fbpx
PERUBAHAN kosmetik yang boleh dilihat pada model 2.0X versi 2021 ialah kemasan hitam dan krom pada gril hadapannya.

Toyota Innova 2.0X versi 2021 lebih bergaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TOYOTA Innova mula diperkenalkan pada tahun 2004 di Indonesia bagi menggantikan model Kijang sebagai sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dengan kapasiti tujuh atau lapan tempat duduk.

Setahun selepas itu model yang sama telah dilancarkan buat pertama kali di Malaysia menggantikan Unser (Kijang di Indonesia).

Penulis tidak menafikan model ini jarang menjadi impian ‘orang muda’ kerana rekaan dan spesifikasinya sebelum ini yang agak ketinggalan.

Tetapi apa yang menghairankan ialah Toyota Innova tetap banyak di atas jalan raya. Apa yang buat orang membeli?

Kenapa pilih Innova dan bukannya MPV yang lebih rendah harganya? Persoalan-persoalan itu sering timbul di fikiran penulis.

Persepsi kepada Innova ini tidak ubah seperti adiknya, Avanza yang sudah hampir 20 tahun berada dalam pasaran dan masih ada dalam senarai jualan Toyota Malaysia sehingga kini.

Apa resipi model-model ini boleh bertahan lama? Adakah rekaannya mempunyai peminat-peminat tersendiri?

GABUNGAN antara hitam dan krom yang terlihat pada beberapa bahagian depan termasuk lampu jentera ini menjadikan rupanya lebih bergaya.

Namun, jika kita bandingkan model keluaran pertama mereka dengan generasi terbaharu, kita dapat lihat perubahan dan teknologi yang Toyota lengkapkan pada Innova.

Malah, jika anda menonton filem Tamil berjudul One, watak ketua menteri dalam cerita itu turut menggunakan Toyota Innova generasi kedua sebagai kenderaan rasmi.

Pada hujung minggu lalu, UMW Toyota telah memberi peluang kepada penulis untuk memandu uji Innova varian 2.0X yang merupakan varian tertinggi untuk model itu. Toyota Innova 2.0X itu merupakan model dipertingkat (facelift) yang telah dilancarkan awal tahun ini.

Penulis tidak menafikan Innova 2.0X nampak lebih ranggi berbanding varian lain. Ini kerana model itu hadir dengan kemasan yang mengekalkan gaya crossover.

Innova 2.0X versi 2021 itu datang dengan perubahan kosmetik pada bahagian depan yang memberikan penampilan lebih kemas dan bersih.

Tema kemasan hitam dan krom digunakan pada gril, sementara perumah cermin sisinya dalam warna krom yang lengkap dengan lampu isyarat. Bahagian lampu kabus turut diberikan rekaan baharu sekali gus menyumbang kepada imej yang lebih menonjol.

Innova 2.0X versi 2021 juga datang dengan pembaharuan gaya eksklusif seperti kemasan lengkuk tayar baharu yang melindungi bahagian badan, kemasan sisi badannya juga baharu bersama aksesori skirting yang menyuntik imej lebih sporty.

BAHAGIAN sisi kenderaan ini menonjolkan pesona tersendiri dengan landasan bumbung berprofil baharu yang lebih aerodinamik.

Penggunaan rim aloi warna Dark Mica Metalic bersaiz 17 inci pada Innova 2.0X kini lebih menarik berbanding hitam sebelum ini.

Landasan pada bumbung pula diberikan profil baharu supaya lebih aerodinamik.

Model itu menggunakan enjin 2.0 liter DOHC dengan Dual VVT-I dan transmisi enam kelajuan automatik dengan Sequential Shifter.

Gabungan itu mampu menghasilkan kuasa maksimum 139PS pada 5,600rpm dan tork maksimum 183Nm pada 4,000rpm. Toyota Innova 2.0X menggunakan tangki petrol berkapasiti 55 liter.

Penulis juga difahamkan model ini telah dikemas kini dengan penggayaan serta kelengkapan yang turut melibatkan tambahan sistem keselamatan sebagai ciri standard Innova.

Semua varian Innova telah menerima penarafan lima bintang Program Penilaian Kereta Baharu ASEAN (ASEAN NCAP), dilengkapi tujuh beg udara keselamatan dan semua penumpang di barisan ketiga mempunyai tali keledar 3-poin dengan ciri auto retracting.

Selain itu juga, model tersebut turut dilengkapi ABS dengan Electronic Brakeforce Distribution (EBD) dan Brake Assist (BA) serta Vehicle Stability Control (VSC) dengan Traction Control (TRC), Emergency Stop Signal (ESS) dan Hill-start Assist Control (HAC).

KEMASAN piano black dengan rona gelap pada bahagian dalam kenderaan ini menonjolkan aura berkelas tinggi.

Bagi meyakinkan lagi pelanggan dari aspek keselamatan pada MPV itu, ciri-ciri seperti Toyota Vehicle Telematics System (VTS) turut disediakan.

Sistem ini boleh mengesan pergerakan kenderaan menggunakan teknologi GPS dan GSM.

Sekiranya kenderaan dicuri, VTS Command Centre boleh mengesan lokasi kenderaan dan memaklumkan pihak berkuasa untuk mendapatkannya semula dalam masa singkat.

Ciri-ciri seperti Blind Spot Monitor (BSM) dengan Rear Cross Traffic Alert (RCTA) yang boleh membantu menghindari perlanggaran dengan kenderaan lain kini turut ditawarkan sebagai standard bagi model itu.

BSM berfungsi untuk mengimbas secara berterusan titik buta di sisi kenderaan dan akan memaklumkan pemandu sekiranya ada kenderaan lain berdekatan.

RCTA pula berguna ketika pemandu ingin mengundurkan kenderaan sewaktu parkir kerana fungsi ini akan mengesan sekiranya ada kenderaan lain sedang menghampiri.

Masuk ke ruang kabin, saya agak kagum dengan kemasan dan susun aturnya yang nampak ada kelas.

Penggunaan warna gelap dan kemasan piano black serta panel wooden memberikan imej tersendiri pada varian 2.0X ini.

Kerusi untuk pemandu pula boleh dilaras secara elektrik menerusi lapan cara.

Apa yang menarik dan penulis rasa sangat membantu ialah pengecas tanpa wayar (ciri-ciri tambahan) yang terletak di dalam konsol tengah sekali gus mudah untuk diletak dan dicapai.

Sistem infotainment Toyota Innova 2.0X hadir dengan skrin sentuh bersaiz 9 inci dan berfungsi memaparkan ciri Panoramic View Monitor (PVM) yang kini menjadi ciri standard Innova.

Paparan PVM itu juga telah ditukar daripada jenis 2D kepada 3D untuk memberikan penglihatan lebih jelas kepada pemandu terhadap kenderaan dan persekitarannya, terutama ketika ingin melalui ruang sempit.

UMW Toyota nampaknya mengambil respons kepada maklum balas pelanggan yang mengesyorkan lebih banyak slot pengecas dalam kenderaan itu. Pada bahagian depan, dua port USB kini diletakkan pada papan pemuka berbanding hanya di konsol tengah sebelum ini.

Untuk penumpang di barisan kedua dan ketiga turut disediakan port USB tambahan. Sekadar makluman semua slot pengecas itu mempunyai ciri-ciri pengecas pantas.

Untuk pembelian, UMW Toyota menawarkan jaminan lima tahun tanpa had perbatuan. Tempahan kini boleh dibuat di semua bilik pameran Toyota di seluruh negara serta secara online di build.toyota.com.my.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN