PETALING JAYA – Rata-rata pemain industri perkhidmatan tradisional akan terus mencari alternatif lain bagi memastikan perniagaan yang diusahakan kekal bertahan meskipun menerima tempias perkembangan teknologi digital.
Menurut Eksekutif Pemasaran Seroja Travel & Tours, Siti Noraishah Ahmad, pihaknya akan terus bergiat aktif dalam memasarkan produk pelancongan selain tidak akan putus asa walaupun berdepan cabaran dunia digital.
“Tidak dinafikan, orang ramai sekarang ini boleh merancang pelancongan mereka hanya di hujung jari berikutan kewujudan pelbagai aplikasi sekali gus tidak bergantung harap kepada agensi seperti kami.
“Bagaimanapun, bagi pakej pelancongan atau mesyuarat sesebuah syarikat, mereka masih menggunakan khidmat agensi untuk merancang aktiviti itu, jadi tumpuan akan diberikan kepada kumpulan itu,” katanya.
Menurutnya, khidmat agensi pelancongan masih diperlukan dan akan bertahan memandangkan menjadi antara perantara penting dalam menguruskan perjalanan jemaah haji dan umrah di Malaysia.
“Bagi perjalanan ke lokasi domestik dan antarabangsa mungkin sedikit terjejas disebabkan orang ramai boleh merancang sendiri, tetapi untuk ke Tanah Suci, ia perlu diuruskan oleh agensi pelancongan.
“Jadi, kami akan terus melancarkan pelbagai promosi bagi memastikan produk pelancongan dapat dipasarkan sebaik mungkin seterusnya membolehkan pekerjaan itu terus bernafas,” katanya.
Sementara itu, Yang di-Pertua Gabungan Teksi Malaysia, Kamarudin Mohd. Hussain berkata, pihaknya akur dengan impak diterima kumpulan pemandu teksi susulan perkembangan ekonomi gig ketika ini.
“Kami sedar, ada pemandu teksi yang terjejas dan mungkin hilang kerja selepas orang ramai beralih kepada perkhidmatan e-hailing, namun perkara itu perlu diberi tumpuan oleh kerajaan.
“Jadi, kami mahu kerajaan lebih adil dalam menggubal undang-undang berkaitan perkhidmatan itu supaya tiada rakyat terjejas teruk khususnya pemandu teksi,” ujarnya.
















