CORRIE lazimnya melaksanakan urusan syahadah saudara-saudara baharu di pejabat Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) kerana fasiliti yang lengkap.

Cabaran bantu mualaf dalami ilmu Islam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DUTA dan Ikon Celik al-Quran Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan serta Tokoh Maal Hijrah Negeri Selangor 2017, Adam Corrie Lee Abdullah adalah antara salah seorang yang dikenali aktif menyampaikan dakwah Islam.

Ini termasuk mengislamkan saudara-saudara baharu berteraskan rasa cinta dan keinginan mencontohi perjuangan dakwah Rasulullah SAW.

Corrie mendakwa, dia memeluk Islam pada 2007 disebabkan bukan sahaja terpesona dengan akhlak Nabi Muhammad SAW yang amat terpuji, tetapi juga menjadi pembakar semangat buat dirinya untuk terus berdakwah kepada orang ramai untuk mendekati agama Islam.

——————————————————————————————————————————
JATUH cinta dengan akhlak Nabi Muhammad SAW bukan sahaja membuatkan Adam Corrie Lee Abdullah, 53, memeluk agama Islam tetapi turut menjadi pembakar semangat buat dirinya meneruskan perjuangan dakwah Rasulullah.

Setakat ini, lelaki berketurunan Cina itu telah berjaya mengislamkan seramai 20 orang saudara baharu yang mana kebanyakan mereka tertarik dengan akhlak ditunjukkan Corrie menerusi perkongsiannya di laman sosial.

Anak kelahiran Balik Pulau, Pulau Pinang itu memeluk agama Islam pada 13 Julai 2007 dan sejak itu, dia aktif berkongsi kisah-kisah Rasulullah termasuklah aktiviti sehariannya bersama keluarga serta sahabat-handai.

Corrie tidak menyangka hantaran di laman sosial itu menarik perhatian orang bukan Islam sehingga dia menerima banyak direct message (DM) daripada individu tidak dikenali yang menyatakan hasrat memeluk Islam.

“Ada seorang lelaki India yang bekerja di Australia telah DM saya dan memberitahu bahawa dia sangat menyukai perkongsian tersebut sebelum berkata akan memberi kejutan apabila pulang ke Malaysia nanti.

“Selepas itu, saya menerima DM daripadanya dan dia memberitahu, alhamdulillah telah memeluk Islam kerana tertarik dengan tulisan saya mengenai Islam,” katanya berpengalaman sebagai koreografer tarian lebih dua dekad kepada K2.

MENUNAIKAN umrah menerbitkan rasa yang sukar diucapkan dengan kata-kata oleh Corrie.

Perkongsiannya di laman sosial itu juga berjaya menjentik hati seorang warganegara Amerika Syarikat yang bertugas sebagai anggota tentera laut sehingga dia disyahadahkan oleh Corrie ketika datang ke Malaysia.

Corrie melaksanakan urusan syahadah saudara-saudara baharu di Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) kerana di situ fasilitinya sangat lengkap, manakala para ustaz atau ustazah juga terdiri daripada pelbagai kaum sehingga memudahkan komunikasi andai terdapat sebarang pertanyaan daripada mualaf.

Pelakon dan koreografer aksi lasak itu mengambil pendekatan berdakwah secara bil hal iaitu menunjukkan teladan yang baik sama seperti dilakukan oleh Rasulullah.

Nabi Muhammad berdakwah dengan menunjukkan akhlak terpuji walaupun disakiti dan dizalimi, tetapi baginda tidak pernah berdendam sebaliknya memperlakukan mereka dengan sangat baik serta penuh kasih sayang.

“Sehubungan itu, ramai yang memeluk agama Islam kerana akhlak Rasulullah dan itu menjadi pegangan saya ketika berdakwah,” ujarnya yang kini merupakan Duta dan Ikon Celik al-Quran Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

Kisah akhlak dan kemuliaan hati Nabi Muhammad juga telah membuka pintu hati Corrie untuk memeluk Islam.

“Saya tertarik dengan Islam apabila seorang sahabat membacakan kisah 25 Rasul dan yang paling membuatkan saya teruja adalah apabila mendengar cerita Nabi Muhammad.

“Untuk mendalami lebih lanjut mengenai baginda, saya kemudian membeli buku riwayat hidup Rasulullah sehingga terbaca kisah dakwah Nabi di kota Taif yang membuatkan saya berasa sangat emosi dan tekad untuk memeluk agama Islam,” katanya.

Selepas itu, Corrie berdoa agar diberikan petunjuk dan hidayah sehingga tertidur.

CORRIE bersama isterinya, Fazima dan anak mereka.

Kemudian, tiba-tiba datang cahaya terang berupa manusia berjubah putih yang memandang tepat pada matanya dengan penuh kasih sayang serta sangat menenangkan.

“Kemudian saya ‘terbangun’ di sebuah dunia yang mempunyai pemandangan sangat luas, cantik dan memenangkan seperti di syurga.

“Saya terjaga daripada mimpi indah apabila terdengar azan Subuh dan keesokannya pergi ke Perkim untuk mengucapkan syahadah,” ceritanya yang sebelum ini beragama Buddha.

Akui bapa kepada seorang cahaya mata itu, selepas memeluk agama Islam, hidupnya berasa lebih tenang terutama ketika solat yang membuatkan fikirannya relaks serta kurang tekanan.

Ketika di set penggambaran, Corrie tidak suka melayan gosip yang tidak bermanfaat, sebaliknya menambah pahala dengan menceritakan kisah Rasulullah dan para sahabat baginda.

“Suatu ketika dahulu, saya pernah ditegur seorang kru produksi kerana solat di set penggambaran disebabkan dia anggap saya ini cuba berlagak baik.

“Pada masa sama dia berasa tercabar kerana dilahirkan Islam tetapi tidak pernah sembahyang sedangkan saya ini seorang mualaf,” ulasnya.

Hasil teladan baik yang ditunjukkan Corrie juga telah membuka hati mereka di set penggambaran sehingga bilangan jemaah semakin bertambah saban hari dan dia mengimamkan solat.

Dakwah Corrie semakin serius apabila dia menubuhkan Kembara Iman Saudara Baru pada tahun 2015 hasil cetusan idea bersama isteri, Fazima Mohd. Fuad, 43, untuk membantu dan memantapkan lagi akidah mualaf.

“Saya sering menceritakan keseronokan mengerjakan umrah kepada isteri dan selepas dua tahun kahwin, kami mengerjakan ibadah itu bersama sehingga dia berasa teruja kerana dapat merasai perasaan yang sukar digambarkan dengan kata-kata.

“Lantas, isteri mencadangkan supaya kami menubuhkan pertubuhan untuk membantu para mualaf dan membawa mereka mengerjakan umrah agar merasai keindahan ibadah itu seperti yang kami rasa,” tuturnya yang gemar memancing pada masa lapang.

Umrah kelolaannya sedikit berbeza kerana jemaah mualaf itu hendaklah mengikut program disediakan antaranya dengan mengikuti pengajian kitab seperti Fiqh Mualaf.

CORRIE berazam untuk terus berjuang menyeru kepada dakwah Islam terutamanya menerusi pendekatan dakwah bil hal iaitu menunjukkan teladan yang baik.

Corrie akan mencari dana untuk menampung perbelanjaan jemaah tersebut yang mana kesemua kos ditanggung pertubuhan itu dan peserta dibahagian kepada lelaki dan wanita untuk dibimbing ustaz serta ustazah

“Saya sangat seronok kerana selepas pulang daripada umrah ada yang berjaya mengislamkan kawan-kawan dan keluarga, malah tidak kurang juga berjaya menghafaz 13 juzuk al-Quran serta rajin mengikuti kelas Fardu Ain.

“Sekarang kami sedang mengumpul dana untuk program umrah pada tahun hadapan melibatkan 70 jemaah yang mana pada kali ini bermatlamat untuk melahirkan pendakwah bertauliah dengan bimbingan ustaz dan ustazah,” ujar penerima anugerah Tokoh Maal Hijrah peringkat negeri Selangor 2017.

Di samping itu, pertubuhan Kembara Iman Saudara Baru juga aktif mengadakan program sumbangan bakul makanan untuk membantu mualaf yang terkesan ekoran Covid-19. Salah satu program ialah Dapur Daie ke Asnaf yang akan dilaksanakan pada 31 Oktober ini dengan mengagihkan 500 bungkus atau bakul makanan.

Ketika berdakwah, Corrie tidak terlepas daripada pelbagai cabaran tetapi setiap kali ditimpa ujian, dia akan membuka buku kisah 25 Rasul sebagai pedoman membangkitkan kekuatan.

CORRIE turut menulis buku berjudul Ada Iman, Baru Syok, Ada Fight.

“Kisah dakwah Nabi di kota Taif cukup memberi semangat kepada saya. Bayangkan baginda dilayan dengan sangat buruk, diludah dan dilempar batu sehingga berdarah tetapi tidak berputus asa apatah lagi mendoakan keburukan menimpa mereka.

“Ujian yang kita terima ini sangat kecil jika dibandingkan Nabi Muhammad dan para rasul, jadi apa yang kita perlu lakukan ialah berdoa kepada Allah agar diberikan petunjuk, kekuatan dan kesihatan baik untuk terus berdakwah,” katanya yang mengakui pernah menerima DM yang cuba memesongkan aqidahnya dan perkara itu ditepis dengan baik serta berhemah.

Salah satu tanda cinta Corrie kepada Rasulullah juga ialah dengan mengamalkan sunnah baginda seperti membantu meringankan beban isteri dengan menolong ‘bidadarinya’ itu di dapur, mengemas dan membersihkan rumah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN