fbpx
BUKAN Sekadar baju, pakaian-pakaian adiwira yang dimilikinya turut dilengkapi dengan topeng-topeng muka.–SITI NUR MAS ERAH AMRAN

Dunia adiwira Syukur ceriakan orang ramai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DALAM usaha menghiburkan orang ramai terutamanya kanak-kanak, pelbagai usaha dilakukan oleh setengah individu termasuk memakai kostum tertentu termasuk adiwira.

Bagi seorang lelaki, Mohamad Syukur Mohd. Patthi, 27, menjadikan pemakaian kostum adiwira sebagai mata pencarian dengan menjadi penghibur jalanan sambilan.

Untuk itu, dalam tempoh tiga tahun selepas membeli kostum pertama iaitu Deadpool, dia kini mengumpul hampir 30 watak adiwira lain dengan membelanjakan kira-kira RM50,000.

Selain Deadpool, dia lebih kerap menggayakan watak Spiderman kerana ia lebih dikenali oleh kanak-kanak dan orang ramai selain mudah dibersihkan.

———————————————————————————————————————————————————————————————————————–
ANAK mata kebanyakan pengguna feri Pulau Pinang pada tengah hari itu tertancap kepada satu figura lelaki bertubuh kecil kerana pakaiannya yang unik.

Jarum jam menunjukkan kira-kira pukul 1 tengah hari semasa feri dua tingkat tersebut berlayar sejauh tiga kilometer dari Pangkalan Sultan Abdul Halim di Seberang Perai ke Pangkalan Raja Tun Uda di George Town.

Jejaka kurus berketinggian 170 sentimeter itu yang mengenakan sepasang kostum ketat berwarna merah dan hitam dilihat berdiri bersendirian di satu sudut sambil memerhati pemandangan laut Selat Pulau Pinang. Pada bahagian belakang badannya, dia menggalas aksesori persis sepasang pedang yang dibuat sendiri daripada bahan kitar semula.
Ada juga dalam kalangan penumpang menegur dan mengajaknya bergambar.

Lelaki itu dengan mesra melayan kehendak mereka.

Ramai penumpang feri tersebut terutamanya golongan muda kenal dengan watak itu yang merupakan adiwira popular filem Hollywood iaitu Deadpool.

Watak Deadpool lakonan Ryan Reynolds menerusi filem yang ditayangkan pada tahun 2016 itu mempunyai karakter lincah, nakal dan cemerkap.

ANTARA koleksi topeng muka adiwira dalam simpanan Syukur.

Namun, di sebalik topeng dan kostum karakter adiwira lucu berkenaan, tersembunyi satu figura jejaka pemalu, Mohamad Syukur Mohd. Patthi yang mesra disapa Syukur.

Menurut Syukur, 27, situasi sebegitu adalah rutinnya pada setiap hujung minggu ketika berulang alik ke Lebuh Armenian di George Town dari rumahnya di Seberang Jaya bagi membuat persembahan jalanan.

“Selepas sampai di terminal feri, saya yang memakai kostum Deadpool sejak dari rumah berjalan kaki pula menuju ke lokasi tumpuan pelancong itu yang terletak kira-kira satu kilometer.

“Setibanya di situ saya membuat persembahan jalanan menghiburkan pengunjung dan orang ramai yang mengajak mengambil gambar akan memberikan tip.

“Saya akan berada di situ di antara pukul 2 petang sehingga 6 petang dan menjadikannya sebagai pekerjaan sambilan selama 17 bulan sejak Oktober 2018,” katanya kepada kru Panorama baru-baru ini.

Syukur berkata, kemeriahan tempat tersebut kini seolah-olah tinggal kenangan semenjak pandemik Covid-19 melanda negara apabila kawasan tumpuan pelancong tempatan dan antarabangsa itu seperti mati.

“Sejak Mac 2020, saya tidak lagi mengadakan persembahan di situ kerana ketiadaan pelancong, selain pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Feri ikonik Pulau Pinang yang saya naiki dahulu juga sudah tinggal sejarah kerana perkhidmatannya telah dihentikan sejak hujung tahun lalu,” katanya yang turut kehilangan pekerjaan tetap di sebuah syarikat telekomunikasi sejak pandemik melanda.

SYUKUR menunjukkan sejumlah koleksi kostum adiwira yang dimilikinya antaranya pelbagai Ultraman, Hulk, Kamen Rider dan lain-lain di rumahnya di Seberang Jaya, Pulau Pinang.

Menurut Syukur, kostum Deadpool yang dibeli pada Oktober 2018 daripada seorang kenalan Facebook dari Johor itu meninggalkan nostalgia tersendiri.

Ini kerana ia adalah koleksi pertama yang dimilikinya.

“Sebenarnya saya tidak begitu gembira dengan kualiti kostum itu kerana ia adalah barang terpakai yang sudah lusuh, apatah lagi harganya juga agak mahal iaitu RM200.

“Namun, tidak mengapa kerana dengan kostum itulah saya mula membina keyakinan diri dan mendorong untuk memiliki lebih banyak persalinan adiwira lain,” kata anak bongsu daripada tiga beradik itu.

Menurut Syukur lagi, dalam tempoh kira-kira tiga tahun selepas membeli kostum pertama tersebut, dia kini mengumpul hampir 30 watak adiwira lain dengan membelanjakan kira-kira RM50,000.

“Selain Deadpool, saya lebih kerap menggayakan watak Spiderman kerana ia lebih dikenali oleh kanak-kanak dan orang ramai selain mudah dibersihkan.

“Saya juga memiliki kostum lain seperti beberapa watak Power Rangers dan Ultraman, Ant-Man, Flash, Bumblebee, Optimus Prime, Kamen Rider serta Iron Man.

“Kostum-kostum ini kebanyakannya ditempah khas daripada pembuat kostum di beberapa kawasan pedalaman di Indonesia pada harga sekitar RM1,500 hingga RM8,000.

SYUKUR memakai kostum Hulk yang dibelinya baru-baru ini.

“Terkini, saya baru memiliki kostum Hulk yang ditempah khas dari Kuala Lumpur dengan harga RM7,000,” katanya yang masih bujang.

Menurut anak kelahiran Bukit Mertajam itu, dia meletakkan kesemua kostum berkenaan di satu ruangan khas berkeluasan kira-kira 9 meter persegi di rumah keluarganya di Seberang Jaya.

“Ada di antara materialnya adalah kulit, justeru ia tidak boleh dilipat dan perlu disarungkan pada patung khas bagi mengekalkan bentuknya.

“Saya juga sekadar perlu mengelap habuk yang melekat setiap minggu, selain akan segera membaik pulih dan menampal dengan gam sekiranya ada bahagian yang rosak atau tertanggal,” ujarnya.

Menurut Syukur, dia menjadikan kostum yang dimiliki sebagai punca rezeki sampingan dengan mengadakan persembahan di majlis-majlis keraian dan hari jadi.

“Saya juga menggunakannya untuk tujuan amal seperti persembahan kepada kanak-kanak pesakit kanser dan merealisasikan impian mereka bertemu adiwira yang diminati.

“Baru-baru ini saya mengenakan kostum Ultraman ketika dua kali menerima suntikan vaksin Covid-19 di sebuah hospital swasta di Bandar Perda, Bukit Mertajam.

KOSTUM Deadpool merupakan kostum adiwira pertama dibeli Syukur serta menyimpan banyak nostalgia baginya.

“Ramai penerima vaksin mengajak untuk bergambar, bahkan para barisan hadapan yang bertungkus lumus juga nampak ceria semasa kehadiran saya.

“Itu adalah matlamat saya. Saya mahu melihat senyuman orang lain biarpun di sebalik topeng dan kostum itu, saya kepanasan,” ujarnya berseloroh.
Syukur berharap pandemik Covid-19 segera berlalu agar dia dapat kembali mengadakan persembahan di khalayak ramai seperti dahulu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN