fbpx
Aksi seorang pemuda cuba membunuh diri akibat putus cinta di jejambat Bukit Jelutong Lebuh Raya Guthrie di Shah Alam pada Ogos lalu.

Orang bandar cenderung bunuh diri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Tekanan pe­rasaan akibat putus cinta dan kewa­ngan membuatkan orang muda khususnya yang tinggal di bandar-bandar di Selangor memilih jalan singkat untuk keluar daripada masalah itu dengan cara membunuh diri.

Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Hafisham Mohd. Noor berkata, pihaknya merekodkan sebanyak 188 kes cubaan bunuh diri sejak 2015 hingga September lalu.

Daripada jumlah itu, seba­nyak 108 kes penyelamatan yang dilakukan melibatkan mangsa lelaki.

Daerah paling tinggi merekodkan kes cubaan bunuh diri adalah Petaling iaitu 28 kes diikuti Shah Alam (26), Puchong (18), Klang (16), Batu Caves/Gombak (15), Subang Jaya dan Ampang (14), Sepang (12) serta Rawang (10).

“Kebanyakan pelakunya berusia lebih 20 tahun yang mana mereka gagal mengawal tekanan lebih-lebih lagi di musim pandemik Covid-19.

“Daripada jumlah keseluruhan kes itu, 38 daripadanya adalah warga asing iaitu Indonesia, Myanmar, Vietnam, Thailand, Hungary dan Mesir.

“Kita percaya gagal mengawal diri disebabkan putus cinta, kewangan dan kerja dipercayai punca mereka bertindak demi­kian,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Menurut Hafisham, individu yang mahu menamatkan riwayat hidup mereka nekad bertindak demikian kerana ia merupakan satu-satunya jalan terakhir bagi melepaskan tekanan yang dihadapi.

Beliau memberitahu, terdapat dua kes cubaan bunuh diri pada tahun ini melibatkan mangsa berusia 14 dan 17 tahun berpunca daripada tekanan perasaan termasuk masalah keluarga.

“Salah satu kes melibatkan lelaki berusia 17 tahun dari Bukit Puchong yang cuba membunuh diri dengan terjun dari tingkat 32 sebuah kondominium, namun berjaya diselamatkan selepas dipujuk oleh bomba,” katanya.

Tambah Hafisham, berdasarkan statistik, tahun ini setakat September lalu merekodkan kes cubaan bunuh diri tertinggi sejak 2015 iaitu sebanyak 49 kes.

Premis bertingkat antara lokasi yang kerap dilaporkan berlakunya kes itu iaitu sebanyak 93 kes diikuti rumah (73), jambatan atau jejantas (12), tasik dan sungai (4), depan bank dan surau masing-masing dua kes serta depan klinik dan sekolah satu kes.

Jelas beliau, mereka yang membunuh diri sebenarnya mempunyai rasa takut memikirkan perasaan keluarga selain mahu menarik perhatian orang awam dengan masalah yang dihadapi.

Justeru, Hafisham juga tidak menolak kemungkinan mang­sa mengalami penyakit mental seperti kecelaruan dan kemurungan selain terdapat segelintir individu gagal menyesuaikan diri dengan kehidupan yang lebih mencabar terutama di musim pandemik Covid-19.

“Biasanya operasi menyelamat melibatkan sehingga tujuh anggota dan pegawai de­ngan pembahagian tugas telah diberikan termasuk memujuk dan mereka yang akan melakukan terjunan bagi menyelamatkan mang­sa.

“Bagi pelaku yang ringan mulut adalah mudah bagi anggota memujuk termasuk menggunakan kaedah psikologi supaya mereka ingat ibu bapa.

“Bagaimanapun bagi pelaku yang pendiam, anggota bomba harus bertindak pantas kerana kelakukan mereka sukar diramal bagi mengelakkan mang­sa terbunuh,” katanya.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN