fbpx

Rumah penduduk ditimpa pokok tumbang dibersihkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Zainuddin (kanan) melihat petugas MPM dan sukarelawan membersihkan pokok yang menghempap kediamannya di Manjung semalam.

MANJUNG – Kejadian ribut kuat yang melanda Manjung baru-baru ini masih meninggalkan kesan kepada penduduknya.

Salah seorang ialah Zainuddin Ismail yang bahagian dapur rumahnya di Kampung Pasir Panjang Laut, Manjung rosak teruk ditimpa pokok mangga berusia 45 tahun.

Bagaimana pun, Majlis Perbandaran Manjung (MPM) mengambil langkah proaktif apabila melakukan gotong-royong bagi memotong dan membersihkan pokok tumbang kelmarin.

Zainuddin, 62, yang tinggal sendirian di rumah pusaka itu berhadapan kesukaran untuk membaiki kerosakan dan membersihkan kawasan tersebut.

Beliau memanjatkan kesyukuran serta berterima kasih atas bantuan semua pihak yang terlibat khususnya MPM serta penduduk setempat.

“Kalau bersama dua tiga orang pun memang tak mampu nak bersihkan kawasan ini kerana pokok mempelam yang tumbang itu besar. Kena guna jengkaut.

“Keprihatinan pihak MPM khususnya Yang Dipertuanya, Syamsul Hazeman Salleh membantu saya dan penduduk lain yang ditimpa musibah sama amatlah dihargai,” ujarnya.

Sementara itu, Ahli Majlis MPM (Zon 5), Norhaslinda Zakaria berkata, tindakan tersebut setelah pihaknya menziarahi kediaman warga emas itu pada hari kejadian bagi melihat kerosakan rumah beliau.

Katanya, hasil perbincangan bersama Ketua Jabatan Pembangunan Komuniti dan Sosial MPM,
Issamudin Ibrahim mereka bersepakat mengadakan program gotong-royong.

“Sukarelawan bomba dan penduduk Pasir Panjang Laut turut bersama-sama menjayakan progrom gotong royong yang bermula pukul 8.30 pagi hingga 1.30 tengah hari,” ujarnya.

Pagi tadi, Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad telah turun padang melawat beberapa rumah penduduk yang mengalami kerosakan akibat kejadian ribut tersebut.

Dalam kejadian petang Rabu lalu, ribut kencang menyebabkan lebih 70 rumah penduduk di sekitar Manjung dan Sitiawan rosak termasuk atap diterbangkan angin dan ada kediaman ditimpa pokok. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI