fbpx

Debut Camavinga bersama Real

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
CAMAVINGA menyifatkan kesempatan menyertai The Galacticos adalah sekali seumur hidup dan akan bekerja keras dalam merebut tempat kesebelasan utama.

MADRID – Pemain tengah baharu Real Madrid, Eduardo Camavinga bersedia untuk diturunkan dalam kesebelasan utama sekali gus membuat debut pertama pada aksi La Liga bertemu Celta Vigo di Stadium Santiago Bernabeu awal pagi esok.

Sebagai rekod, Real berjaya mendapatkan khidmat pemain antarabangsa Perancis itu yang bersetuju menandatangani kontrak selama enam tahun dengan nilai perpindahan sebanyak £34 juta (RM193 juta) daripada kelab Rennes sebelum jendela perpindahan ditutup pada bulan lalu.

Kata Camavinga, kesempatan untuk menyertai skuad The Galacticos yang dikendalikan oleh ketua jurulatih, Carlo Ancelotti adalah peluang ‘sekali seumur hidup’ dan akan bekerja keras dalam usaha merebut tempat kesebelasan utama.

“Semua tahu dan bersetuju bahawa Real adalah kelab bola sepak paling berpengaruh dan terbaik di dunia. Ia terbukti apabila mereka telah menjuarai banyak trofi dan sudah tentu impian buat mana-mana pemain untuk berusaha menyarung jersi Real sekali seumur hidup.

“Mengenai peluang untuk membuat kemunculan debut pada aksi menentang Celta Vigo nanti, saya serahkan segalanya kepada jurulatih tetapi buat masa ini, saya perlu bekerja keras dan membuktikan keupayaan di sesi latihan terlebih dahulu,” katanya.

Mengulas lanjut, pemain berusia 19 tahun itu turut mengakui akan berusaha untuk menjadikan tiga tonggak tengah utama Real yang terdiri daripada Toni Kroos, Luka Modric serta Casemiro sebagai contoh untuk mempertingkatkan kualiti corak permainan yang ada pada dirinya.

“Saya sedar bukan mudah untuk memecahkan dominasi Kroos, Modric dan Casemiro kerana mereka bertiga adalah pemain yang sangat berpengalaman. Namun, saya mahu pandang daripada sudut positif kerana banyak perkara yang boleh saya belajar daripada mereka,” kata­nya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI