fbpx

Abai kanak-kanak Sindorm Down, 21 dokumen diserah kepada peguam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Siti Bainun ketika tiba di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

KUALA LUMPUR – Pihak pendakwaan telah menyerahkan sebanyak 21 dokumen berhubung kes Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali yang didakwa atas pertuduhan mengabaikan seorang kanak-kanak perempuan Sindrom Down sehingga mengalami kecederaan Jun lalu.

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya Noor Shakira Aliana Alias ketika sebutan semula kes itu di hadapan Hakim Izralizam Sanusi di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

“Pihak kami (pendakwaan) telah menyerahkan 21 dokumen (berkaitan kes)..namun terdapat lagi dua dokumen yang masih belum dapat disempurnakan iaitu laporan psikiatri dan laporan perubatan penuh mangsa,” kata Noor Shakira.

Dalam prosiding itu, peguam Yalini Munadamy yang mewakili Siti Bainun mengesahkan menerima semua dokumen terbabit termasuk dokumen yang belum diserahkan.

“Pihak pembelaan mengesahkan telah menerima semua dokumem terbabit dan dokumen yang masih belum diserahkan. Pihak kami tiada bantahan sekiranya mahkamah menetapkan tarikh baharu bagi pengurusan kes seterusnya,” kata peguam itu.

Mahkamah kemudian menetapkan 25 November ini untuk pengurusan kes seterusnya.

Pada 20 Ogos lalu, Siti Bainun, 29, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengabaikan seorang kanak-kanak perempuan Sindrom Down sehingga mengalami kecederaan.

Mengikut pertuduhan, Siti Bainun didakwa sebagai orang yang dipertanggungjawab untuk menjaga kanak-kanak perempuan berusia 13 tahun telah mengabaikan iaitu dengan menyebabkan kanak-kanak itu mengalami kecederaan fizikal dan emosi.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah unit rumah kondominium di Seksyen 10, Wangsa Maju di sini antara bulan Februari sehingga Jun tahun ini yang didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum dibawah seksyen sama.

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Hakim Izralizam pada masa itu membenarkan tertuduh diikat jamin 12,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah.

Kosmo! 16 Julai lalu melaporkan pemilik Rumah Bonda yang sebelum ini mencetuskan kemarahan orang ramai susulan pendedahan yang dibuat melibatkan seorang remaja orang kelainan upaya (OKU).

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan berkata, suspek wanita berusia 29 tahun itu ditahan kira-kira pukul 10.30 pagi. -K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI