SEPANG – Seorang warga emas dipenjara empat bulan atas tuduhan membuat hantaran menghina, memperlekeh dan mencemar institusi diraja menerusi Facebook dua tahun lalu.
Hakim Mahkamah Sesyen, Ahmad Fuad Othman menjatuhkan hukuman itu selepas Mat Derus Ali selaku Orang Kena Saman (OKS) mengaku bersalah atas pertuduhan yang dihadapinya.
OKS didakwa menggunakan perkhidmatan Facebook Mat Derus secara sedar bagi membuat dan memulakan penghantaran komen jelik pada pukul 2.15 pagi, 20 Ogos 2024.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama.
Sabit kesalahan, OKA boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum satu tahun atau kedua-duanya dan denda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan.
Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Fadhli Ab. Wahab memohon hukuman sewajarnya ke atas OKS.
“Mahkamah hendaklah memberikan pertimbangan terutama kepada kepentingan awam. Malahan, kepentingan awam seharusya mendahului kepentingan individu OKS.
“Kepentingan awam hanya akan terpelihara sekiranya hukuman yang dijatuhkan ke atas OKS dapat menghalang daripada mengulangi kesalahan tersebut. Pada masa sama menghalang orang lain yang mungkin berkecenderungan melakukan kesalahan sama,” katanya.
Sementara itu, OKS yang merupakan bekas pekerja GiatMara memohon hukuman ringan mengambil kira tanggungana terhadap dua daripada tujuh anak yang masih bersekolah serta isteri yang tidak bekerja.
Namun begitu, Ahmad Fuad sebelum menjatuhkan hukuman berkata, perkara berkaitan agama, raja dan kaum (3R) merupakan sentimen yang tidak seharusnya disentuh oleh mana-mana pihak.
“3R jangan buat main-main. Agama contohnya, kalau orang bukan Islam sentuh (mengenai) agama Islam, kamu marah kan? Sebab itu undang-undang (Malaysia) kenakan hukuman berat (terhadap kesalahan 3R),” katanya. – KOSMO! ONLINE














