fbpx

Vaksinasi walk-in di lima PPV Lembah Klang mulai esok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Lima pusat pemberian vaksin (PPV) terpilih sekitar Lembah Klang dibenarkan melaksanakan inisiatif vaksinasi secara walk-in kepada warganegara Malaysia bermula esok hingga 30 September.

PPV berkenaan ialah Bangi Avenue Convention Centre (BACC), Bangi; Multimedia University (MMU), Cyberjaya; Axiata Arena, Bukit Jalil; Universiti Kuala Lumpur British Malaysian Institute (UniKL British BMI), Gombak dan Ideal Convention Centre (IDCC) HCO B, Shah Alam.

Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) berkata, pelajar institusi pengajian tinggi di sekitar Lembah Klang juga boleh mendapatkan suntikan vaksin di lima PPV berkenaan.

“Pendekatan ‘quick-win’ yang diambil ini bagi mengoptimumkan sumber berikutan jumlah kehadiran yang rendah untuk mendapatkan suntikan vaksinasi secara walk-in di PPV sekitar Lembah Klang,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

CITF berkata, had kepada hanya lima jumlah PPV itu adalah selari dengan strategi pasukan untuk mengoptimumkan sumber bagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

“Bagaimanapun, walk-in di negeri-negeri lain akan diteruskan dan orang ramai dinasihatkan untuk mengikuti pengumuman yang dibuat oleh Jabatan Kesihatan Negeri masing-masing untuk maklumat terkini berhubung inisiatif berkenaan,” tambahnya.

Menurutnya lagi, ProtectHealth Corp Sdn. Bhd. (ProtectHealth) dijangka akan mula untuk menawarkan perkhidmatan klinik perubatan swasta yang terpilih untuk walk-in warganegara pada 1 Oktober depan.

“CITF akan mengadakan perbincangan lanjut bersama Kementerian Kesihatan (KKM) bagi penglibatan ProtectHealth untuk inisiatif walk-in ini.

“Perbincangan akan tertumpu kepada menyebarluaskan inisiatif walk-in bagi populasi dewasa warganegara di klinik pengamal perubatan swasta am di Lembah Klang,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, CITF berkata, individu yang telah menerima dos pertama di PPV yang telah ditutup di Hulu Selangor dan Kuala Selangor boleh mendapatkan dos kedua secara walk-in di Klinik SP Care Antara Gapi, Serendah dan Poliklinik Medi Ihsan di Bukit Rotan atau Tanjung Karang.

Untuk rekod, sebanyak 38 PPV bukan kesihatan telah ditutup di Lembah Klang setakat ini manakala 13 lagi masih beroperasi.

Penutupan PPV itu adalah dibuat setelah CITF meneliti data kadar penduduk Lembah Klang yang masih belum divaksinasi dan kadar kehadiran yang rendah di PPV berkenaan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI