fbpx

Pemandu Vios terlibat kemalangan diperintah bela diri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Vaitheswaran hadir bersendirian ke Mahkamah Majistret di Bukit Mertajam hari ini.

SEBERANG PERAI – Mahkamah Majistret Bukit Mertajam di sini hari ini memerintahkan seorang pemuda, M. Vaitheswaran, 23, untuk membela diri atas pertuduhan menyebabkan kematian seorang pelajar kolej dengan memandu secara melulu di Jambatan Pulau Pinang dua tahun lalu.

Hakim yang bertindak sebagai Majistret, Ahzal Fariz Ahmad Khairuddin membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan didapati berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh pada akhir kes pendakwaan.

“Saya berpuas hati bahawa terdapat bukti yang boleh dipercayai untuk membuktikan unsur-unsur kecuaian.

“Memandangkan bukti wujud kecuaian oleh tertuduh, saya dengan ini meminta pihak pembelaan untuk membela diri,” katanya.

Ahzal kemudiannya menetapkan 28 dan 29 Oktober depan sebagai tarikh prosiding pembelaan.

Tertuduh yang mengenakan kemeja lengan pendek berwarna biru gelap kelihatan tenang di dalam kandang tertuduh dan memilih untuk memberi keterangan bersumpah.

Sementara itu, peguam K. Paramanathan berkata, beliau akan memanggil seramai tiga saksi pembelaan yang terdiri daripada tertuduh sendiri, seorang saksi awam iaitu ibu tertuduh dan seorang pakar perubatan dari Hospital Seberang Jaya di sini.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pengarah Pendakwaan Negeri, Datuk Khairul Anuar Abdul Halim dan Timbalan Pendakwa Raya, Mohammad Nazri Abdul Rahim.

Sepanjang perbicaraan pendakwaan kes terbabit, seramai 12 saksi dipanggil bagi memberi keterangan.

Pada 2019, Vaitheswaran didakwa memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian, Moey Yun Peng selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) yang dipandu mangsa di Jambatan Pulau Pinang terhumban ke dalam laut pada 20 Januari 2019.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang boleh dipenjara maksimum 10 tahun dan denda sehingga RM20,00 dan boleh hilang kelayakan lesen memandu tidak lebih tiga tahun daripada sabitan jika sabit kesalahan.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.54 pagi itu, Vaitheswaran yang dikatakan memandu sebuah kereta jenis Toyota Vios telah berlanggar dengan SUV yang dipandu Moey di atas jambatan berkenaan sehingga SUV itu hilang kawalan dan terjunam ke laut di Kilometer 4 Jambatan Pulau Pinang menghala Perai.

Usaha untuk mengeluarkan kenderaan dan mayat Moey dari dasar laut, mengambil masa lebih 24 jam sebelum berjaya dikeluarkan pada Selasa petang, 22 Januari.

Mayat Moey yang masih berada di tempat duduk pemandu kenderaan dengan tali pinggang keledarnya masih terpasang ditemui di dalam SUV yang remuk itu semasa ditarik keluar dari laut pada pukul 6.07 petang. – K! ONLINE

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI