fbpx

Anggota PGA jadi ‘transporter’ angkut PATI

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SHAFIEN (tengah) menunjukkan rampasan barangan selepas menahan seorang anggota PGA dan rakanya di dalam sebuah MPV di tepi jalan Lalang Pepuyu, Rantau Panjang semalam.

KOTA BHARU – Seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) berpangkat koperal ditahan selepas dipercayai menjadi transporter atau penghantar selepas mengangkut enam orang pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Thailand di tepi jalan di Lalang Pepuyu, Rantau Panjang semalam.

Suspek yang berusia 33 tahun itu ditahan ketika memandu sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Hyundai Starex bersama rakannya berusia 28 tahun kira-kira pukul 10 malam.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, anggota polis yang menjalankan rondaan di kawasan tersebut menahan MPV itu selepas melihat kenderaan itu dipandu dalam keadaan mencurigakan.

Menurutnya, pemeriksaan di bahagian penumpang MPV itu telah membawa kepada penemuan lima orang wanita dan seorang kanak-kanak lelaki yang berusia dalam lingkungan empat hingga 48 tahun.

“Sebahagian daripada PATI warga Thailand itu tidak mempunyai dokumen pengenalan diri malah ada antara mereka memiliki dokumen perjalanan tamat tempoh.

“Hasil siasatan, anggota PGA itu mengambil kelima-lima PATI dari pangkalan haram berhampiran Sungai Golok untuk dibawa bekerja di kedai makan di Taman Melawati dan Gombak, Selangor,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini hari ini.

Menurut Shafien, suspek merupakan anggota PGA yang bertugas di Ibu Pejabat PGA di Kuantan, Pahang dan pernah bertugas di sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan sebelum ini.

Tambah Shafien, kes disiasat mengikut Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan Seksyen 15(1)(C) Akta Imigresen 1959/63. – K! ONLINE

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI