PENYAKIT jantung atau kardiovaskular merupakan penyebab utama kematian di negara ini.
Tambah meresahkan apabila data menunjukkan rakyat Malaysia menderita masalah penyakit jantung pada usia yang lebih muda berbanding rakyat di negara-negara maju.
Masalah ini juga menjadi punca kematian utama di Malaysia dengan 15 peratus daripada 109,164 jumlah kematian yang disahkan secara perubatan pada tahun 2019 adalah disebabkan penyakit jantung.
Demi memberi kesedaran kepada orang ramai tentang masalah penyakit jantung, tanggal 29 September setiap tahun telah dipilih menjadi Hari Jantung Sedunia.
—————————————————————————————————————————————————————
SEJAK sekian lama penyakit jantung atau kardiovaskular telah dianggap sebagai penyebab utama kepada kematian di dunia.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), lebih daripada 18.6 juta kematian akibat penyakit jantung global direkodkan pada tahun 2019.
Masalah ini juga menjadi punca kematian utama di Malaysia dengan 15 peratus daripada 109,164 jumlah kematian yang disahkan secara perubatan pada tahun 2019 adalah disebabkan penyakit jantung.
Demi memberi kesedaran kepada orang ramai tentang masalah penyakit jantung, tanggal 29 September setiap tahun telah dipilih menjadi Hari Jantung Sedunia.
Pada tahun ini, mesej yang ditekankan adalah memperkasa kuasa kesihatan digital dalam memperbaiki kesedaran, pencegahan dan pengurusan masalah jantung secara global.
Menyenaraikan permasalahan-permasalahan jantung, pakar perunding kardiologi di Cardiac Vascular Sentral Kuala Lumpur (CVSKL), Dr. Al Fazir Omar menjelaskan, penyakit jantung atau kardiovaskular ialah masalah berkaitan jantung dan saluran darah.
Menurutnya, terdapat pelbagai jenis penyakit jantung terutamanya jantung koronari atau arteri koronari.
“Masalah jantung koronari adalah keadaan di mana berlakunya pemendapan lemak yang disebabkan proses atherosclerosis yang menyebabkan saluran darah menjadi sempit dan mengurangkan bekalan oksigen ke jantung.
“Antara gejala masalah ini adalah susah untuk bernafas, berasa sempit di dada terutamanya semasa melakukan aktiviti bersukan serta sakit dada,” ulasnya kepada K2.
Tambahnya, masalah jantung struktural pula lazimnya melibatkan injap jantung yang bocor atau sempit lalu menyebabkan gangguan pada saluran aliran darah.
“Rawatan untuk masalah ini biasanya melibatkan pembedahan. Tetapi sekarang terdapat pilihan untuk rawatan secara pembedahan kecil melalui paha kaki untuk membaiki injap.
“Gejala bagi masalah injap jantung ini ialah susah untuk bernafas dan kaki bengkak,” terang Al Fazir.

Tambahnya, penyakit jantung yang lain termasuklah masalah rentak jantung yang laju dan tidak teratur, masalah kongenital seperti jantung berlubang dan kegagalan jantung.
Simptom kegagalan jantung ialah susah bernafas, kaki bengkak dan biasanya memerlukan bantal yang tinggi untuk tidur malam.
Al Fazir menegaskan, secara umumnya, masalah jantung koronari ialah penyakit jantung yang paling kerap dihadapi masyarakat Malaysia.
“Purata umur pesakit yang berhadapan dengan masalah ini adalah berusia antara 50 hingga 60 tahun.
“Tetapi kini kami melihat mereka yang masih muda iaitu berumur antara 20 hingga 35 tahun juga berdepan masalah jantung koronari ini,” jelasnya.
Terangnya, mereka yang merokok, mempunyai masalah diabetes, obesiti dan kolesterol tinggi berisiko berdepan masalah jantung koronari ini.
Mengulas lanjut tentang masalah jantung koronari, pakar perunding kardiologi yang juga Pengarah Makmal
Kateterisasi Hospital Serdang, Dr. Kamaraj Selvaraj berkata, dalam bahasa mudah, masalah ini berlaku apabila berlaku penyumbatan aliran darah di bahagian arteri koronari jantung manusia.
Menurutnya, jantung manusia mempunyai tiga arteri koronari utama iaitu dua terletak di sebelah kiri dan satu di sebelah kanan organ tersebut.
“Penyumbatan lebih daripada 70 peratus aliran darah ke mana-mana arteri koronari ini akan menyebabkan gejala seperti sakit dada dan sesak nafas.
“Dalam jangka panjang, penyumbatan lebih 70 peratus ini akan menyebabkan apa yang biasa kita kenali sebagai serangan jantung,” bicaranya.
Pada tahap sedemikian, bagi mengatasi masalah ini, pesakit perlu melakukan prosedur seperti angiogram, angioplasti dan juga pembedahan pintasan arteri koronari.
Dalam pada itu, Kamaraj berkata, pengesanan awal merupakan perkara yang paling penting dalam membantu menyelamatkan nyawa pesakit yang berhadapan dengan masalah jantung koronari.
“Mereka yang tidak mengamalkan gaya hidup sihat, mempunyai komorbiditi meliputi diabetes, darah tinggi dan kolesterol tinggi harus melakukan pemeriksaan secara berkala. Mereka yang berusia di atas 40 tahun harus menjalani ujian fizikal, darah dan latihan tekanan setiap tahun.
“Ini membolehkan mereka mengawal masalah itu agar ia tidak menuju ke fasa lebih teruk,” katanya.
Dalam pada itu, Pakar Perunding Kardiologi Hospital Regency Specialist, Dr. Lu Hou Tee berkata, berdasarkan Pangkalan Data Penyakit Kardiovaskular Kebangsaan-Sindrom Koronari Akut (NCVD-ACS) menunjukkan bahawa rakyat Malaysia menderita penyakit jantung seperti serangan jantung dan kegagalan jantung pada usia yang lebih muda berbanding negara-negara maju.
“Purata usia rakyat negara ini yang berhadapan dengan masalah sedemikian ialah 58.6 tahun berbanding kebanyakan negara maju iaitu sekitar 63.4 hingga 68 tahun.
“Persepsi umum mengenai penyakit jantung adalah untuk orang tua kini tidak lagi benar,” tegasnya.
Sementara itu, katanya, seiring dengan perkembangan dalam teknologi juga menyaksikan teknologi rawatan dalam merawat masalah kardiovaskular kini juga semakin maju.
Hou Tee menjelaskan, kini teknologi baharu untuk merawat penyakit jantung telah berkembang dengan pesat.

“Pada masa kini, kita bernasib baik kerana banyak teknologi dalam merawat masalah arteri koronari merangkumi ubat-ubatan dan prosedur lain yang juga selamat dan berkesan.
“Sebagai contoh dalam merawat masalah arteri koronari ini, kita boleh menggunakan sistem imaginasi koronari seperti ultrasound intravaskular (IVUS) dan optical coherence tomography (OCT) telah menjadi alat yang berguna dalam mengoptimumkan prosedur angioplasti dan meningkatkan impak bagi jangka panjang terutama dalam merawat masalah arteri koronari yang lebih kompleks,” terangnya.
Dalam masa yang sama, stent koronari generasi baharu yang mempunyai tali yang lebih nipis, teknologi salutan ubat yang lebih baik memudahkan lagi untuk akses ke kawasan yang tersumbat.
Bagi subset pesakit tertentu, penggunaan belon bersalut dan ubat generasi baharu (DCB) juga telah mengubah rawatan angioplasti.
Penyumbatan arteri koronari dapat diatasi dengan DCB secara lebih selamat dan hasil jangka panjangnya sama baik dengan rawatan menanam stent koronari.
“Pada masa lalu, pembedahan pintasan adalah satu-satunya pilihan rawatan untuk merawat subkumpulan masalah arteri koronari seperti arteri koronari yang terklasifikasi atau oklusi total kronik (CTO) di mana saluran darah 100 peratus tersekat.
“Namun, dengan teknologi yang lebih baharu, pilihan rawatan untuk subkumpulan pesakit ini tidak lagi dibatasi dengan pembedahan pintasan. Pesakit mempunyai pilihan rawatan lain seperti angioplasti yang kurang invasif,” terang Hou Tee.
Menurutnya, ini memberi manfaat terutamanya kepada kumpulan pesakit tertentu apabila risiko pembedahan terlalu tinggi.
Sebagai contoh, pesakit tua dengan pelbagai komorbiditi atau pesakit buah pinggang tahap akhir yang memerlukan hemodialisis mempunyai risiko yang amat tinggi.
Dalam pada itu, Hou Tee berkata, ahli keluarga juga berperanan penting dalam mengurus pesakit jantung.
“Sokongan dan komunikasi sosial oleh keluarga akan mendorong dan meningkatkan kepatuhan pengambilan ubat-ubatan serta kawalan diet oleh pesakit,” tegasnya.














