KOTA BHARU – Seorang wanita mendedahkan, rahsia dia berkahwin dengan suaminya hanya bertahan selama 10 bulan sebelum berlaku ‘perang’ selepas tembelang mereka diketahui isteri pertama dan ahli keluarganya.
Mawar (bukan nama sebenar), 29, memberitahu, ketika ini keadaan rumah tangganya tidak berapa baik apabila sering berselisih faham dengan suaminya, seorang penjawat awam berusia 45 tahun.
“Kalau boleh diputarkan balik waktu, saya akan berfikir panjang sebelum bernikah di sempadan kerana ketika ini saya sudah runsing dengan banyak perkara tidak baik yang akan berlaku,” katanya.
Cerita Mawar, ketika bernikah, dia tidak berfikir panjang kerana segalanya diuruskan oleh ejen yang memudahkan urusan mereka.
“Ketika bernikah hujung tahun lalu, saya hanya memakai seluar jean, baju-T dan selendang untuk mengelakkan rasa curiga.
“Selepas bernikah, kami terus balik ke rumah yang disewa suaminya di sini. Perkahwinan di negara jiran sah dari sudut syarak, namun sukar untuk didaftarkan dan lebih parah jika sudah mempunyai anak kelak. Saya sedar dan pasrah mengenainya,” katanya.
Sementara itu, seorang warga emas, Wan (bukan nama sebenar), 60, berkata, dia bernikah dengan janda anak dua di sempadan selepas memikirkan sukar untuk mendapat kebenaran isteri pertama.
“Saya nikah janda sebab kasihan dia susah selepas kematian suami. Saya tersentuh melihat kepayahannya terpaksa berhempas pulas membesarkan dua anak kecil.
“Bagi mendapat persetujuan isteri pertama agak rumit kerana ia melibatkan banyak perkara termasuk soal perasaan. Kebanyakan wanita tidak rela untuk berkongsi kasih,” katanya.
Tambahnya, selepas bernikah, dia terus mendaftarkan perkahwinan di Malaysia bagi mengelakkan implikasi buruk pada masa hadapan.














