LONDON – Sebuah kapal kontena terbesar di dunia yang menyamai saiz empatĀ padang bola sepak tiba di Pelabuhan Felixstowe, Suffolk, lapor akhbar Metro UK.
Kapal yang diberi nama Ever Ace itu adalah milik syarikat sama yang memiliki Ever Given. Kapal Ever Given mencetuskan insiden Terusan Suez tersekat pada Mac lalu.
Ketibaan Ever Ace sangat dinanti-nantikan apabila lebih 100 pekerja pelabuhan mengerumuni kawasan pelabuhan sebaik sahaja ia memasuki muara Sungai Orwell awal pagi kelmarin.
Tiada maklumat tepat tentang isi kontena yang dibawa oleh Ever Ace namun dipercayai majoriti barangan tersebut adalah produk yang dihasilkan di Asia Timur.
KapalĀ itu dijadualkan meneruskan perjalanan ke bandar Hamburg, Jerman lusa.
Empat bot tunda terpaksa digunakan untuk membantu Ever Ace berlabuh di ruangan yang disediakan dengan mengambil masa satu jam.
Kapal seberat 235,579 tan itu dibina tahun lalu untuk syarikat perkapalan berpangkalan di Taiwan, Evergreen Marine.Ā Ever Ace memiliki panjang 400 meter dengan lebarĀ 61.5 meter.
KapalĀ berdaftar di Panama itu boleh memuatkan 23,992 buahĀ kontena iaitu melebihiĀ 26 kontena berbanding kapal kontena terbesar sebelumnya, HMM Algeciras.
Jika kargo Ever Ace perlu diangkut menggunakan pesawat, sebanyak 1,400 jet jumbo diperlukan untuk menerbangkannya. – Agensi















