fbpx

Bitcoin kini mata wang sah di El Salvador

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BANNER tertulis 'kami terima bitcoin' tertera pada sebuah warung kecil di El Salvador.

“SAYA sudah menerima pembayaran secara bitcoin sejak dua bulan lalu,” ujar pemandu teksi Daniel Hercules, 24. Menurutnya, ada penumpang yang membayarnya dengan bitcoin bernilai AS$40 (RM166) saat dihantar ke lapangan terbang.

Biarpun hanya sekitar 10 peratus penumpangnya memilih untuk membayar dengan menggunakan bitcoin, Daniel menerima pembayaran mata wang digital bitcoin itu bagi mengikuti langkah yang dilaksanakan kerajaan El Salvador.

Pada minggu lalu, El Salvador mencipta sejarah apabila menjadi negara pertama di dunia yang menerima bitcoin sebagai mata wang sah dalam semua transaksi perniagaan dan perkhidmatan di negara itu.

Daripada membeli secawan kopi sehinggalah membayar cukai, semuanya boleh dilakukan di negara kecil di Amerika Tengah itu dengan menggunakan bitcoin yang merupakan mata wang kripto.

Bitcoin adalah salah satu mata wang kripto yang lahir secara digital. Transaksi bitcoin dijalankan menerusi kod dan tidak dikawal oleh mana-mana negara serta nilainya ditentukan oleh masyarakat.

Bank terbesar di negara itu, Bancoagricola turut mengumumkan bahawa pelanggan-pelanggannya yang menggunakan mata wang dolar Amerika Syarikat (AS) kini boleh membuat transaksi termasuk pembayaran pinjaman dan bil kad kredit menggunakan bitcoin.

BITCOIN turut diterima bagi urusan jual beli minuman kopi.

Agensi berita AFP melaporkan, El Salvador di bawah pimpinan Presiden, Nayib Bukele menjelaskan bahawa langkah itu bahkan bakal memberi peluang kepada sesetengah rakyat negara itu untuk mengakses perkhidmatan bank buat pertama kalinya dan penyedia khidmat kewangan seperti Western Union dan MoneyGram akan kerugian AS$400 juta setahun bagi komisen pemindahan wang.

“Buat pertama kalinya dalam sejarah, semua mata di dunia akan tertumpu pada El Salvador. Semuanya kerana bitcoin,” jelas Bukele dalam ciapannya di Twitter. Beliau juga memulakan langkah tersebut dengan mengumumkan pembelian 400 bitcoin oleh negara itu dan berjanji untuk membuat lebih banyak pembelian pada masa hadapan. Jumlah 400 bitcoin itu bernilai sekitar AS$21 juta (RM87 juta), berdasarkan aplikasi pertukaran kripto, Gemini.

Dalam pada itu, berdasarkan tinjauan yang dilakukan, majoriti 6.6 juta rakyat El Salvador menolak idea itu dan akan terus menggunakan dolar AS sebagai mata wang sah negara itu yang telah digunakan selama 20 tahun lalu.

“Bitcoin ini adalah mata wang yang tidak wujud, mata wang yang tidak akan menguntungkan orang miskin tetapi orang kaya.

“Bagaimana orang miskin akan melabur dalam bitcoin jika mereka sendiri tidak cukup wang untuk makan?” bantah Jose Santos Melara yang mengambil bahagian dalam tunjuk perasaan menentang pelaksanaan penggunaan bitcoin baru-baru ini.

BUKELE- Foto AFP

Pada Jun lalu, Parlimen El Salvador meluluskan rang undang-undang untuk membenarkan wang kripto itu diterima bagi sebarang transaksi barangan dan perkhidmatan di negara itu.

Rang undang-undang tersebut adalah inisiatif Bukele dan dipersetujui dalam tempoh 24 jam setelah dibentangkan kepada kongres.

Dalam pada itu, pakar menyatakan kebimbangan mengenai turun naik wang kripto yang terkenal dengan sifatnya yang kurang memberi perlindungan kepada pengguna.

Untuk tujuan tersebut juga pihak kerajaan telah memasang lebih 200 mesin juruwang bitcoin dan ada daripadanya dikawal pihak tentera bagi mengelak kemungkinan pembakaran pihak yang membantah.

Selain itu, Bukele juga telah menjanjikan ganjaran AS$30 (RM124) untuk setiap warganegara yang menggunakan mata wang digital itu.

Pengarah Institut Pendapat Umum, Central American University, Laura Andrade berkata, keputusan menggubal undang-undang yang diambil pemerintah itu dilakukan tanpa perundingan terlebih dahulu.

“Hasil tinjauan pendapat yang kami lakukan, hampir 70 peratus rakyat El Salvador menentang langkah tersebut.

“Kami melihat bahawa pelaksanaan penggunaan bitcoin tidak memberi kesan positif untuk mengubah keadaan hidup mereka dengan ketara,” jelasnya.

Hampir dua pertiga rakyat negara itu yang diajukan soalan mengatakan bahawa mereka tidak berminat untuk memuat turun dompet elektronik ‘Chivo’ yang membolehkan pengguna membeli barangan dengan menggunakan bitcoin. Chivo merupakan dompet digital rasmi El Salvador.

MESIN-MESIN juruwang bitcoin Chivo boleh didapati di sekitar El Salvador.

Sementara itu, ahli ekonomi di Universiti El Salvador, Oscar Cabrera berkata, turun naik mata wang bitcoin akan mempengaruhi harga barangan dan perkhidmatan lalu memberi kesan negatif kepada pengguna.

“Mata wang itu jatuh di bawah AS$30,000 (RM124,000) pada bulan Jun lalu. Sedangkan dua bulan sebelumnya nilainya lebih AS$64,000 (RM265,000),” jelasnya.

Dalam pada itu, kiriman wang dari luar negara menyumbang lebih satu per lima Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) El Salvador. Kiriman dihantar dalam bentuk dolar AS oleh sekitar 1.5 juta ekspatriat melalui agensi seperti Western Union.

Menurut data Bank Dunia, El Salvador menerima lebih AS$5.9 bilion (RM24 bilion) pada tahun 2020 daripada warga negaranya yang tinggal di luar negara terutamanya di AS.

Negara itu dilihat amat bergantung kepada bitcoin bagi meningkatkan ekonomi negara yang telah menyusut 7.9 peratus pada tahun 2020 akibat pandemik Covid-19.

Sementara itu, ahli ekonomi dan badan antarabangsa seperti Bank Dunia dan Dana Kewangan Antarabangsa telah menyatakan kebimbangan mengenai penggunaan bitcoin di El Salvador.

AS juga mendesak El Salvador untuk memastikan penggunaan bitcoin secara teratur, telus dan bertanggungjawab selain melindunginya daripada pelaku jahat seperti penggodam yang mencuri wang. Penggunaan bitcoin juga dikritik kerana berpotensi menjadi alat pengubahan wang haram daripada kegiatan jenayah dan pembiayaan keganasan.

Pun begitu, tidak semua rakyat El Salvador menentang penggunaan bitcoin. Dianggarkan sehingga akhir Jun lalu, sekitar 50,000 rakyat negara itu menggunakan bitcoin untuk transaksi.

Sebilangan besar mereka yang menggunakannya adalah penduduk di pesisir El Zonte di mana ratusan peniaga dan individu menggunakan mata wang itu untuk semua kegunaan daripada membayar bil utiliti sehinggalah membeli air soda.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI