fbpx

Mesir mungkin rampas kapal kargo Ever Given

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar satelit edaran Maxar Technologies menunjukkan gambaran keseluruhan berdekatan kapal kontena dan kapal tunda MV Ever Given di Terusan Suez pada 29 Mac lalu. - AFP

KAHERAH – Lembaga Terusan Suez telah melancarkan siasatan terhadap insiden melibatkan kapal kargo mega, Ever Given yang akan merangkumi peristiwa sebelum, semasa dan selepas kemalangan, lapor ahbar Arab News semalam.

Kapal kontena sepanjang 430 meter itu terpusing dan tersekat di Terusan Suez, menghentikan perdagangan maritim di saluran perkapalan penting selama hampir seminggu.

Kargo itu menghentam tebing timur terusan sempit pada 23 Mac dan berada dalam kedudukan melintang sekaligus menyekat laluan masuk utama Terusan Suez.

Laluan hanya berjaya dibuka semula pada malam Isnin lalu selepas beberapa kapal tunda berjaya menarik Ever Given kembali ke posisi yang betul.

Penasihat pihak berkuasa, Sayed Sheasha memberitahu siasatan bermula kelmarin dan keputusannya akan diumumkan dalam sidang media memandangkan ia adalah isu global.

Sayed berkata siasatan akan menjawab persoalan sama ada kapten kapal itu bertindak balas terhadap arahan pihak berkuasa sebelum kapal itu tersadai di tengah-tengah Terusan Suez..

“Kami meminta data kapal seperti kotak hitam berisi semua maklumat dari awal krisis hingga akhir,” kata Sheasha, sambil menambah bahawa pihak berkuasa juga akan memeriksa respons kapal terhadap arahan yang diberikan sebelum kecelakaan itu.

Sheasha mengatakan pihak berkuasa dijangka mencapai kesepakatan mengenai pampasan dengan pemilik Ever Given dalam tiga atau empat hari lagi.

Sekiranya kapal menolak hasil penyelidikan, kes itu akan dipindahkan menjadi kes sivil dan keputusan akan diambil untuk merampas kapal tersebut.

Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi meminta masyarakat untuk tidak membuat kesimpulan melulu mengenai siasatan yang sedang berjalan.

Beliau menegaskan bahawa isu tersebut telah diserahkan kepada pihak berkuasa terusan dan pihaknya tidak akan campur tangan sama sekali.

Ketua Penguasa Terusan Suez, Osama Rabie menjangkakan bakal terdapat 95 kapal per hari dijangka menggunakan terusan pada 2023 dan bukannya 50 hingga 60 kapal per hari seperti sekarang.

Beliau mendedahkan selepas ‘pembebasan’ Ever Given, 113 kapal melintasi terusan dalam masa kurang 24 jam.

Pihak berkuasa kini dalam perancangan untuk memberi kebenaran kepada baki 422 kapal yang masih beratur untuk menggunakan terusan tersebut. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI