fbpx

Siti Jamila Syuhada mahasiswa MMU cantik dan pintar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GADIS manis ini sering dipilih menjadi model jenama tudung terkemuka di negara ini.

BEAUTY with brain. Itulah ungkapan terbaik bagi mengambarkan kelebihan dimiliki Siti Jamila Syuhada Jailani yang bukan sahaja dianugerahkan rupa paras cantik, malah pintar dalam pelajaran.

Kecantikan dimiliki oleh gadis berusia 21 tahun itu membolehkannya mendapat banyak tawaran menjadi model sambilan jenama tudung, selain mengumpul pengikut yang ramai dalam Instagram.

Justeru, tidak hairanlah Siti Jamila Syuhada sering mendapat tawaran daripada usahawan tempatan untuk membuat rebiu produk kecantikan, solekan dan makanan menerusi laman sosial.

Pada masa sama, penuntut tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Perniagaan Antarabangsa di Universiti Multimedia (MMU) Cawangan Melaka itu turut cemerlang dalam pelajaran.

Dia yang juga penerima biasiswa tajaan Yayasan Telekom Malaysia (YTM) berjaya mengekalkan Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 4.0 pada setiap semester.

“Saya merupakan seorang yang sangat mementingkan pelajaran. Sesibuk mana pun dengan aktiviti luar kampus, saya tetap memastikan pelajaran diberi keutamaan.

“Sekiranya ada masa lapang, baru saya terima tawaran menjadi model untuk mencari pengalaman dalam dunia perniagaan, di samping menjana pendapatan,” katanya.

Anak sulung daripada empat adik-beradik itu memaklumkan, dia tidak pernah terfikir melanjutkan pengajian dalam bidang bisnes memandangkan minatnya lebih terarah kepada undang-undang.

SITI Jamila Syuhada turut cemerlang dalam pelajaran.

Siti Jamila Syuhada berkata, biasiswa diberikan YTM dalam bidang bisnes sukar ditolak, meskipun dia mendapat tawaran pengajian undang-undang di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

“Sejak di bangku sekolah, saya sangat aktif dalam pertandingan debat. Disebabkan itu, saya memang berhajat untuk melanjutkan pelajaran dalam jurusan undang-undang.

“Tetapi keluarga lebih suka saya belajar bisnes memandangkan ibu dan bapa saya bekerja sebagai peguam. Alhamdulillah, saya berjaya menguasainya dengan baik,” tegasnya.

Menariknya, gadis berasal dari Kuala Terengganu itu juga aktif dalam pelbagai aktiviti kokurikulum sama ada di dalam dan luar kampus.

Siti Jamila Syuhada sering dipilih mewakili MMU untuk bertanding dalam pertandingan berbentuk keusahawanan sehingga ke peringkat antarabangsa.

Antara pertandingan yang disertainya adalah Alibaba GET Global Challenge, International Young Social Entrepreneurs Competition 2020 dan International Business Idea Challenge 2020.

“Selain cemerlang akademik, faktor lain yang membolehkan saya terpilih menyertai pertandingan keusahawanan adalah kelebihan saya dalam pembentangan.

“Pensyarah ada memaklumkan, pelabur (juri) mudah tertarik apabila saya membentangkan sesuatu pelan bisnes. Kemahiran ini terbentuk melalui pertandingan debat,” ujarnya.

Di samping itu, beliau turut menerima jemputan menjadi speaker dalam beberapa pertandingan debat sama ada di peringkat MMU atau kebangsaan.

Pada masa sama, dia merupakan Maybank Student Ambassador di MMU bagi menyebarkan kesedaran mengenai perancangan kewangan kepada pelajar.

BIARPUN minatnya lebih pada jurusan undang-undang, namun gadis berusia 21 tahun ini memilih jurusan perniagaan sebagai pilihan utama pengajian di universiti.

Siti Jamila Syuhada turut berminat untuk mendalami dunia politik dengan menjadi Ahli Parlimen Wanita Muda (PWM) serta Ahli Dewan Muda Malaysia.

Dia memaklumkan, kedua-dua pentas tersebut memberi peluang kepadanya melontarkan pandangan dalam pembentukan polis kerajaan.

“Saya berminat dalam politik sejak di bangku sekolah lagi. Walaupun saya belajar dalam bisnes, tetapi saya tetap ingin melontarkan idea terhadap isu-isu semasa,” katanya.

Bukan itu sahaja, dia turut bekerja secara sambilan sebagai pengurus pemasaran di syarikat tudung iaitu Inspirasi Jamha by Bawal Exclusive.

Tugasnya adalah mempromosikan produk menerusi media sosial.

Siti Jamila Syuhada juga menggunakan pengaruhnya dalam media sosial terutamanya Instagram untuk memberi motivasi kepada rakan-rakan pelajar lain.

Dia juga menggunakan platform tersebut untuk menyuarakan isu pemerkasaan belia dan wanita, selain membantu mempromosikan bisnes rakan-rakan yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19 pada masa ini.

Meskipun sibuk dengan pelbagai aktiviti di luar kampus, namun gadis itu tidak pernah melupakan tanggungjawab sebagai seorang pelajar.

Pada masa sama, dia turut menyambung pengajian kursus pendek Business Analytics di Harvard Business School secara online, selain bergelar tutor di fakulti perniagaan.

Jelasnya, dia perlu bijak membahagikan masa antara pelajaran serta aktiviti luar supaya kedua-duanya dapat bergerak secara seiring dan tidak ada yang tertinggal.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

RSS Error: A feed could not be found at `https://www.relevan.com.my/feed`. This does not appear to be a valid RSS or Atom feed.