fbpx

Tong simpan air ‘licin’ di kedai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pekerja kedai pembekal peralatan plastik meletak notis kehabisan stok bekalan pada tong simpanan air di Jalan Kebun, Shah Alam. – ZULFADHLI ZAKI

SHAH ALAM – Gangguan bekalan air selama empat hari di lebih 900 kawasan bermula esok menyebabkan orang ramai berpusu-pusu mendapatkan tong air bagi menyimpan bekalan untuk kegunaan harian.

Tinjauan Kosmo! di beberapa buah kedai menjual kelengkapan rumah mendapati bekalan ma­kin susut malah ada antara lokasi telah habis dibeli pengguna yang risau terpaksa berdepan situasi ketiadaan air lebih lama.

Biarpun berdepan permintaan tinggi, harga jualan tong ber­kenaan tidak menunjukkan pe­ningkatan dan dijual antara RM50 hingga RM83 mengikut saiz.

Seorang pekerja kedai yang hanya mahu dikenali sebagai Indrawan berkata, tong air ber­kenaan laris sejak Khamis lalu sehingga membuatkan stok di kedainya semakin berkurangan.

“Tadi ada pelanggan beli sampai lima tong air dengan membawa sebuah pacuan empat ronda.

“Setakat ini, kedai saya tidak naikkan harga walaupun tong berkenaan laris dijual,” katanya.

Menurutnya, rata-rata pelanggan meluahkan kerisauan takut gangguan bekalan air lebih lama daripada jangkaan awal.

Seorang pelanggan, Ismail Shukor, 38, memberitahu, dia membeli tiga tong untuk menyim­pan air bagi kegunaannya dan empat ahli keluarganya lain.

Menurutnya, dia sudah mempunyai dua tong sama di rumahnya, namun tetap membeli tambahan bagi menyimpan lebih banyak bekalan.

“Saya harap agensi bertanggungjawab dapat selesaikan kerja penyelenggaran.

“Sudah banyak kali rumah saya tiada air sebab isu sama di tambah pencemaran air di Sungai Selangor beberapa kali, “ katanya yang tinggal di Seksyen 18 di sini.

Kosmo! sebelum ini mela­porkan 998 kawasan di seluruh Lembah Klang mengalami gangguan bekalan disebabkan kerja penambahbaikan dan penyelenggaran aset kritikal yang dilakukan Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) sehingga menyebabkan henti tugas Loji Rawatan Air Sungai Se­langor Fasa 1 (LRA SSP1).

Kawasan terlibat meliputi wilayah Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Gombak, Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kuala Selangor.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI