fbpx

Kak Ani tak letih, tak pernah serik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NORANIZA IDRIS

SELAMA 35 tahun mengabdikan diri sebagai anak seni, wanita yang diberi jolokan Ratu Irama Malaysia Noraniza Idris itu tidak pernah jemu memperjuangkan genre irama tradisional, biarpun sedar penerimaan dalam kalangan masyarakat semakin memudar.

Rasa cinta dan sayangnya terhadap irama tradisi Melayu itu tidak pernah luntur.

Dia kerap melaksanakan pelbagai bengkel dan program melibatkan aktiviti kesenian semata-mata untuk menarik minat golongan muda mencintai akar budaya sendiri.

Sayangnya, usaha dan semangat yang diperjuangkan oleh anak jati kelahiran Kluang, Johor itu adakalanya dipandang sepi segelintir pihak, setiap kali kertas kerja dibentang untuk menjalinkan usahasama.

Namun, dek semangat dan azam yang tinggi, Noraniza atau mesra disapa Kak Ani, 53, tetap meneruskan perjuangan bersama pasukannya demi melihat irama tradisi Melayu diangkat ke tahap tertinggi.

Bercakap kepada HibGlam, Noraniza mengakui bukan mudah sebenarnya untuk memperjuangkan muzik irama tradisional lebih-lebih lagi kepada generasi muda hari ini.

“Bukan mudah untuk menongkah arus untuk bangkitkan semangat dan cinta kepada seni dan budaya.

“Berlawan arus dengan permintaan penaja yang lebih bersifat komersial dan ketengahkan muzik yang bukan menjadi minat generasi masa kini adalah antara cabaran utama yang perlu dilalui,” katanya.

PENYANYI berusia 53 tahun ini sedang dalam perancangan menghimpunkan artis-artis Irama Malaysia untuk bernaung bawah satu bumbung.

Perancangan 2022

Menuju ke gerbang 2022 yang masih berbaki tidak sampai tiga bulan, Noraniza yang popular menerusi lagu Awallah Dondang mempunyai impian dan perancangan tersendiri.

Tekadnya, mahu terus membudayakan Irama Malaysia.

“Kini, saya bersemangat untuk memperjuangkan semula Irama Malaysia dengan lebih agresif pada tahun hadapan.

“Sempena menjelang tahun 2022, saya akan mula menerbitkan semula lagu-lagu Irama Malaysia.

Bahkan besar juga harapan saya supaya sektor pelancongan negara dibuka seluas-luasnya pada tahun 2022,” kata Noraniza.

Sebagai langkah pertama, Noraniza sedang memfokuskan penerbitan sebuah single terbaharu bersama syarikat milik penyanyi legenda, Datuk M. Nasir iaitu Luncai Emas (M) Sdn. Bhd. yang turut menampilkan kerjasama bersama komposer berbakat besar, Luca Sickta.

“Jika tiada aral, Disember tahun ini, akan muncul single terbaharu daripada saya.

“Kali ini saya akan bergandingan dengan seorang artis lelaki baharu yang masih dalam proses pemilihan mengikut kesesuaian vokal saya.

“Saya menyasarkan untuk mengeluarkan sekurang-kurangnya lima single baharu berkonsepkan lagi-lagu Irama Malaysia pada tahun hadapan,” jelasnya.

Rancak berkongsi segala perancangan yang telah disusun pada tahun hadapan, nada Noraniza tiba-tiba bertukar.

Ujarnya, dia sedikit tersentuh apabila ‘lamarannya’ untuk berkolaborasi dengan beberapa nama artis ditolak atas alasan tertentu.

PENYANYI bersuara lemak merdu ini bakal muncul dengan sebuah single baharu pada Disember nanti hasil sentuhan komposer baharu Luca Sickta.

Tidak serik

Noraniza berkata, dia pernah berhasrat untuk bekerjasama dengan beberapa nama artis yang dikenali hari ini untuk menghasilkan single duet, namun cadangan tersebut ditolak oleh artis terbabit.

“Ada beberapa nama artis yang pernah saya ajukan cadangan untuk bekerjasama, tetapi ditolak dengan cara baik.

“Saya cuma bersangka baik walaupun sedikit tersentuh.

“Tidak mengapa sebab mungkin mereka punya perancangan sendiri. Saya pun sedar diri siapalah saya,” katanya merendah diri.

Bagaimanapun, Noraniza tidak pernah serik kerana menganggap situasi yang dialaminya itu sebenarnya perkara biasa dan tidak ada isu yang perlu diperbesar-besarkan.

“Saya tak rasa kecil hati pun, cuma sedikit tersentuh,” ujarnya.

Berkongsi kisah peribadinya yang kini telah bergelar seorang nenek, Noraniza berseloroh sebenarnya, tidak dapat menerima hakikat dirinya kini bergelar nenek.

NORANIZA menyimpan iltizam untuk sekurang-kurang mampu menjadi rujukan kepada golongan pelapis daripada pelbagai bangsa yang mahu mendalami seni budaya Melayu. – FARIZWAN HASBULLAH

Nenek

Mendedahkan pengalaman lucu pada peringkat awal kelahiran cucu sulungnya, Hannah pada Mac lalu, Noraniza mengakui, perasaan sebegitu timbul kerana masih belum bersedia.

Dia juga berasakan masih terlalu muda untuk menggalas gelaran itu.

“Mulanya, saya tak boleh terima kenyataan sudah menjadi nenek. Malah, saya kekok kerana sudah lama tidak mempunyai anak kecil.

“Namun, perasaan tidak selesa hilang dan rasa sayang pula makin bertambah. Perasaan sayang pada anak dan cucu amat berbeza.

“Lagipun, saya tidak mempunyai anak perempuan. Apabila lama tidak berjumpa, rasa rindu sukar untuk digambarkan,” katanya yang lebih selesa menggelarkan diri sebagai Nanny berbanding nenek.

Bayi perempuan berusia enam bulan itu adalah hasil perkongsian anak sulungnya, Aliff Haiqal dan isteri, Ezza Nafiesha Zakaria.

NORANIZA berharap tahun 2022 terus memberi sinar baharu kepada semua penggiat seni, khasnya pendokong lagu-lagu Irama Malaysia.

Sama seperti orang lain juga, Noraniza mengakui kes penularan Covid-19 menyebabkan dia sentiasa berasa paranoid dalam menjalani kehidupan seharian.

“Saya seorang yang memang ikut peraturan. Apabila kerajaan nasihat jangan keluar rumah, saya memang akan duduk di rumah sahaja. Nak keluar ke halaman pun rasa bimbang.

“Nak jumpa cucu rasa risau, maklum masih lagi bayi. Ada kala saya akan menghubungi anak untuk memastikan mereka dalam keadaan baik.

“Jika mengalami batuk-batuk kecil, saya akan menasihatkannya melakukan pemeriksaan. Takut juga jika penyakit lain yang timbul,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI