fbpx

Ejen Ali 3 pikat Disney+ Hotstar Asia Pasifik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PENONTON di Malaysia boleh menantikan rangkaian luas kandungan APAC di Disney+ Hotstar pada tahun depan termasuklah siri animasi popular Ejen Ali musim ketiga.

DEMI menampilkan program terbaik buat penonton setia, platform penstriman popular memperkenalkan lebih 20 judul kandungan Asia Pasifik (APAC) termasuk 18 kandungan Originals.

The Walt Disney Company menerusi Disney+ dan Disney+ Hotstar bekerjasama bersama pencipta kandungan terbaik dan terbaharu tempatan di rantau ini dalam projek APAC untuk memperoleh kandungan yang menarik.

Projek APAC terbaharu bakal menampilkan penerbitan asli oleh pencipta-pencipta kandungan terhebat dan lakonan bintang popular merangkumi drama, komedi, fantasi, cinta, fiksyen, ilmiah, jenayah, seram, dokumentari, anime mahupun rancangan aneka ragam dari Malaysia, Jepun, Korea Selatan, Indonesia, China dan Australia.

Difahamkan, program baharu kandungan APAC dapat ditonton di platform penstriman Disney+ Hotstar bermula pada tahun hadapan.

Menurut Presiden The Walt Disney Company Asia Pasifik, Luke Kang, projek baharu yang diumumkan merupakan sebahagian daripada aspirasi Disney untuk menerajui lebih 50 penerbitan kandungan Originals di APAC menjelang 2023.

“Selama beberapa dekad ini, The Walt Disney Company telah menghiburkan pengguna dan menjadi sebati dengan ekosistem kreatif tempatan.

“Hari ini, kami membuat satu lagi komitmen dengan menyatukan sumber global syarikat dengan pencipta kandungan terkemuka dari Asia Pasifik untuk mengembangkan dan menghasilkan kisah-kisah asli di Disney+ serta Disney+ Hotstar.

“Seiring populariti perkhidmatan OTT, kemunculan kandungan bertaraf dunia dari Asia Pasifik dan peningkatan minat pengguna, kami yakin inilah masa terbaik untuk merancakkan kerjasama dengan pencipta kandungan di rantau ini bagi membawakan penceritaan yang tiada bandingan kepada penonton global,” ujar Luke Kang dalam sidang media secara virtual baru-baru ini.

Bukan itu sahaja, dalam beberapa tahun akan datang, Disney akan melancarkan beraneka kandungan hiburan berjenama premium menerusi platform penstriman tersebut, termasuk kandungan daripada francais jenama globalnya dan program daripada studio-studio popular seperti Disney, Marvel, Star Wars, Pixar, National Geographic dan Star.

Dalam pada itu pengguna di Malaysia boleh menantikan rangkaian luas kandungan APAC di Disney+ Hotstar pada tahun depan termasuklah siri animasi popular Ejen Ali musim ketiga.

Siri terbaharu Ejen Ali musim ketiga dihasilkan bersama oleh Primeworks Studios, Wau Animation dan Disney+ Hotstar.

Menariknya, watak-watak siri berkenaan akan mengembara ke bandar futuristik Cyberaya dengan ejen rahsia dan melakukan misi yang mustahil.

Selain itu, terdapat juga drama thriller aksi, Moving merupakan karya dari Korea Selatan yang diadaptasi daripada kartun web (webtoon) Kang Full.

Snowdrop pula merupakan siri melodrama romantik yang dibintangi pelakon Korea terkenal, Jung Hae-in dan Jisoo dari kumpulan Blackpink.

Diilhamkan oleh penerbit drama Sky Castle, Snowdrop merupakan antara drama paling dinanti-nantikan tahun ini sementara, Grid adalah siri baharu bergenre misteri oleh penulis prolifik yang memenangi banyak anugerah, Lee Su-yeon.

Eksklusif menerusi Disney+ Hotstar dan di pawagam, BLACKPINK: The Movie merupakan sebuah dokumentari tentang kumpulan K-pop yang popular bagi meraikan ulang tahun kelima mereka.

Antara judul lain yang ditayangkan secara eksklusif di platform Disney+ Hotstar adalah Rookies, Tokyo MER terbitan Mobile Emergency Room), Lack Rock Shooter Dawn Fall, Summer Time Rendering, Yojohan Time Machine Blues, Sasah Sinyal (Bad Signal) dan Small & Mighty.

Tidak terhad di situ, Disney turut menampilkan, drama Delicacies Destiny yang merupakan sebuah karya klasik China bertemakan makanan ilham daripada penerbit veteran, Yu Zheng susulan kejayaan drama Story of YanXi Palace dan Shipwreck Hunters sebuah dokumentari dari Australia.

Kelas pakar kreatif

Demi melahirkan karya berkualiti tinggi, Disney juga melancarkan program Pengalaman Kreatif APAC sebagai inisiatif pertama, khususnya bagi menyatukan ratusan pencipta kandungan terkemuka daripada APAC dalam kelas pakar kreatif.

Menerusi kelas pakar kreatif, forum diskusi dan aktiviti lain yang diadakan, Disney bakal menjemput pencipta kandungan terkemuka dari seluruh APAC untuk bertemu dengan pengamal kreatif daripada beberapa jenama dan studio utama syarikat.

“Jadi kami berharap dapat berkongsi pandangan bersama bakat-bakat terkemuka di rantau ini tentang proses dan penghasilan karya kreatif bersama pencipta kandungan terulung di dunia,” ujar Luke Kang.

Sebagai informasi, perkhidmatan penstriman Disney+ kini tersedia di Australia, New Zealand, Jepun, Singapura, India, Malaysia, Indonesia dan Thailand, dengan pelancaran akan datang di Korea Selatan, Hong Kong dan Taiwan pada November 2021.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI