fbpx

Sampai bila kena hadap pencemar alam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (dua dari kanan) meninjau keadaan pencemaran sungai akibat pembuangan sisa toksik di Kempas kelmarin. - RAJA JAAFAR ALI

TUGAS untuk menjaga alam anugerah Ilahi rupanya tidak semudah yang disangka. Apatah lagi ketika berhadapan dengan terlalu ramai manusia rakus dan haloba yang hanya mementingkan keuntungan segera yang menimbun.

Soal kelestarian alam, tiada dalam kamus perniagaan mereka. Ia bukanlah menjadi satu keutamaan. Lebih malang, segelintir dalam kalangan mereka menyifatkan menjaga alam sekitar merupakan satu kos yang hanya akan mengurangkan keuntungan mereka.

Jadi tidak hairanlan banyak kejadian bukit ditarah, hutan digondol, sungai dicemari, malah udara turut diracuni di negara ini. Malah, kejadian tersebut akan terus berlaku dan berlaku lagi walaupun pelbagai tindakan ke arah mencegah kejadian seumpama itu sering didakwa telah diambil oleh pihak berkuasa.

Buktinya, kes pencemaran udara akibat pembuangan sisa toksik berlaku lagi di Johor. Jika dua tahun lalu ia berlaku di Sungai Kim Kim , Pasir Gudang, kini kejadian sama merebak pula ke Kampung Baru Sri Aman, Kempas.

Dalam kejadian kelmarin, empat wanita terpaksa dikejarkan ke hospital akibat sesak nafas selepas terhidu bahan kimia, manakala sebanyak 128 penduduk terpaksa dipindahkan selain perlu menjalani pemeriksaan kesihatan.

Begitulah juga halnya di Lembah Klang, apabila operasi Loji Rawatan Air Sungai Semenyih terpaksa dihenti tugas akibat pencemaran pada akhir Ogos lalu.

Henti tugas loji berkenaan telah memberi impak yang besar kepada penduduk di Lembah Klang apabila 463 kawasan di lima wilayah Air Selangor iaitu Petaling, Sepang, Putrajaya, Hulu Langat dan Kuala Langat terpaksa menadah air daripada lori tangki untuk keperluan hidup.

Ironinya, masalah gangguan bekalan air akibat pencemaran sungai ini bukan yang pertama kali berlaku, sebaliknya telah berkali-kali berlaku dan percayalah, ia akan berlaku lagi.

Persoalannya sekarang, apa yang pihak berkuasa kita telah lakukan dalam menangani isu pencemaran ini? Tidakkah mereka merasa malu apabila ketika ini masih terdapat kilang-kilang yang sesuka hati melepaskan sisa buangan mereka ke sungai-sungai?

Itu baru melibatkan dua kes pencemaran sungai yang berlaku kelmarin dan akhir bulan lepas, tak sentuh lagi kes-kes kerosakan alam sekitar di tempat-tempat lain. Kalau nak tulis pun pasti tak muat kolum ini.

Pihak bertanggungjawab tidak kiralah pihak berkuasa tempatan (PBT), Jabatan Alam Sekitar atau pihak-pihak lain yang bersangkutan perlu bertegas dalam menangani permasalahan ini. Heret mereka yang bersalah ke muka pengadilan dan jangan sekali-kali bersekongkol dengan pihak-pihak yang melakukan pencemaran ini.

Paling bagus jika dapat sekat golongan tamak haloba ini daripada awal untuk bina kilang-kilang haram atau yang halal jika berisiko menyebabkan pencemaran atau sebarang bentuk aktiviti yang boleh merosakkan alam daripada beroperasi.

Bukan apa, orang ramaipun sebenarnya dah letih untuk hadap pelbagai masalah yang ditimbulkan puak-puak yang tamak haloba ini. Sudah la ketika ini terpaksa berdepan dengan pandemik, nak tambah lagi dengan kes-kes pencemaran yang sekadar menambahkan lagi kemarahan ramai.-K ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI