fbpx

Terengganu juga ‘syurga’ melancong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEBAHAGIAN pelancong berswafoto di papan tanda Pulau Redang kelmarin. – PUQTRA HAIRRY ROSLI

KUALA TERENGGANU – Pe­ralihan Fasa 3 Pelan Peralihan Negara (PPN) di Terengganu sejak Jumaat lalu telah merancakkan kembali sektor pelancongan di negeri Pantai Timur berkenaan.

Rakyat yang sudah lama terperap di rumah masing-masing menggunakan kebenaran me­rentas daerah mengikut kapasiti kenderaan tersebut untuk membawa bersiar-siar bersama keluarga.

Biarpun masih tidak boleh merentas negeri, ia tidak menjadi halangan buat penduduk tempatan untuk melakukan pelancongan domestik yang turut menawarkan percutian memuaskan.

Terengganu juga mempunyai rangkaian pulau peranginan indah seperti Pulau Perhentian, Pulau Redang, Pulau Lang Tengah, Pulau Bidong, Pulau Kapas dan Pulau Tenggol.

Pemancing dan peminat menu berasaskan ikan air tawar boleh memilih bercuti ke Tasik Kenyir, Hulu Terengganu, manakala pantai peranginan seperti Pantai Rhu Sepuluh, Setiu; Pantai Teluk Ke­tapang, Kuala Nerus; dan Pantai Mak Nik, Kemaman pula sesuai untuk perkelahan keluarga sambil menikmati makanan laut celup tepung segar.

Dianggarkan puluhan ribu penduduk telah membanjiri kesemua lokasi itu pada hujung minggu lalu selain berkelah di beberapa kawasan air terjun popular di Hulu Dungun, Setiu, Besut dan Hulu Terengganu.

PEMANDU bot pelancong tidak menang tangan menghantar pengunjung ke Pulau Bidong kelmarin.

Seorang pelancong, Safarwan Bahrin, 41, berkata, rakyat negeri ini tidak perlu melancong jauh hingga ke Pulau Langkawi, Kedah bagi merasai keindahan dan ketenangan pulau.

Dia berkata, rangkaian pulau peranginan Terengganu se­perti Pulau Perhentian dan Pulau Redang tidak kurang hebatnya malah mempunyai tarikan tersendiri serta terkenal di serata dunia.

“Saya memang peminat pulau dan pantai. Cuti hujung minggu ini, saya memilih untuk berkhemah selama dua hari satu malam di Pulau Bidong, Kuala Nerus.

“Selain kaya dengan tinggalan sejarah kerana pernah menjadi penempatan Orang Hanyut Viet­nam, pantainya putih bersih, manakala dasar perairan penuh dengan terumbu karang dan ikan berwarna-warni yang sesuai untuk aktiviti berenang dan selaman,” katanya kepada Kosmo! di sini kelmarin.

Seorang pengusaha bot pelancong, Mohammad Amri Mad Adek, 28, pula memberitahu dia sekarang tidak menang tangan menyediakan perkhidmatan kepada pelancong yang berpusu-pusu mahu masuk ke Pulau Redang dan Pulau Bidong dari Jeti Merang, Setiu.

“Harap semua boleh jaga SOP, pelancongan di sini baru hendak bernyawa balik,” katanya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI