fbpx

Meranti Kuantan ditanam semula di Kuantan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NURFAZLIZA Kamarulbahrin (kiri) menanam pokok Meranti Kuantan di Taman Eko Rimba Sungai Pandan di Kuantan semalam.

KUANTAN – Pokok meranti Kuantan yang ditemukan semula pada 2014 di Hutan Simpan Besut Terengganu selepas pupus di hutan negeri ini akan ditanam di seluruh negeri.

Pegawai Pejabat Hutan Daerah Kuantan, Pekan dan Maran, Norshazlee Roslee berkata, program menanam pokok spesies Meranti Kuantan di daerah ini akan dilakukan secara berperingkat selama lima tahun bermula tahun ini.

“Lebih banyak pokok spesies berkenaan akan di tanam di daerah ini secara berperingkat, kita ingin memastikan penduduk daerah ini mengenali lebih dekat pokok Meranti Kuantan yang sebelum ini hanya terdapat di daerah ini sahaja.

“Pokok Meranti Kuantan ialah sejenis pokok balak yang mempunyai pasaran apabila mencapai saiz matang sama dengan spesies pokok balak lain yang terdapat di negeri ini,” katanya pada program memperkenalkan semula pokok Meranti Kuantan dan kempen penanaman lima juta pokok @ Sungai Pandan di Taman Eko Rimba (TER) Sungai Pandan, di sini semalam.

Yang hadir sama Penolong Pengarah Silvikultur Zon Pahang Timur, Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), Nurfazliza Kamarulbahrin.

Pokok hutan berkenaan yang sebelum ini banyak terdapat di Hutan Simpan Bukit Goh di sini telah pupus sebelum ditemui pada 2014 di Taman Eko Rimba Lata Tembakah dalam Hutan Simpan Besut, Terengganu.

Menurut Norshazlee, usaha mendapatkan benih pokok berkenaan kini giat dilakukan dengan melakukan pencarian di Hutan Simpan Besut sebelum benih berkenaan dibiakkan di tapak semaian Pusat Perolehan Biji Benih dan Bahan Tanaman Lentang di Bentong.

Dalam pada itu beliau berkata, pihaknya menerima peruntukan sebanyak RM40,000 daripada Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) untuk memperkenalkan pokok Meranti Kuantan kepada masyarakat daerah ini yang tidak pernah melihat pokok spesies berkenaan.

“Aktiviti mendapatkan biji benih termasuk anak pokok liar kini dilakukan oleh kakitangan Pusat Perolehan Biji Benih dan Bahan Tanaman Lentang yang mempunyai kepakaran dalam bidang semaian pelbagai spesies pokok balak.

“Kita akan menyediakan papan tanda penerangan berkaitan pokok Meranti Kuantan di TER Sungai Pandan bagi kemudahan pengunjung mengenali pokok yang berasal dari daerah ini,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI