fbpx
TANGKAP layar perkongsian Nora percutiannya di Pulau Langkawi hari ini.

Paranoid tapi Nora Danish sudah sampai Langkawi dulu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA – Ketika ramai yang masih dihantui rasa takut untuk melancong, aktres cantik Nora Danish sudah selamat tiba di lokasi peranginan terkenal, Pulau Langkawi, Kedah hari ini.

Percutian pelakon yang mula dikenali menerusi sitkom Puteri itu turut disertai suaminya, Nedim Nazri Aziz dan anak bongsunya, Mohamed Neqayl Nedim.

Menerusi beberapa perkongsian pemilik nama penuh Nora Mohd Danish Hanif, 39, itu, dia berangkat ke Pulau Langkawi dengan menaiki pesawat dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah pagi tadi sebelum mendaftar masuk ke sebuah hotel terkemuka di sana.

“Alhamdulillah, Pulau Langkawi, kami datang,” tulis Nora ringkas dalam satu hantaran Instagram hari ini.

Perkongsian Nora itu sekaligus menjadikannya sebagai selebriti tanah air yang terawal bercuti ke Langkawi selepas dibenarkan oleh kerajaan.

Sementara itu, Nedim dalam satu hantaran Instagram mengakui dia juga berasa paranoid dan berdebar selepas sekian lama tidak melancong dengan menaiki pesawat.

“Pertama kali melancong dengan menaiki pesawat selepas sekian lama.

“Tidak boleh menipu bahawa saya juga berasa gemuruh dan paranoid,” katanya.

Tambah Nedim dia juga menasihatkan orang ramai agar melakukan ujian calitan sehari awal bagi memudahkan urusan perjalanan.

“Buatlah Ujian Pantas (RTK) Antigen Covid-19 sehari sebelum, lebih senang.

“Kakitangan di lapangan terbang banyak membantu walaupun mereka kelihatan penat. Terima kasih semua di Lapangan Terbang Subang,” ujarnya lagi.

Dalam ruangan komen, rata-rata netizen menitipkan nasihat agar Nora dan keluarga sentiasa menjaga diri dan tidak melanggar prosedur operasi standard (SOP) sepanjang tempoh percutian.

Namun, terdapat juga segelintir netizen yang masih tidak mengetahui mengenai Gelembung Pergerakan Pelancongan Bersasar Domestik yang diumumkan kerajaan baru-baru ini.

Perkara tersebut susulan ramai yang masih mempersoalkan mengapa Nora sekeluarga dibenarkan merentas negeri untuk bercuti ke Pulau Langkawi.

Untuk rekod, inisiatif gelembung pelancongan di Langkawi yang bermula hari ini bakal dijadikan penanda aras supaya lebih banyak destinasi pelancongan dalam negara dibuka.

Sebelum ini, Nora juga pernah dikecam netizen selepas dia dan suami membawa tiga anak mereka keluar makan malam di sebuah restoran berhampiran kediamannya di ibu negara pada bulan lalu.- K! ONLINE

POPULAR