fbpx

Dapat tawaran pun satu rahmat – Nadiya Nissa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NADIYA NISSA

AKTRES Nadiya Nisaa sudah selayaknya dikategorikan sebagai pelakon papan atas, namun komitmen dan disiplin yang ditonjolkan dalam setiap pekerjaannya tidak pernah berubah.

Setiap naskhah tidak kira layar perak mahupun drama televisyen, persembahan Nadiya atau nama sebenarnya, Nadiyatul Nisaa Kamaruddin pasti meninggalkan kesan kepada penonton.

Ditebak bagaimana wanita berusia 36 tahun itu mampu mengekalkan kualiti dan momentum kerja seni selama 17 tahun bergelar pelakon, jawapannya cukup ringkas iaitu disiplin.

“Sebelum memasuki set penggambaran perlu ada persiapan dan bagi saya menjaga disiplin daripada awal bergelar pelakon sampai sekarang sangat penting.

“Ketika awal berlakon saya melihat pelakon senior membuat persiapan watak dan disiplin kerja mereka. Jika saya tidak buat perkara sama, saya tidak akan dapat mutu lakonan sehebat mereka.

“Saya bersyukur kerana dapat peluang bekerja dengan Sofia Jane, Vanidah Imran dan Wan Hanafi Su yang kita tahu kualiti kerja mereka. Jika mahu jadi hebat seperti mereka, saya harus ikut cara kerja mereka,” tutur Nadiya membuka bicara.

Sedar dirinya tidak lahir daripada mana-mana sekolah lakonan, Nadiya perlu meletakkan usaha berganda dengan mengambil ‘kuliah’ secara percuma di set penggambaran.

“Saya bukan datang dari sekolah lakonan, jadi saya harus belajar ilmu lakonan sendiri. Lapangan penggambaran ialah kelas saya, jika saya tidak hargai setiap ilmu di depan mata dan praktikkan dalam setiap lakonan, rugilah.

“Jika kita menitikberatkan kualiti dalam setiap hasil karya dan orang sekeliling serta penonton menghargai kerja kita, itu satu penghargaan besar buat saya sebagai pelakon,” ujarnya.

DRAMA Penghulu Interim lakonan Nadiya Nisaa bersama Beto Kusyairy baru sahaja melabuhkan tirainya pada Jumaat lalu.

Tanggungjawab

Sambung bintang filem Terbaik Dari Langit itu, selain untuk kepuasan peribadi, kualiti kerja yang baik mampu mengekalkan momentum dan kelangsungan karier seseorang pelakon.

“Andai kita menunjukkan yang kita serius dengan kerja, secara automatik orang sekeliling juga tidak memandang remeh terhadap kita. Orang sekeliling sudah tahu mutu dan hasil kerja, jadi mudah untuk bekerjasama pada masa depan.

“Kepercayaan itu sudah terjalin dan pihak produksi tahu jika mereka bekerja dengan pelakon yang serius, mereka juga perlu serius tidak boleh sambil lewa dalam bekerja,” tutur Nadiya.

Jelasnya, industri lakonan di Malaysia cukup kecil, jadi dia harus menjaga dengan baik periuk nasi yang menjadi sumber rezekinya selama ini.

Baginya setiap tawaran yang hadir adalah satu rezeki dan rahmat.

“Saya sentiasa cuba memberi yang terbaik dalam setiap karya kerana bagi saya tawaran yang diberi adalah rezeki dan tanda kepercayaan orang terhadap bakat serta mutu kerja saya.

MESKIPUN dilihat kerap bergandingan dengan Beto Kusyairy, jelas Nadiya mereka sebenarnya hanya bertemu sekitar dua tahun sekali.

“Jika saya tidak buat dengan baik dan berlakon secara sambil lewa, ramai lagi orang lain di luar sana yang berbakat boleh bawakan watak yang diberikan.

“Oleh kerana saya yang dapat tawaran kerja itu, saya harus hargai kepercayaan dan peluang tersebut. Jika kita buat kerja dengan bersungguh-sungguh, orang pasti akan nampak hasilnya,” kata Nadiya.

Berkongsi pengalamannya, jelas ibu kepada dua orang anak itu, komitmen kerja pelakon mampu mengubah suasana kerja dalam sesebuah set penggambaran.

“Saya sudah terbiasa menulis semua perkara penting dalam skrip sebagai panduan. Jawatan kita sebagai pelakon, jadi kita ada tanggungjawab seperti menjaga kesinambungan mood dan tulis nota andai tidak faham.

“Ketika berlakon dalam sebuah telefilem sekitar lapan tahun lalu, pembantu pengarahnya terkejut melihat komitmen saya dan secara automatik dia juga menjadi bersemangat untuk bekerja.

“Sebagai pelakon kita ada tanggungjawab untuk beritahu cara kerja kita.

“Barulah mereka tidak anggap kita main-main yang mungkin pada awalnya dianggap dapat peluang keluar televisyen sebab dapat anugerah atau wajah cantik semata-mata,” luah Nadiya penuh serius.

SEDAR dirinya bukanlah graduan sekolah lakonan, Nadiya menjadikan set penggambaran sebagai kelas percumanya.

Karier

Berbicara tentang karier seninya, selain bakal muncul dengan filem Mat Kilau yang dijangka ditayangkan pada tahun ini, drama lakonannya berjudul Penghulu Interim menerusi Awesome TV baru sahaja melabuhkan tirai Jumaat lalu.

Drama yang dibintangi bersama aktor Beto Kusyairy itu mendapat sambutan hangat kerana menyiarkan sebuah karya realistik yang begitu dekat dengan penonton.

“Drama mengisahkan mengenai penduduk di sebuah flat dan pelbagai isu yang berlaku di luar sana diangkat dalam karya ini.

“Biarpun drama tersebut dikategorikan sebagai komedi, tetapi watak saya dan Beto langsung tidak kelakar.

“Suasana sekeliling yang membuatkan situasi tersebut menjadi lucu.

“Bekerja dengan Beto, saya ikut sahaja haluannya kerana yakin dia pasti pandu saya dengan selamat,” kata Nadiya yang memegang watak sebagai Izzah isteri kepada Borhan (Beto).

Biarpun dilihat kerap bergandingan dengan Beto, antaranya menerusi filem Gila Baby, Jiwa Taiko dan dua buah filem lagi yang masih dalam peringkat pos-produksi iaitu Imaginur serta Mat Kilau, jelas Nadiya setiap karya mereka memberi ‘rasa’ yang berbeza.

“Orang lihat kami kerap berlakon bersama walhal kami jarang berjumpa dalam naskhah. Selalunya akan ada jarak sekitar dua tahun sebelum kami dipertemukan kembali.

“Jadi, setiap kali berjumpa banyak benda baharu yang mahu dikongsi. Sepanjang dua tahun itu juga pelbagai perkara berlaku dalam kehidupan masing-masing dan secara tidak langsung menjadikan lakonan kami berbeza.

“Kami tidaklah beria-ria berbincang apa kelainan yang mahu diberi, sebaliknya disesuaikan dengan watak itu sendiri dan Beto seorang pelakon yang tidak mudah rasa selesa.

“Perkara tersebut bagus untuk pelakon kerana sentiasa membuatkannya mahu beri lebih baik. Sebagai pelakon gandingan memang agak mudah untuk bekerja sebab dia tahu ke mana mahu bawa wataknya dan orang sekeliling,” tutur Nadiya.

Meskipun sudah melabuhkan tirainya dalam televisyen, drama Penghulu Interim masih lagi boleh ditonton menerusi laman web, www.awesometv.my.

NADIYA amat menjaga disiplin kerja seperti mana yang dipraktikkan oleh pelakon senior seperti Sofia Jane, Vanida Imran dan Wan Hanafi Su.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI