TANGKAK – Seorang operator pengeluaran di sebuah kilang di sini reda kehilangan isterinya selepas ditidurkan selama 14 hari akibat jangkitan Covid-19 pada 20 Julai lalu.
Lebih memeritkan, isterinya, Nur Farahin Emilya Ahmad Tarmezy, 27, ditidurkan selepas melahirkan anak ketiga mereka melalui pembedahan ketika kandungan berusia tujuh bulan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), Muar dekat sini.
Faizal Dali, 26, sebelum ini yakin isterinya akan pulih, namun reda kini bergelar bapa tunggal kepada tiga anak termasuk bayi yang baru dilahirkan isterinya itu.
“Ketika itu isteri telah hamil tujuh bulan dan dia pergi ke klinik kesihatan untuk melakukan pemeriksaan bulanan. Bagaimanapun tekanan darahnya tinggi menyebabkan dia dirujuk ke hospital dan disahkan positif Covid-19.
“Sebaik mengetahui keputusan itu, saya bersama dua anak berusia empat dan dua tahun melakukan ujian sama sebelum kami seisi keluarga termasuk ibu mentua saya disahkan positif.
“Kemudian, saya bersama anak sulung, Muhammad Hamka menjalani kuarantin di Segamat, manakala anak kedua, Nur Dyaa Karlisa bersama ibu mertua dikuarantin di Johor Bahru,” katanya ketika ditemui di sini.
Menurut Faizal, sewaktu arwah Nur Farahin Emilya berada di wad Covid-19, Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar, mereka sering membuat panggilan video dan dia melihat keadaan isterinya yang sering lelah dan sukar bernafas.
“Setelah dua hari berada di wad, doktor memutuskan untuk isteri menjalani pembedahan meskipun ketika itu usia kandungannya baru tujuh bulan, selepas selamat bedah dia perlu ditidurkan.
“Masa itu jururawat sempat membuat panggilan video untuk saya lihat wajahnya dan nampak isteri agak lemah” katanya sebak.
Ujar Faizal, dia tidak menyangka itulah kenangan terakhir melihat wajah isterinya yang masih bernafas sebelum wanita itu kemudian meninggal dunia setelah 14 hari ditidurkan.
Terdahulu, Faizal menerima sumbangan daripada Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Takzim (YPKDT) dan Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor (YRZSNJ) berupa barangan keperluan serta wang tunai.
Sumbangan disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Johor, Zaiton Ismail yang turut membuat kunjungan di kediaman ibu mertua Faizal di Taman Tun Syed Nasir bagi penyampaikan sumbangan itu.














