fbpx

14 individu termasuk adik Nicky dilepas tanpa dibebaskan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara ahli geng Nicky yang dilepas tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini

SHAH ALAM – Seramai 14 individu termasuk dua adik ahli perniagaan yang diburu Nicky Liow Soon Hee yang sebelum ini didakwa terbabit dalam kumpulan jenayah terancang ‘Geng Nicky’ dilepaskan tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi hari ini.

Hakim Datuk Abd. Halim Aman memutuskan demikian selepas pihak pendakwaan memohon menarik semula pertuduhan sehingga siasatan lanjut berhubung kes tersebut dilengkapkan.

“Menggunakan pakai artikel 145 Pelembagaan Persekutuan iaitu kuasa untuk menuduh, memberhentikan dan memulakan prosiding adalah kuasa pendakwa raya.

“Pihak pendakwaan berjaya menyakinkan bahawa bercadang menuduh semula semua tertuduh ini setelah kertas siasatan dilengkapkan. Justeru, mereka dilepaskan tanpa dibebaskan mengikut Seksyen 254 Kanun Tatacara Jenayah,” katanya.

Kesemua tertuduh adalah Wei Kin dan Wei Loon merupakan adik kepada Nicky selain Lee Han Keat, Eee Eng Chee, Dr. Jovian Joris Tan Chern Chian, Lee Kam Onn, Datuk Lee Kum Weng, Datuk Liow Wei Kin, Datuk Liow Wei Loon, Datuk Loo Siew Chin, Datuk Seri Andrew Lim Kim Ming dan Lim Kang Li.

Manakala empat lagi merupakan empat warga China iaitu Huang Lei, Gu Xing Qiong, Yujun Wang dan Jiang Xue.

Kesemua mereka terdiri daripada sembilan lelaki dan empat wanita itu berusia awal 20an hingga 56 tahun.

Mengikut pertuduhan, 13 tertuduh didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang “Geng Nicky” di kawasan SetiaWalk, Persiaran Wawasan, Pusat Bandar Puchong, di sini antara 1 Januari 2017 dan 20 Mac 2021.

Pendakwaan terhadap mereka dibuat mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan (Akta 574), yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 20 tahun jika sabit kesalahan.

Sementara hanya tertuduh Andrew didakwa atas pertuduhan membantu kumpulan jenayah terancang “Geng Nicky” di kawasan SetiaWalk, Persiaran Wawasan, Pusat Bandar Puchong, di sini antara 1 Januari 2017 dan 29 Mac 2021.

Dia didakwa mengikut Seksyen 130W Kanun Keseksaan (Akta 574), yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun jika sabit kesalahan.

Peguam Datuk Rajpal Singh yang mengetuai pihak pembelaan ketika ditemui di luar mahkamah memberitahu, pihaknya memohon kesemua tertuduh dilepaskan dan dibebaskan memandangkan mereka telah ditangkap antara 18 hingga 21 Mac lalu.

Jelasnya, kesemua tertuduh telah ditahan selama 21 hari mengikut Seksyen 13 Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

“Siasatan awal yang dijalankan pihak pendakwa raya tidak lengkap dan representasi telah dihantar pihak peguam bela kepada pejabat peguam negara.

“Peguam negara telah meneliti representasi tersebut dan bersetuju untuk menarik balik kes ini,” ujarnya ketika ditemui pemberita hari ini.

Pendakwaan pula diketuai Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Iskandar Ahmad.

Kosmo! pada 19 April lalu melaporkan 14 individu termasuk dua adik ahli perniagaan yang diburu Nicky yang didakwa di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya dekat sini atas pertuduhan terbabit dalam kumpulan jenayah terancang ‘Geng Nicky’.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah meminta bantuan Polis Antarabangsa (Interpol) bagi menjejaki ahli perniagaan dalam buruan, Nicky. -K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI