fbpx
SIMPTOM serangan panik yang dialami Yani adalah jantung berdegup kencang, selain mengalami sesak nafas. – GAMBAR HIASAN

Serangan panik boleh bawa maut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MUNGKIN ada dalam kalangan kita mengalami serangan panik yang menyebabkan jantung berdegup laju, sesak nafas dan badan berpeluh secara tiba-tiba dan pesakit berasa seolah-olah sudah mahu mati.

Jangan biarkan ia terus menghantui hidup kita tanpa berbuat sesuatu dengan mendapatkan rawatan sepatutnya agar ia tidak memberikan kemudaratan diri di kemudian hari.

Masalah serangan panik yang tergolong dalam anxiety iaitu gangguan kesihatan mental.

Sebaiknya, pergilah berjumpa pakar kesihatan agar masalah seperti itu dapat diatasi dan kita boleh menjalani kehidupan seperti sebelum ini.

 

———————————————————————————————————————————————————————
MENJADI kebiasaan buat Yani (bukan nama sebenar) yang bekerja sebagai model sambilan untuk memperagakan pakaian yang direka khas dalam pertunjukan fesyen.

Namun pada satu hari, dia tidak dapat meneruskan pertunjukan selepas tiba-tiba mendapat serangan panik atau panick attack ketika bersiap untuk memperagakan fesyen terbaharu.

“Secara tiba-tiba dengupan jantung saya menjadi laju dan perasaan takut menyelubungi diri. Terasa macam nak mati pada waktu itu.

“Saya tidak dapat meneruskan pertunjukan dan memaklumkan kepada penganjur, saya perlu balik ke rumah dan berehat,” jelasnya.

Ujarnya, keadaan tersebut juga membuatkan dirinya tidak boleh memandu kereta dan meminta bantuan rakannya untuk menghantarnya pulang.

Setiba di rumah, Yani cuba berehat, tetapi serangan panik itu tidak hilang hingga membuatkan dia berasa tidak bermaya.

Dia menjelaskan, serangan panik itu turut membuatkan dia sukar melelapkan mata pada waktu malam, selain berasa ketakutan yang seolah-olah boleh mengancam nyawa.

“Ini bukan sekali saya mendapat serangan panik, kerana beberapa hari sebelum itu, saya mengalami perkara sama.

“Jantung saya berdegup laju dan sukar untuk bernafas. Selain itu selera makan semakin berkurangan.

“Ibu bapa saya kemudian membawa saya bertemu pakar jantung. Tetapi setelah pemeriksaan dilakukan, jantung saya tidak mempunyai sebarang masalah,” jelasnya.

Hampir dua minggu Yani terperap di dalam bilik kerana serangan itu boleh berlaku secara tiba-tiba tanpa sebarang amaran.

Satu hari dia berasa dirinya seperti sudah pulih dan memilih untuk keluar memandu kereta bersendirian bagi merehatkan minda.

Tetapi ketika dalam perjalanan, Yani sekali lagi mendapat serangan panik lagi dan dia terus memberhentikan keretanya.

Katanya, selepas kejadian itu, abang iparnya yang merupakan seorang doktor telah mengatur satu pertemuan dengan pakar psikiatri.

“Saya kemudian pergi bertemu pakar psikiatri tersebut. Apabila sampai, saya berasa seperti sudah sihat dan mahu pulang sahaja.

“Bagaimanapun, ibu bapa yang hadir bersama meminta saya meneruskan pertemuan dengan pakat terbabit sebagai salah satu usaha untuk mengembalikan keyakinan diri,” ujarnya.

Setelah pemeriksaan dilakukan, Yani disahkan berhadapan dengan masalah serangan panik yang tergolong dalam masalah anxiety.

Pakar psikiatri berkenaan menjelaskan, antara simptom masalah itu adalah jantung berdegup kencang, sesak nafas selain badan berpeluh yang datang secara mendadak sehingga pesakit berasa seperti mahu mati.

KETIKA mendapat serangan panik, Yani tidak boleh memberikan fokus kepada pemanduan dan perlu bantuan seseorang untuk menghantarnya pulang. – GAMBAR HIASAN

Yani mengakui semua simptom itu ada padanya ketika serangan datang.

“Saya dimaklumkan, masalah ini perlu dirawat segera dan jika terus dibiarkan tanpa rawatan sepatutnya, ada kemungkinan pesakit boleh mengambil keputusan untuk membunuh diri.

“Salah satu kaedah rawatan adalah dengan pengambilan ubat dan juga terapi,” jelasnya lagi.
Yani akhirnya bersetuju untuk menjalani rawatan dan mengambil ubat yang disyorkan kepadanya.

Pakar psikiatri tersebut turut menjelaskan, kesan pengambilan ubat berkenaan pada awalnya menyebabkan perasaan takutnya dua kali ganda berbanding sebelum ini.

Tetapi ia hanya bersifat sementara kerana setelah mengambilnya untuk tempoh tertentu, rasa takut akan hilang secara beransur-ansur.

“Memang benar, selepas mengambil ubat, rasa takut yang datang berganda dan berasa seperti tidak mahu mengambilnya lagi.

“Tetapi sokongan kuat diberikan keluarga, saya meneruskan kaedah rawatan tersebut,” kata Yani.

Selain itu, dia juga turut melakukan rawatan susulan dengan pakar berkenaan dan selepas hampir tiga bulan mendapatkan rawatan, masalah yang dihadapinya itu semakin berkurangan.

Bagaimanapun, Yani perlu terus mengambil ubat dalam tempoh tertentu bagi membolehkannya benar-benar sihat seperti sebelum ini.

Hampir setahun juga dia mengambil ubat dan mendapatkan rawatan susulan sebelum disahkan pulih sepenuhnya.

Walaupun kini telah hampir dua tahun pulih daripada masalah itu, tetapi Yani masih ada perasaan fobia, bimbang masalah itu kembali menyerangnya.

“Saya ingin menasihatkan mereka di luar sana yang berhadapan dengan masalah seperti saya agar terus berjumpa pakar psikiatri untuk mendapatkan rawatan.

“Dapatkan rawatan awal agar ia tidak mendatangkan kemudaratan kepada diri,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN