fbpx

Tya Ariffin nak wawancara Tun Dr. Siti Hasmah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TYA ARIFFIN

BUKAN bermaksud tamak mahu melakukan semua cabang kerja, namun wanita yang juga pelakon dan usahawan ini, Tya Ariffin kini menyandang satu lagi tugas bergelar pengacara sebuah program dalam talian, Bersama Tya.

Ibu kepada sepasang cahaya mata, Arif Jiwa dan Azzahra Jiwa itu berkata, pandemik Covid-19 yang hampir dua tahun melanda dunia turut menjentik semangatnya untuk berkongsi hal positif dan suntikan inspirasi kepada khalayak.

Bersiaran secara langsung setiap Isnin hingga Rabu, pukul 10 malam menerusi siarang langsung dalam Instagram sejak 14 Jun lalu, Tya juga pada masa sama membiasakan norma baharu bekerja dari rumah.

Terdahulu, isteri kepada Asyraf Khalid itu pernah berlakon, menyanyi dan menceburi perniagaan jus kesihatan, Mutyara.

“Dalam membiasakan norma baharu sekalipun berdepan kekangan tertentu pada era pandemik ini, kenapa tidak saya manfaatkan platform media sosial seperti Instagram dan YouTube.

TYA ARIFFIN menggunakan platform media sosialnya untuk menyebarkan perkongsian inspirasi dan semangat positif kepada orang ramai.

“Sebenarnya, dahulu di negara kelahiran sendiri, Indonesia, saya pernah juga jadi penyampai radio. Cuma tidak sempat berjinak jinak jadi pengacara,” katanya.

Malah dalam membiasakan norma baharu ini juga, segala serbi kerja dilakukan sendiri wanita kelahiran Palembang, Indonesia itu.

“Untuk tugasan program ini, saya banyak melakukan semua kerja sendirian. Awalnya pasukan kerja saya yang menguruskan set program, tetapan gajet, bahan grafik dan sebagainya.

“Selepas itu, pendek kata semua saya uruskan sendiri. Termasuklah menata rias diri, menentukan busana yang mahu dipakai. Malah, tetamu atau panel jemputan pun saya sendiri yang undang.

“Lagipun mudah kerana saya bersiaran di rumah. Anak pula pukul 9 malam sudah masuk tidur. Jadi masa bersiaran, saya tak diganggu mereka,” katanya.

Beritahu Tya, setakat ini sudah lebih 30 episod Bersama Tya turut dikongsi menerusi pelbagai platform termasuk saluran YouTube rasmi, Tya Arifin.

Tidak hanya mengundang rakan artis dan personaliti tempatan, Tya atau nama lengkapnya, Nurtria Wulandari Arifin, 27, turut menjemput selebriti dari Indonesia.

Datuk Seri Siti Nurhaliza, Tengku Zawiyah, Nina Ismail Sabri, Datuk Prof Dr. Muhaya Mohamad antara yang pernah diundangnya.

TYA berharap program bual bicaranya akan pergi lebih jauh.

“Pada era pandemik ini terlalu banyak hal negatif dalam media sosial. Setidak-tidaknya perkongsian inspirasi dan semangat positif daripada tetamu jemputan boleh menyebarkan aura baik.

“Isu yang dikupas juga dekat di hati, bersifat semasa dan terkini. Saya juga tak bataskan tetamu jemputan hanya dalam kalangan wanita,” ujarnya.

Dalam pada itu, Tya juga berharap suatu hari nanti dapat mengundang wanita berpengaruh termasuk Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali sebagai tetamu jemputan.

Ditebak mengenai kerinduannya terhadap keluarga di kampung halaman selepas dua tahun tidak bersua, Tya mengakui perkara tersebut, namun tiada pilihan buat masa ini.

“Bab rindu ini sebenarnya bagai sudah kering air mata. Kerinduan itu terlalu berat. Tetapi apa daya kita sedang melawan ujian pandemik ini,” tuturnya menutup kata.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI