fbpx
UJAR Dr. Mohd. Asri, di zaman Nabi pun ada orang buat dakwaan palsu guna nama Baginda, tidak pelik jika ia masih berlaku pada zaman ini.

Jangan biar ajaran songsang terus jadi barah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BERCERITA tentang ajaran sesat atau songsang sebenarnya ia tidak berkesudahan memandangkan fahaman salah itu wujud sejak zaman Nabi Muhammad SAW lagi.

Minggu ini, Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin menerusi kolum Wawancara mengupas isu berkaitan ajaran sesat dan kaedah untuk mengatasinya dengan cara perlu.

Ia antara lain memberikan ‘penawar’ yang betul dalam memulihkan akidah pengikut ajaran salah itu sesuai dengan konteks kesesatan mereka.

Dalam hal ini, perlu mengambil kira beberapa pendekatan berhemah seperti mengambil kira faktor bagaimana mereka terpengeruh dengan ajaran tersebut.
———————————————————————————————————————————————————————————————————————–
CERITA ajaran sesat bagaikan tiada noktah yang melangkaui sempadan waktu dan zaman hingga sering dikhabarkan dengan berita-berita kurang enak mengenai salah laku akidah.

Bukan mudah untuk memerangi ajaran sesat yang telah berakar umbi dan menjadi barah dalam masyarakat.

Baru-baru ini, kita digemparkan dengan kisah ajaran sesat Perjalanan Mimpi Yang Terakhir’ (PMYT) yang diketuai seorang wanita, Masitah Ab Jalar atau dikenali Sittah Annur.

Beberapa rakaman video mengandungi kenyataannya menyentuh aqidah dan ajaran Islam melalui You Tube.

Antaranya pengakuan wanita itu yang mendakwa dirinya boleh berhubung terus dengan Allah SWT, malaikat dan Nabi Muhammad SAW.

Bagi membincangkan lebih lanjut mengenai isu berkaitan ajaran sesat dan kedudukan mimpi, wartawan Kosmo! Ahad, Zubaidah Ibrahim telah menemu bual Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin.

KOSMO! AHAD: Baru-baru ini, seorang wanita dikenali ‘Sittah Annur’ mendakwa, PMYT diturunkan kepadanya sebagai panduan untuk umat dan sesiapa yang menyakiti atau menghalangnya daripada menyampaikan ajaran boleh dicabut nyawa oleh Allah. Dia dikatakan berjaya mengumpul ribuan pengikut. Persoalannya, bagaimana ajaran sesat seperti ini boleh membuatkan orang ramai terpengaruh sedangkan ia jauh terpesong daripada ajaran Islam?

DR. MOHD. ASRI: Sejarah ajaran sesat bukanlah sesuatu yang baharu, bahkan ia telah wujud sejak zaman Nabi Muhammad SAW.

Bayangkan ketika baginda masih hidup, ada pendusta dari Bani Hanifah iaitu Musailamah al-Kazzab mengaku dirinya seorang nabi.

Selepas kewafatan Rasulullah, Musailamah berjaya mengumpul lebih 40,000 pengikut dengan bantuan daripada seorang yang pernah belajar dengan nabi di Madinah, tetapi kemudian menjadi pembelot iaitu Rajjal Unfuwah.

Rajjal bersekongkol dalam ajaran itu dengan mendakwa, kononnya Musailamah berkongsi kerasulan dengan Nabi Muhammad setelah baginda wafat.

Dakwanya, dia dengar daripada Nabi Muhammad SAW sendiri.

Dakwaan palsunya itu telah mempengaruhi ramai orang. Cuba lihat, sejak zaman Rasulullah SAW pun ada yang buat dakwaan palsu menggunakan nama Baginda. Apa nak pelik, jika di zaman ini ada yang buat dakwaan palsu jumpa Nabi dalam mimpi.

Pembelotan yang dilakukan Rajjal itu semata-mata terpengaruh dengan tawaran kemewahan oleh Musailamah.

Peristiwa itu mencetus peperangan Yamamah yang dilancarkan Khalifah Abu Bakar untuk memerangi pembohongan berkenaan hingga lebih 1,200 termasuk sahabat mati syahid.

Tidak terhenti di situ, kisah ajaran sesat terus berulang sehingga kini dengan membawa pelbagai fahaman terpesong daripada ajaran Islam.

Dakwaan palsu seperti mimpi dan keajaiban tertentu dijadikan senjata. Banyak faktor menjadi punca orang terpengaruh dengan ajaran sesat.
Antaranya, kurang ilmu agama, mencari agama mengikut ‘selera’, tidak berminat dengan ajaran agama tulen dan menyukai sesuatu yang pelik dan khurafat.

Tokoh-tokoh ajaran sesat juga mengambil kesempatan dengan menawarkan kemewahan, kedudukan dan wanita.

MEREKA yang lemah iman, suka benda pelik dan khurafat serta mencari agama mengikut selera sendiri antara penyebab menjadi pengikut setia kepada ajaran songsang. – GAMBAR HIASAN

Adakah mimpi seseorang terutamanya para ulama boleh dijadikan sandaran dan panduan dalam Islam?

Sebenarnya, hanya mimpi daripada para nabi yang boleh dijadikan hujah dan sandaran kerana mimpi mereka datang daripada Allah sebagai wahyu.

Sebagai contoh, mimpi Nabi Ibrahim yang mana Allah SWT memerintahkan baginda supaya menyembelih anaknya, begitu juga mimpi Nabi Yusuf dan Nabi Muhammad SAW.

Harus diingat, mimpi selain para nabi walaupun daripada orang soleh tidak boleh mengubah syariat agama yang telah pun sempurna.

Mimpi-mimpi tersebut tidak boleh menghidupkan ibadah baharu yang bercanggah dengan agama seperti sembahyang mengikut ajaran dalam mimpi itu.

Sebaliknya, mimpi tersebut hanya menjadi panduan kepada individu itu sahaja dalam urusan dunia dan tidak berkait langsung dalam menentukan hukum agama, apatah lagi ritual karut.

Ada pandangan mengatakan jika bermimpi bertemu Rasulullah, tidak perlu dihebahkan kepada umum, dibimbangi boleh mendatangkan unsur riak dan fitnah. Benarkah pendapat itu pada pandangan Islam?

Menurut Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim, diceritakan daripada Abu Hurairah, aku mendengar Rasulullah bersabda: “Barang siapa melihatku di dalam mimpi, nescaya ia akan bertemu denganku dalam keadaan terjaga dan syaitan tidak dapat menyerupaiku.”

Namun, isunya kini adalah bagaimana kita tahu bahawa wajah atau rupa orang yang di dalam mimpi tersebut ialah Rasulullah sedangkan tidak pernah bertemu Baginda.

Sehubungan itu, para ulama mengingatkan kita bahawa syaitan memang tidak boleh menyerupai nabi, tetapi ia boleh menyerupai orang lain. Mereka yang tidak kenal wajah nabi terpedaya menyangka itulah Nabi SAW dengan tipu helahnya.

Ketika para sahabat masih hidup, mereka menjadi rujukan sekiranya ada yang bermimpikan baginda untuk mengesahkan ciri-ciri itu adalah Rasulullah.

Berbeza kini, kita semua tidak pernah melihat nabi dan zaman para sahabat juga sudah tiada. Bagaimana hendak mengesahkan bahawa seseorang itu benar-benar bermimpikan Rasulullah.

Kemungkinan mimpinya benar, tapi siapa yang dapat dipastikan. Justeru, jangan kita buat kesimpulan 100 peratus apa yang kita lihat.

Mungkin ada yang tidak lihat apa-apa, tapi hanya bertujuan mencipta populariti dan kepentingan diri.

Justeru, adalah baik kita menyimpan mimpi itu untuk diri sendiri dan tidak menunjuk-nunjuk hingga mengundang sifat takbur. Lebih membimbangkan lagi, boleh membawa penyelewengan ajaran

Berbalik kepada ajaran sesat, apakah akta dan hukuman sedia ada tidak memberi ketakutan kepada pendokongnya hinggakan ia terus bercambah dalam masyarakat. Adakah kerajaan perlu menggubal akta baharu bagi memberi kegerunan kepada mereka yang terlibat?

Saya ingin mengingatkan bahawa ajaran sesat dan pemikiran salah tidak boleh diperangi dengan undang-undang semata-mata.

Bahkan jika tersilap langkah, mereka akan berasakan dizalimi lalu membangkitkan semangat perjuangan untuk mempertahankan kepercayaan tersebut.

Pemikiran yang salah perlu dilawan dengan pemikiran benar. Maka, sebab itulah kita memerlukan ulama, tokoh pemikir untuk menjelaskan perkara itu kepada mereka sebelum meneruskan kepada penguatkuasaan undang-undang.

Setelah memberi penerangan yang benar dan alasan yang tidak boleh dipatahkan, barulah pergi kepada hukuman undang-undang, tetapi sebelum itu ia perlu melalui proses panjang agar tidak tersilap menghukum.

Di negara kita, dalam konteks ajaran sesat membabitkan hal ehwal agama yang diletakkan di bawah bidang kuasa negeri masing-masing dan sesuatu ajaran tersebut tidak boleh dianggap sesat selagi ia tidak difatwakan dan diwarta terlebih dahulu. Itu peraturan negara ini.

MENURUT Dr. Mohd. Asri, hanya mimpi daripada para nabi yang boleh dijadikan hujah dan sandaran kerana mimpi mereka datang daripada Allah sebagai wahyu.

Apakah ciri-ciri ‘istimewa’ pada pandangan Datuk, yang ada pada pelopor ajaran sesat yang bukan sahaja dapat menarik perhatian orang biasa, malahan golongan terpelajar mendekati ajaran dan seterusnya mendalaminya?

Banyak ciri yang ada pada mereka. Kadangkala ketua ajaran sesat tidaklah terlalu istimewa, tetapi keberaniannya melakukan kesesatan membuatkan orang percaya.

Ini disebabkan, tidak semua orang berani berbuat demikian sehingga pengikut terpengaruh serta tidak terfikir dia mungkin berbohong.

Pelopor ajaran sesat juga mempunyai penyakit kegilaan kepada kemasyhuran. Sebab itu, kita dapat lihat ramai tokoh ajaran tersebut mempunyai sifat kepimpinan kerana mereka sukakan populariti.

Selain itu, kebanyakan ajaran sesat menggunakan penipuan dan sihir seperti mendakwa boleh berdialog dengan nabi, bercakap dengan malaikat, selain perkara-perkara yang ajaib agar orang menjadi kagum.

Justeru, tidak hairanlah jiwa-jiwa yang lemah akan terpengaruh dengan pembohongan seperti itu.

Walaupun mereka mempunyai latar belakang pendidikan tinggi, tidak bermakna terhindar daripada penipuan dakyah ajaran sesat.

Manusia mempunyai kehausan dalam diri. Jika tidak diisi dengan kebenaran dan iman, ia dipenuhi dengan kekarutan serta khurafat.

Selepas ketua sesebuah ajaran sesat ditahan dan dihukum, terdapat segelintir pengikut setia yang sebelum itu turut ditahan dan menjalani program pemulihan menyebar ajaran itu kembali untuk mencari pengikut baharu. Bagaimana ini boleh berlaku, adakah program pemulihan yang dibuat tidak menepati sasaran hinggakan ia seolah-olah tidak memberi kesan kepada mereka yang terlibat?

Sebenarnya, bukan salah program pemulihan, mungkin ‘ubat diberikan tidak sesuai dengan penyakit’ hingga tidak mampu menyembuhkan iman pengikut ajaran sesat itu.

Untuk membawa mereka pulang kepada kebenaran hendaklah kena pada caranya.
Sebab itu, unit pemulihan perlu melantik ahli yang benar-benar pakar untuk berdialog dan berhujah dengan kumpulan ajaran sesat tersebut sesuai dengan konteks kesesatan mereka.

Sebagai contoh, kalau kita kata mereka menolak agama dan tidak baca al-Quran, mestilah pengikut itu marah kerana pada pandangan mereka, masih lagi mengamalkan Islam termasuk membaca kitab itu.

Masalah sebenar mereka adalah menginterpretasi al-Quran dengan cara salah dan bukannya kumpulan tersebut tidak sayangkan Islam. Kita perlu tahu kandungan ajaran itu dengan jelas sebelum memulihkan mereka. Tahu penyakit, baru dapat beri ubat yang betul.

Seperti saya terangkan di atas, banyak faktor orang terpengaruh dengan ajaran sesat termasuk pengaruh kawan, ingin keluar daripada masalah, hutang, mahukan ganjaran kemewahan dan suka kepada perkara karut atau khurafat.

Mereka terpengaruh kerana ajaran sesat itu memenuhi selera dan kehendak nafsu dalam cara beragama yang selama ini mereka cari. Maka faktor-faktor itu perlu diambil kira dalam proses pemulihan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN