fbpx
RAJA AFIQ

Cuma bantu penjual, lagipun bukan saya yang berbogel – Raja Afiq

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PELAKON Raja Afiq nampaknya tidak serik dikecam netizen gara-gara menggunakan video berbaur lucah untuk mempromosikan produk menegangkan aset wanita dalam Instagramnya.

Video tersebut memaparkan sebahagian besar payudara seorang wanita yang hanya memakai coli. Rata-rata netizen kecewa dengan tindakan pelakon drama Gerak Khas: Undercover itu kerana memuat naik video berkenaan pada Jumaat lalu.

Oleh kerana Raja Afiq atau nama sebenarnya, Raja Muhammad Afiq Raja Razali, 27, tidak menjaga sensitiviti dan ini bukanlah kejadian yang pertama, dia dituduh sengkek oleh netizen.

 

NETIZEN melabelkan Raja Afiq sebagai artis sengkek kerana sanggup menerima tawaran membuat ulasan produk menegangkan aset wanita dengan berkongsi video iklan lucah dalam Instagramnya.

 

Ogos lalu, dia pernah bertindak memulangkan semula bayaran yang diterima hasil daripada reviu (ulasan berbayar) produk membesarkan payudara dan memohon maaf serta memadam video tersebut selepas menerima kecaman hebat daripada peminatnya.

Bagaimanapun, tindakannya baru-baru ini jelas menunjukkan seolah-olah dia tidak pernah serik dikecam. Meskipun sedar dengan kecaman yang diterimanya, dia masih menerima tawaran tersebut dan memuat naik video sebegitu dalam Instagramnya.

KOSMO!: Mengapa anda menerima tawaran untuk membuat ulasan tentang produk aset wanita meskipun sedar akan dikecam?

Raja Afiq: Sebenarnya sebelum ini saya pernah buat sekali, tetapi saya pulangkan semula wang hasil reviu selepas menerima kecaman yang teruk daripada netizen. Tapi kali ini, penjual produk tersebut merayu dan saya tidak sampai hati untuk menolaknya.

Tidakkah anda berasa video promosi yang dimuat naik berkenaan berbaur lucah dan keterlaluan?

Memang saya rasa video tersebut agak keterlaluan. Bahkan sebelum memuat naik video tersebut, saya telah meminta video yang lebih sopan daripada penjual produk itu.
Tetapi dia hanya memberi video tersebut dan saya terpaksa menggunakannya selepas menerima bayaran.

SELEPAS menjadi mangsa kecaman, Raja Afiq mengakui dia tidak akan lagi mengulang perbuatan sama selepas ini dengan mengelak daripada menerima tawaran reviu yang mengandungi iklan lucah.

Saya hanya mahu menolong penjual tersebut mendapatkan jualan. Lagipun bukan saya yang berbogel. Saya hanya fikir, reviu sekadar kerja dan video tersebut tidak akan diletak lama dalam Instagram. Esok lusa video berkenaan akan dipadamkan.

Adakah anda tidak terasa hati apabila menerima kecaman teruk daripada peminat dan netizen?

Sebelum memuat naik video tersebut, saya tahu pasti akan mengundang kecaman. Jika saya membuat hantaran yang baik dalam Instagram, tontonan tak sampai beribu pun. Tapi kalau video sebegitu ramai pula yang menontonnya.

Soal mahu kecam, suka atau tidak itu adalah hak masing-masing. Saya hanya buat kerja kerana sukar untuk puaskan hati semua orang.

Disebabkan anda bersetuju untuk melakukan reviu tersebut, netizen mendakwa anda sengkek (tiada duit) kerana sanggup memuat naik video tidak senonoh seperti itu. Apa komen anda?

Soal isu sengkek, rezeki yang datang (reviu produk) tidak mungkin saya akan menolaknya. Walaupun dikatakan sengkek, saya masih boleh hidup seperti biasa.

DILABEL artis sengkek, Raja Afiq tidak terkesan kerana kehidupannya tetap berjalan seperti biasa.

Alhamdulillah, rezeki lakonan juga masih ada walaupun tergendala sebentar ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini. Sekarang saya sudah kembali bekerja seperti penggiat seni yang lain.

Mungkinkah tindakan memuat naik video atau hantaran dalam Instagram yang mengundang kecaman ramai adalah salah satu strategi supaya nama anda menjadi sebutan ramai?

Saya tidak pernah berfikir sampai ke tahap itu. Orang lain mungkin merasakan saya sengaja buat hal kerana sudah lama senyap, tiba-tiba nama disebut-sebut gara-gara isu ini.

Walhal saya hanya melakukan kerja. Jujur, saya bimbang juga peminat akan lari kerana marah dengan tindakan saya. Namun, apabila difikirkan semula jika orang sudah tidak suka saya terpaksa terima. Biasanya mereka (peminat) marah sekejap sahaja.

Adakah anda serik untuk menerima tawaran reviu produk seumpama itu selepas ini?

Mungkin video yang dimuat naik pada Jumaat lalu adalah reviu terakhir untuk produk sedemikan. Selepas ini saya tidak mahu melakukan reviu yang mengundang kecaman ramai lagi.

SELEPAS industri seni kembali bernafas, Raja Afiq sibuk menyambung kerja-kerja tergendala selain merancang mengeluarkan produk sendiri.

Boleh kongsikan perkembangan terbaharu karier seni anda?

Drama lakonan saya yang sedang bersiaran di TV3 adalah Gerak Khas: Undercover dan tidak lama lagi, Mr. Bibik. Saya juga ada beberapa projek lain yang sedang berjalan, namun masih belum boleh didedahkan lagi buat masa sekarang.

Dengar khabar tidak lama lagi anda bakal mengeluarkan produk penjagaan kulit sendiri. Tiada pengalaman berniaga, apakah yang membuat anda berani mengeluarkan produk jenama sendiri?

Sebenarnya sebelum pandemik melanda saya sudah merancang untuk mengeluarkan produk sendiri. Namun, projek tersebut tergendala disebabkan pelbagai kekangan disebabkan pandemik Covid-19.

Saya cuba untuk berniaga walaupun tiada pengalaman kerana suka mencuba benda baharu dan sebagai persediaan pada masa depan. Seperti berlakon, pada asalnya saya juga tiada pengalaman. Namun saya mendapat kepercayaan pengarah dan penerbit. Doakan usaha untuk berniaga berjaya.

POPULAR