika menjemur belacan dalam pemeriksaan di sebuah kilang di Butterworth hari ini.

SEBERANG PERAI – Jemur belacan sambil dipijak dengan selipar. Itu situasi menjijikkan yang dikesan semasa operasi oleh Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM), Jabatan Kesihatan negeri di sebuah kilang memproses belacan di Butterworth di sini hari ini.

Bahkan, kilang yang dipercayai beroperasi lebih lima tahun tanpa lesen perniagaan yang sah itu turut didapati menggunakan logo halal meragukan.

Sementara itu, dalam operasi berasingan di sebuah kilang pembuatan tauhu di Tasek Gelugor di sini turut mendapati persekitaran dan proses pembuatannya yang kotor selain penemuan najis tikus.

Akibatnya, kedua-dua kilang berkenaan diarahkan ditutup selama dua minggu mengikut Seksyen 11, Akta Makanan 1983 untuk kerja-kerja pembersihan.

Ketua Unit Penguatkuasaan BKKM, Mohd. Wazir Khalid berkata, arahan itu dibuat susulan penemuan najis tikus semasa Op Bersih yang dijalankan pihaknya bersama Majlis Bandaraya Seberang Perai tersebut.

“Kilang tauhu itu pernah diperiksa dua bulan lalu melibatkan soal pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

“Bagaimanapun, hari ini bukan sahaja kita menjumpai najis tikus di dalam stor, tapi keadaan kilang kotor dengan lebihan tauhu yang berselerakan,” katanya kepada pemberita sejurus operasi berkenaan hari ini.

Menurutnya, sebanyak tujuh notis kompaun bernilai RM12,000 atas pelbagai kesalahan berkaitan kebersihan telah dikeluarkan pada operasi itu.

“Pada masa sama, terdapat di antara lapan hingga sembilan pekerja di kedua-dua buah premis yang belum mendapat suntikan tifoid dan dikenakan kompaun secara individu untuk kesalahan itu,” ujarnya.

Tambah beliau, antara kesalahan lain yang turut dikesan adalah peralatan yang digunakan kotor dan tidak memakai pakaian perlindungan diri (PPE). – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI