JENAMA BMW memang tidak perlu diperkenalkan lagi kerana sejak dahulu lagi syarikat yang membangunkan kereta dan motosikal berkuasa tinggi itu menitikberatkan pembuatan enjin yang mantap dan hebat.
Terbaharu, syarikat yang berpangkalan di Jerman itu memperkenalkan BMW M 1000 RR yang merupakan motosikal berpangkal huruf M pertama BMW Motorrad dilengkapi teknologi perlumbaan tulen.
Ini sekali gus memenuhi syarat prestasi segmen superbike tertinggi yang bukan sahaja hebat di atas litar tetapi juga di jalan raya selain berupaya menterjemahkan gaya pengembaraan terkini.
———————————————————————————————————————————————————————————————————————–
BMW Motorrad Malaysia terus mengorak langkah tahun ini dengan memperkenalkan beberapa motosikal berkuasa tinggi baharu bagi pasaran tempatan.
Dalam kalangan peminat motosikal jenama berprestij itu, antara yang menjadi sebutan sudah tentu BMW M 1000 RR yang merupakan model M pertama kali diperkenalkan selain varian-varian baharu BMW S 1000 R.
Pengenalan jentera-jentera berkenaan bagi pasaran tempatan dirasakan tepat pada masanya oleh syarikat permotoran tersebut walaupun pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN) sedang berjalan.
Menurut Pengarah Urusan BMW Group Malaysia, Hans de Visser, pihaknya berpandangan Malaysia kini sedang pulih secara berperingkat, justeru sekarang adalah masa untuk memperkenalkan barisan jentera berkenaan.
“Negara ini sedang pulih secara berperingkat dan kami ingin menggunakan peluang ini untuk menyuntik semula keterujaan dalam diri peminat motosikal.

“Dengan pengenalan model dan varian-varian jentera baharu dalam portfolio BMW Motorrad, kami berharap pelanggan setia kami dan para peminat di Malaysia dapat jadikan hidup satu pengembaraan sekali lagi,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini yang turut merujuk kepada slogan BMW Jadikan Hidup Satu Pengembaraan atau Make Life A Ride.
Hans berkata, bagi segmen superbike, pengenalan BMW M 1000 RR baharu dan varian-varian BMW S 1000 R itu adalah disebabkan permintaan peminat tempatan.
Katanya, sehingga hari ini, mereka telah berjaya menyerahkan lebih 100 unit BMW M 1000 RR dan BMW S 1000 R kepada para pelanggan.
BMW M 1000 RR yang berharga RM249,500 dilengkapi dengan teknologi perlumbaan yang tulen untuk memenuhi syarat prestasi tertinggi dalam sukan permotoran selain di atas jalan raya.
Sebagai model BMW M yang pertama dalam portfolio BMW Motorrad, model baharu tersebut mempunyai spesifikasi bersesuaian bagi memastikan ia memenuhi jangkaan orang ramai sebagai sebuah jentera dalam segmen Superbike.

Huruf M yang sinonim sebagai siri jentera berprestasi tinggi daripada BMW memainkan peranan dalam penghasilannya. Rekaan casis ataupun binaan tubuh BMW M 1000 RR dilihat berjaya menterjemahkan semangat M tersebut.
Antara ciri yang pastinya dikagumi peminat jentera berkuasa tinggi ini sudah tentulah output enjinnya yang berjumlah 212hp dipadankan dengan suspensi dan ciri aerodinamik motosikal yang direka khas bagi prestasi maksimum di litar lumba.
Distribusi berat roda yang dioptimumkan dan keupayaan tambahan untuk melaras komponen lengan ayun (swing arm) turut menjadi ciri utama yang memberikan motosikal tersebut identiti tersendiri.
Cabang songsang yang dioptimumkan serta sangga spring sentral (central spring strut) yang diperbaharui hadir dengan kinematik Full Floater Pro.
Sayap lawi M baharu dengan perisai angin juga membolehkan jentera ini dipecut dalam kadar segera dengan kestabilan yang lebih tinggi ketika membelok menerusi daya mendap (downforce) aerodinamik yang langsung tidak menjejaskan kelajuan maksimumnya.
BMW M 1000 RR baharu menggunakan enjin sebaris empat silinder yang disejukkan dengan air.

Enjin ini juga berasaskan rangkaian kuasa RR dengan teknologi BMW ShiftCam bagi pemasaan injap dan peninggian injap berciri boleh ubah, lantas membekalkan output tertinggi mencecah 156kW pada paras 14,500rpm.
Puncak torknya pula bernilai 113Nm pada paras 11,000rpm.
Kehebatan dari aspek teknikal juga disumbangkan enjinnya melalui piston tempaan dwigelung daripada Mahle, kebuk pembakaran diadaptasi, pemampatan lebih tinggi dan batang penghubung titanium yang lebih ringan daripada buatan Pankl.
Turut menjadi ciri jentera itu ialah lengan jumpelang (rocker arm) yang lebih langsing dan ringan, port salur masuk dengan geometri saluran baharu serta komponen aci sesondol dan ruang salur masuk lebih.

Sistem ekzosnya yang ringan juga diperbuat daripada titanium, termasuk peredam bunyi di hadapan dan belakang.
BMW M 1000 RR baharu juga hadir dengan mod tunggangan Rain, Road, Dynamic, Race dan Race Pro1-3 berserta generasi Kawalan Cengkaman Dinamik (Dynamic Traction Control) baharu dan fungsi wheelie DTC dengan kotak sensor enam gandar.
Dua lekuk pendikit yang berciri boleh laras juga menawarkan respons optimum, manakala brek enjin membawakan tork seretan enjin dengan tiga peringkat larasan dalam mod Race Pro.
Maka, tidak hairanlah motosikal ini diuar-uarkan dengan moto berlumba seperti tiada yang seumpamanya.
Model baharu itu turut menampilkan kluster instrumen dengan skrin TFT 6.5 inci yang dapat dilihat dengan jelas serta antara muka OBD yang boleh digunakan dengan kod pengaktifan bagi log data M GPS dan laptrigger M GPS.

Kelengkapan standard lain meliputi brek M yang pertama kali diperkenalkan untuk BMW Motorrad, roda karbon M, bateri M yang serba ringan, soket pengecasan USB di belakang serta sistem penggera antikecurian.
Hadir dengan kombinasi warna Light White (putih), Racing Blue Metallic (biru) dan Racing Red (merah), BMW M 1000 RR baharu sudah boleh didapati di pusat-pusat pengedaran terpilih BMW Motorrad.














