fbpx
Muhammad Miqdam Bahtiar (duduk) ketika anggota penyelamat memberikan bantuan pernafasan kepada anaknya yang ditemukam lemas di Pantai Seaview, Tanjung Gemuk, Port Dickson, petang tadi.

Sambutan hari lahir di pantai berakhir tragedi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON – Kegembiraan sebuah keluarga menyambut hari kelahiran berakhir tragedi apabila salah seorang daripada mereka meninggal dunia selepas lemas di Pantai Seaview, Tanjung Gemuk, di sini petang tadi.

Mangsa, Muhammad Nurmubien Muhammad Miqdam, 6, ditemukan anggota penyelamat dalam jarak 10 meter dari persisiran pantai tersebut kira-kira pukul 6.40 petang sebelum diberikan bantuan pernafasan.

Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia di Hospital Port Dickson.

Bapa mangsa, Muhammad Miqdam Bahtiar, 36, berkata, ketika kejadian dia dan keluarga baru sahaja meraikan sambutan ulang tahun seorang lagi anaknya yang berusia tiga tahun.

“Kami sekeluarga sampai pada pukul 3 petang di pantai bagi menyambut hari kelahiran anak saya yang ketiga. Selepas makan, anak-anak saya duduk di tepi pantai untuk bermain air dan saya ada berpesan agar mandi di tepi pantai sahaja.

“Kejadian berlaku agak pantas, tidak sampai beberapa minit, saya lihat anak saya sudah berada di laut. Saya cuba berenang untuk mendapatkan anak saya namun tidak sempat kerana ombak agak kuat.

“Ombak terlalu kuat dan menolak, dan saya juga hampir lemas namun sempat berpaut pada batu,” katanya ketika ditemui di Hospital Port Dickson hari ini.

Menurut Muhammad Miqdam, ketika kejadian, terdapat orang awam yang turut berenang untuk menyelamatkan anaknya.

“Terdapat orang awam yang membantu namun terpaksa berpaut ke tepi batu kerana ombak kuat.

“Selepas agensi penyelamat datang mereka menjumpai anak saya terapung,” katanya.

Dalam pada itu, dia memberitahu, reda dengan kejadian tersebut dan menerimanya sebagai ketentuan takdir.

Katanya, jenazah anaknya itu akan dibawa ke rumahnya di Taman Nusari Bayu 1, Bandar Sri Sendayan, Seremban malam ini. – K! ONLINE

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

POPULAR