fbpx
Abang penyanyi Tajul, Khalis (kanan) berbulan-bulan terlantar akibat serangan penyakit misteri.

Bukan biadab, Tajul jaga-jaga terima hadiah, makanan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA – Penderitaan yang dilalui abang kandung sendiri yang berbulan-bulan terlantar akibat serangan penyakit misteri membuatkan penyanyi Tajul Ariff sangat berjaga-jaga saat ditawarkan sebarang hadiah atau pemberian makanan daripada peminat.

Bukan bersikap biadab mahupun buruk sangka, Tajul sebaliknya yakin hanya orang yang pernah melalui situasi sama memahami punca pendekatan yang diambil ketika ini.

“Sebenarnya dari dahulu pun saya sentiasa berhati-hati baik dalam perbualan dan perlakuan, tambah-tambah apabila diajukan makanan dan hadiah sebab kita tak tahu niat orang.

“Tetapi tidaklah sampai kita berburuk sangka dengan semua orang. Cuma kalau kita enggan pihak pemberi yang ikhlas berkecil hati, kita ambil dahulu pemberian mereka sebagai tanda terima kasih.

“Jangan pula tunjuk muka kurang senang atau tolak mentah-mentah, itu perbuatan biadab,” katanya kepada Kosmo! Online.

Pada awal April lalu, abang Tajul yang juga penyanyi Khalis atau nama sebenarnya Mohd. Khalis Md. Shari, 33, terlantar hanya selepas empat hari diserang penyakit sehingga seluruh tubuh badannya lemah, tidak boleh berjalan mahupun bercakap.

Sebelum ini The Real Spin itu memang mempunyai masalah kencing manis, namun masih terkawal sekali gus membuatkan ahli keluarganya sanggup berubat dengan apa cara sekali pun.

Keadaan penyanyi lagu Semakin Rindu itu menjadi perhatian apabila videonya didukung seseorang sebelum dimasukkan ke dalam kenderaan untuk dibawa ke hospital menampakkan dirinya yang cengkung dan kurus kering.

Sentiasa berulang alik mendapatkan rawatan hospital selain tidak mengenepikan perubatan Islam, keadaan kesihatan bapa kepada tujuh cahaya mata itu dikatakan tidak menentu.

Dalam perkembangan terkini, Tajul, 23, meluahkan rasa syukur atas tahap kesihatan Khalis yang semakin menunjukkan perubahan positif berbanding beberapa bulan lalu.

Katanya, insan kesayangan mereka sekeluarga itu sudah hampir 90 peratus pulih apabila dapat berjalan seperti dulu selain sudah banyak berbual, punya selera makan dan boleh menyanyi semula.

“Alhamdulillah, abang saya dalam proses penyembuhan. Boleh dikatakan hampir 90 peratus pulih. Kami lega tengok perkembangannya. Daripada terlantar, dia sudah boleh berjalan, borak dan menyanyi semula.

“Ini semua berkat doa dan sokongan semua pihak terutama isteri dan anak-anaknya yang sentiasa menjaganya dengan baik serta memberikan sepenuh perhatian supaya dia kembali bersemangat,” kata pemilik nama sebenar Tajul Ariff Noor Md. Shari itu.

Ditanya lagi mengenai dirinya sama ada pernah berhadapan situasi sama, Tajul hanya berharap dia bersama seluruh ahli keluarganya terus dijauhkan daripada perkara yang tidak diingini.

“Kita hanya mampu berserah kepada-Nya. Paling penting setiap kali selepas solat kita jangan lupa berdoa supaya dijauhkan daripada benda khurafat seperti itu. Banyakkan berselawat dan usah leka,” tambahnya lagi.

Sementara itu, Tajul melayangkan terima kasih atas sambutan ramai terhadap lagu Malam Semakin Dingin nyanyian asal arwah abangnya, Achik Spin yang dibawakan semula bersama Afieq Shazwan.

Akuinya, sejak dilancarkan pada 15 September lalu sambutan pendengar diberikan sangat luar biasa malah menguatkan impiannya untuk menghasilkan album penuh yang memuatkan dendangan Allahyarham.

“Setakat ini saya dan Afieq memang sudah rakamkan sebuah lagi lagu baharu, cuma tinggal siapkan pembikinan video muzik kami. Selepas ini bakal muncul pula lagu lain daripada buah tangan terdahulu Achik.

“Semua itu masih dalam perancangan tetapi besar harapan saya andai dapat merealisasikan album khas yang memuatkan lagu lama Allahyarham termasuk dendangan solonya,” kongsi Tajul lagi. – K! ONLINE

POPULAR